Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDongeng Zaman
—untuk Tongkat Warrant & Ajikik
waktu petang penyajak terbang
waktu bayang kata-kata memanjang—
zaman ialah sebatang sirat daripada ribuan
surat menjulang seperti angin tertinggal;
nafas yang belum selesai
tapi menyeru untuk
teruskan hidup
dan sampai.
dalam cakerawala suara & semesta dengar:
kau pungguk kau warna sebuah suasana kau gelombang salam benua kau tri-kabur kau kembang melati kau verbal-vokal-visual kau si pendatang tanggang yang pulang kau kali mekong mengembara malamkala kau catatan perjalanan siluet hawa kau memburu di kota silang kata kau amuk sakral-sial menghunus keris kun dihambat mataharistiwa ria kau nyanyikan balada jalanan sarat saraf duka kau bunga tulip penuh katarsis di kota iga kau kafe barat merindukan kuih setempat kau harum tangerin dan nikotin melawan graviti perkasihan kau anekdot rabak rabak rabak paling nothing kau wannabe wannabe wannabe kau tempelengkan bisu terajang sekian sepi dalam sajakjakjak kau dengan aje nge yerrnya mencintai sebuah pekan lama berudara kopi putih dan cinta kau dongeng tengkujuh hawo hok paling brehi kau adegan rumah tangga kau lidah kedua kau pun—
kita bermula dengan sebuah keluh-kesah
kemudian bermimpi berbagai cuaca kisah.
halilintar tenggara membelah bumi malaya
mendedah akar pusaka penuh menjalar;
dalam keterlampauan gelap & cahaya
kita saling meraba-raba setiap debar.
kalau waktu penentu abadi
maka jagat ruang inilah
tempat kita lepaskan
sehirup desah
lagi.