Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJack Malik meluahkan rasa dan pengakuannya terhadap penulisan Ku Syafiq tentang buku dan pelancaran antologi sajak eksperimental mutakhir, Merabak Sembah.
Saya tidak salahkan Ku Syafiq kerana malam pelancaran buku tersebut memang saya ada meluahkan perasaan sebelum membacakan bahagian saya.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada saudara Ku Syafiq untuk ulasan ringkas beliau tentang buku antologi sajak kami, Merabak Sembah, yang tersiar di Relevan. Apa yang telah dijulang mahupun diterajang oleh Ku Syafiq tidak perlu saya ulang semula dalam tulisan kali ini. Bahkan, saya menerima sebulat hati pandangan beliau dan menghargai kepeduliannya akan kewujudan naskhah ini, serta acara yang berlangsung beberapa hari lalu.
Apa yang saya ingin sentuh ialah hal yang ditulis oleh Ku Syafiq pada perenggan awal rencananya: tentang kekecewaan.
Apabila Ku Syafiq menulis yang beliau “faham kekecewaan” saya—terus hati saya libang-libu. Bukan kerana apa yang Ku Syafiq katakan itu betul, iaitu “diharapkan (Merabak Sembah) menjadi besar” namun buku ini tidak mendapat sorotan khalayak pembaca, tetapi lebih kepada apa yang beliau katakan iaitu “Jack kecewa”.
Ah, sudah.
Saya tidak salahkan Ku Syafiq kerana malam pelancaran buku tersebut memang saya ada meluahkan perasaan sebelum membacakan bahagian saya.
Dalam hidup ini, terdapat perkara yang ada baiknya kita simpan dan ada eloknya kita lepaskan. Kebanyakannya saya sudah curahkan dalam 10 buah sajak yang disumbangkan dalam antologi tersebut. Selebihnya, ditumpahkan dalam wawancara bersama-sama pembantu penyelenggara saya, saudara Amir Hamzah, yang banyak memurnikan penyusunan sajak dan penyajak Merabak Sembah. Apa-apa yang berbaki barulah saya muntahkan secara sedar atau tidak sedar semasa berborak dengan kawan-kawan serta kenalan. Apa-apa yang saya tidak sebutkan secara terang-terangan pula, barulah saya mengadu kepada Amir. Sebelum itu, kepada Farah (isteri saya).
Bahagian yang saya rahsiakan atau lupakan—Tuhan sahaja yang tahu.
Merabak Sembah dan Ranah Sajak Malaysia
Selalunya di acara sastera, saya bermulut becok. Banyak pendapat dan tanggapan akan saya ceritakan. Untuk meninggalkan “jejak lembaran” pula membawa saya keluar daripada batas selesa. Akan tetapi, kedua-dau perkara ini bukankah perkara yang sama—bezanya satu tidak didokumenkan dan satu lagi menjadi sebahagian daripada hal internet. Entahlah. Cuma tidak dinafikan, capaian rencana adalah lebih luas daripada sembang di kedai kopi atau berborak di bahagian belakang sebuah acara yang sedang rancak berlangsung. Jadi, ada sedikit perasaan “rentan” (vulnerability) saya rasakan sewaktu membaca tulisan Ku Syafiq lalu saya berniat untuk menghasilkan penulisan ini.
Walau bagaimanapun, saya tergesa-gesa untuk menulisnya kerana berasa ada perkara yang saya mahu sebutkan tentang kekecewaan.
Secara umumnya, kekecewaan saya berakar daripada pemerhatian saya terhadap pendedahan para pembaca dan pengkarya tanah air terhadap dunia sastera tempatan serta luar. Lihat sahaja sajak T. Alias Taib berjudul “Sepi” yang saban tahun tular di media sosial sebagaimana Restoran New Hollywood Ipoh tular lalu dikatakan tidak halal. Hal ini seolah-olah menjadi acara tahunan.
Merabak Sembah belumlah mendapat “pengiktirafan” sebegitu. Namun begitu, kekecewaan saya bukanlah kerana antologi selenggaraan saya ini tidak disambut oleh lapangan sastera tempatan. Tidak. Saya terima hakikatnya bahawa usaha ini sebuah kerja amal demi pembangunan Persuratan Malaysia; suatu “fardu kifayah” saya untuk ranah persajakan Malaysia. Paling kurang—jika tiada penyokong atau pengaruh sekalipun—cukuplah beberapa dekad akan datang kita tahu pada tahun 2024, wujudnya “orang berlima”, sebagaimana empat-lima dekad lalu wujudnya “orang bertiga” dalam lembaran Sejarah Susastera Malaysia.
Sebab-dan-kerana saya rasa apa yang saya rasa muncul daripada memikirkan: adakah kita sudah cukup terdedah; sedalam manakah terperangkapnya kita dalam gelembung sendiri; bagaimanakah untuk kita berhenti berlaung dalam kamar gema swacipta masing-masing?
Patutlah Sasterawan Negara A. Samad Said berpesan: baca, baca, baca, baca, baca dan tulis.
Pahit dan Masin Rasanya
Sebolehnya, saya tidak ingin terus kecewa. Saya tidak mahu menjadi seorang pemarah dan pembenci. Bahkan, saya tahu ada yang akan menegur dan memerli kerana perasaan yang muncul dalam diri saya. Mungkin, ada juga yang akan menyatakan: Apa yang hendak dikesalkan? Kita sendiri yang telah memilih jalan itu.
Bukan kekesalan. Hal ini tentang pengharapan.
Ini bukan soal tahu atau sedar lagi. Hal ini mengenai apa yang dirasai. Walau bagaimanapun, hakikat sampai atau tidak sampai sesuatu karya itu berada di luar kawalan kita. Sama juga dengan perasaan. Saya tiada kawalan untuk berasa kecewa atau sebaliknya—ia hadir sekadarnya, suka atau tidak.
Jika ada orang membaca kerja saya, saya gembira; jika tiada orang membaca hasil saya, adakah berdosa untuk berasa seolah-olah ingin menangis?
Semestinya juga, penerimaan ini bersangkut paut dengan cita rasa dan mutu. Saya tidak boleh memaksa seseorang untuk menyukai sajak konkrit sebagaimana orang tersebut tidak boleh memaksa saya mencintai soneta kurun ke-15. Bahkan, adakah seorang penyajak avant-garde itu sudah mencapai kemuncak bidangnya dan mempersembahkan kepada para audiens sesuatu yang benar-benar tuntas? Hal ini menimbulkan persoalan lanjut: bagaimanakah kita menilai seni konseptual atau seni eksperimental? Saya serahkan jawapan itu kepada rakan-rakan dalam bidang seni rupa, instalasi dan persembahan.
Sebuah karya akan dinilai dan diperkatakan (kalau ia bernasib baik diperkatakan). Itulah syaratnya setelah lahir ke dunia nyata. Setelah ditimbang tara, barulah kita tahu kedudukannya—manikam atau kaca?
Jatuh di rumput tetap gilang atau bunga di tangan kera? Semua ini saya tahu dan sedar. Tetapi saya tetap berasa sugul.
Mungkin, kekecewaan ialah harapan yang tidak terlunas.
Ruang Sedar dan Sedar Ruang
Akan tetapi, kalau sudah tahu, mengapa ambil juga jalan ini? Mengapa rasa apa yang saya rasa? Saya tidak ada jawapannya, kecuali peringatan tentang mengapa kita rasa apa yang kita rasa …
Jika direnung sejenak, penerimaan naskhah seperti Merabak Sembah bukanlah tidak ada langsung. Saya lihat majalah Dewan Sastera di bawah naungan Fadli al-Akiti pernah menerbitkan beberapa sajak eksperimental dalam tahun-tahun terdekat. Majalah Svara isu #11: Julai – September 2022 turut menampilkan tujuh sajak avant-garde oleh N.K. Tidak lupa juga Selangorkini dan Tukang Puisi yang sering memuat naik beberapa sajak yang mengikuti genre ini. Malah, dua penyajak muda yang wajar semua kenali dan menelusuri jalan ini ialah M. Emir, serta Natasha Aziz (lihat akaun Instagram beliau, @tashatulispuisi).
Adakah saya (masih) kecewa? Sudah pasti. Adakah saya tidak tahu jalan yang saya telusuri ini penuh dengan kekecewaan dan kesunyian? Ah, saya yang lalui jalan ini, adakah saya tidak merasakannya—tentulah saya lebih tahu dan mengerti … Akan tetapi, kalau sudah tahu, mengapa ambil juga jalan ini? Mengapa rasa apa yang saya rasa? Saya tidak ada jawapannya, kecuali peringatan tentang mengapa kita rasa apa yang kita rasa:
Dan bahawa sesungguhnya, Dialah (Allah) yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.
……………(Surah an-Najm, 53:43)
Dan, kalau sekalipun saya ada jawapannya, mungkin ia sama seperti Chairil Anwar atau Muhammad Yassin Maamor; seperti Apollinaire atau Cummings; seperti AGI atau Sutardji.
“Sampai tak sampai bukan kerja kita; kerja kita buat sahaja,” bilang Pak AGI.
Itulah sebabnya saya juga selalu bilang: jalan terus.
Walau sedang bersuka mahupun berduka, jalan terus dan “jangan pandang belakang, jangan pandang belakang,” khabar Shūji Terayama, “kerana di belakang kita impian tiada.” Apa yang menanti tolehan kepala hanyalah nostalgia kosong dan pengulangan ingatan lama yang tidak menghasilkan apa-apa. Apa yang kita boleh lakukan—bersama atau berseorangan—ialah jalan terus.
Buruan terbaharu saya ialah buku Found Poems oleh Bern Porter. Terbitan pertamanya pada tahun 1972 oleh Something Else Press, kemudian diterbit semula pada tahun 2011 oleh Nightboat Books. Pada kulit belakangnya, ditulis (berikut ialah terjemahan ringkas saya): “sebahagian besarnya masih tidak dikenali, atau tidak dipedulikan, namun merupakan karya yang sangat berpengaruh dalam sejarah puisi Amerika Syarikat.” Entah mengapa, kata-kata ini menjadi penawar.
Saya berborak dengan Amir dan beliau mengingatkan saya bahawa semasa Frank O’Hara masih hidup, apa yang mereka berempat—bersama-sama John Ashbery, Kenneth Koch dan James Schuyler—hasilkan ketika itu dianggap sebagai “baharu”. Kini, ada yang “lebih baharu” daripada “baharu” dahulu. Begitulah kitaran hidup. Amir juga mengingatkan agar kita membayangkan, bagaimanakah “penyajak generasi akan datang terus melawan dan membina gaya sendiri” yang secara tidak langsung membentuk landskap puisi avant-garde Malaysia dalam dekad-dekad mendatang.
Tentang perasaan kita (baca: saya) pula, hal ini merupakan fitrah. Bukan kita yang minta. Bukan kita ada kawalan terhadapnya. Kita terbatas pada tindak-tanduk, tingkah laku dan keputusan yang kita ambil semata. Atas “keterbatasan” inilah, saya membikin Merabak Sembah.
Saya kecewa, maka saya buat.
Saya menangis dan tertawa, maka saya jalan terus.
Antologi sajak Merabak Sembah boleh dibeli di sini.
Kredit Foto dan Gambar: Ibnu Din Assingkiri dan Félix Vallotton, The Wind (1910)
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.