20 November 2023, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh –  Majlis Prapelancaran Antologi Puisi Interaktif Sosok 24 Puisi Buat Anwar Ibrahim: Apresiasi 2 Media terbitan Persatuan Karyawan Pulau Pinang (PKPP) telah mengumpulkan 24 puisi penyair Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Thailand.

Majlis diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, Hotel Casuarina@Meru, baru-baru ini.

Pegawai khas Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Yang Mulia Raja Azman Shah telah merasmikan majlis. Dalam ucapannya, beliau mengatakan cara kandungannya dipersembah amatlah unik.

Gabungan media cetak dan media digital ini menampilkan kelainan dalam penerbitan antologi puisi,

Beliau seterusnya menyeru anak-anak muda agar menyelami karya ini dan berharap bidang sastera dan bahasa terus dimartabatkan.

Antologi Puisi Interaktif Sosok 24 Puisi Buat Anwar Ibrahim: Apresiasi 2 Media, terbitan Persatuan Karyawan Pulau Pinang (PKPP).

Presiden PKPP, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz pula berkata bahawa buku puisi setebal 64 halaman ini tampil dengan kelainan apabila dihasilkan daripada gabungan dua media, iaitu media cetak dan digital. Ujarnya;

Setiap sajak dalam antologi ini dipautkan dengan klip video YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kisah perjuangan politik sehingga diangkat menjadi Perdana Menteri.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa majlis pelancaran antologi puisi ini bakal diadakan di Pulau Pinang, antara penghujung tahun atau awal tahun 2024, yang akan turut disertai oleh Perdana Menteri.

Selain beliau, penyair lain dari Malaysia termasuklah Faridah Jaafar, Saravanan P. Veeramuthu, Mohamed Nazreen Mohamad Sahul, Ibrahim Mohamad, Siti Aishah Shaik Ismail, Hamidah Mohd. Junid, Thuraya Ahmad, Muhammad Izzat Md. Isa, Jamil Othman, Ooi Eng Lai, Norhayati Ayit, Adnan Ab. Halim, Rohimah Baharudin, Rozeenrozaana Rosli, Ros Anita Kartini Mohamed, Mohd. Zaslan Zulkhairi, serta penulis lirik terkenal, Hairul Anuar Harun turut menyumbangkan sajak dalam antologi ini.

Manakala, dari Indonesia, Ahmad Sahidah, H. Muhammad Ichsan dan Erfi Firmansyah. Anuar Othman pula mewakili Singapura dan Abdul Razak Panaemalae mewakili Thailand.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dekon Sosok 24 oleh kumpulan teater dengan penampilan Halimi Mohamed Noh dan Ard Omar, serta deklamasi puisi oleh Faridah dan Adnan.

Pengurus Besar PORT Perak, Puan Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perak, Encik Abdul Rashid Abdullah; Ahli Jawatankuasa Kerja PKPP; Ketua Satu Lembaga Pembangun Sastera (LEPAS) Perak, Tuan Haji Abd. Rashid Ahmad Rafie; dan penyair terkenal Pyanhabib turut menyerikan majlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.