Diterbitkan pada 25 Mei 2024, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku antologi puisi Menjawab Suara Luka merupakan hasil karya yang menghimpunkan 93 puisi bertemakan kemanusiaan dan bahasa daripada 16 orang penulis yang merupakan peserta Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Sastera) 2023.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Antologi Puisi Menjawab Suara Luka pada petang ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, peranan munsyi penting dalam soal pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan.

“Usaha tersebut sekali gus dapat membantu untuk menyebarluaskan peranan dan fungsi DBP kepada masyarakat,” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku Antologi Menjawab Suara Luka pada petang ini, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan buku antologi tersebut, beliau turut mengatakan bahawa penulis berjaya menghasilkan ungkapan yang ringkas dan padat, sekali gus berjaya mengangkat perasaan dan pengalaman penulis kepada pembaca.

Tambah beliau,

Sebagai penerbit, DBP turut mengalu-alukan kerjasama daripada penerbit luar agar dapat menerbitkan lebih banyak buku berkaitan dengan bahasa dan sastera dalam bahasa Melayu.

Penyelenggara Antologi Puisi Menjawab Suara Luka, Tuan Nurimas SN ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian tersebut.

Pada majlis yang sama, Tuan Nurimas SN selaku Penyelenggara antologi puisi Menjawab Suara Luka turut merakamkan ucapan penghargaan kepada DBP kerana telah mewujudkan Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Sastera) bagi tahun 2023 yang dikendalikan oleh Akademi DBP.

“Kami (alumni) merupakan penulis yang dilahirkan oleh DBP dalam bidang sastera dan usaha tersebut merupakan manifestasi kami terhadap penulisan,” ulas beliau ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis pelancaran pada petang ini.

Buku antologi Menjawab Suara Luka merupakan hasil karya penulis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion seperti guru, pensyarah dan pegawai bahasa yang telah berjaya menghasilkan 93 buah karya dari sudut pandang yang berbeza.

Barisan penulis Antologi Puisi Menjawab Suara Luka bergambar kenangan bersama-sama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (duduk di tengah); Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (dua dari kiri), SN Dato’ Rahman Shaari (dua dari kanan); Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa (paling kiri);  Penyelenggara antologi puisi Menjawab Suara Luka, Tuan Nurimas SN (paling kanan) dan tetamu yang lain.

Turut hadir dalam majlis pelancaran buku Menjawab Suara Luka yang diterbitkan oleh Nuha Books ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; SN Dato’ Rahman Shaari; Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa; Penyelenggara dan Penulis antologi puisi Menjawab Suara Luka, Puan Masriyah Misni; tenaga pengajar bagi penerbitan antologi puisi ini; dan barisan penulis antologi yang diterbitkan ini.

Tenaga pengajar bagi bengkel penulisan puisi ini ialah Dr. Saleeh Rahamad, Dr. Mohamad Shahidan, Encik Abd Wahab Hamzah dan Encik Roslan Madun.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi