Oleh Salman Sulaiman
4 Disember 2023, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman merumuskan polemik yang dicetuskannya dengan beberapa jawapan.

Saya hanya tersenyum melihat telatah penulis kita yang begitu sekali bersangka buruk dan sangat mudah berprasangka kotor sedemikian rupa.

Esei saya “Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda Kita?” (16 Oktober 2023) pecah berderai ke dalam belantara sastera kita dengan berbagai reaksi; ada yang dibalas sopan, sindiran dan sedikit hentaman. Saya sengaja menulisnya untuk membuka perbincangan dan agar adanya ruang perdebatan ketika sastera kita saya rasakan sunyi dan sudah agak lama sepi dengan isu-isu hangat dan panas.

Biarlah walaupun ada yang mengatakan hal yang saya cetuskan itu bukanlah polemik yang sebenar, kerana baginya, polemik dalam sastera ini hanya dua sahaja, iaitu polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad pada era 1980-an dan polemik yang dicetuskan oleh Mohd Affandi Hassan menyanggah Anugerah Sastera Negara dan memperkenalkan teori Persuratan Baru yang digagaskannya serta mengkritik Syarahan Perdana Muhammad Haji Salleh melalui buku Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu.

Sebenarnya, banyak lagi polemik yang pernah tercetus dalam sastera kita sejak merdeka hingga ke abad baharu ini. Sebelum itu, sekitar era 1950-an, sastera Melayu hangat dengan polemik fungsi sastera oleh Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50. Khusus untuk penulisan sajak sahaja munculnya beberapa polemik yang hangat di akhbar dan majalah sejak era 50-an hingga tahun-tahun 60-an dan 70-an. Polemik isu “sajak-sajak kabur” yang mula disuarakan dan ditentang dengan jelas dan lantang oleh Kassim Ahmad melalui tulisannya yang berjudul “Aliran-aliran yang Terbaru di dalam Persajakan Melayu” (Dewan Bahasa Julai 1958). Yang ikut serta dalam polemik ini ialah M. Zain Salleh, Suhaimi Haji Muhammad, Noor S. I., A. S. Amin, M. Ghazali, A. Shukur Harun, Hassan Ahmad, A. Samad Said, dan Simposia.

Polemik yang dicetuskan oleh Suhaimi Haji Muhammad pula bermula apabila tulisannya yang bertajuk “Siapa Aku dalam Kesusasteraan Melayu Moden” disiarkan dalam Mastika (Januari 1970). Tulisan Suhaimi ini kemudiannya mendapat maklum balas Yahaya Abdullah, Yahaya Ismail dan Kemala. Dalam tulisan yang dicetuskan oleh Suhaimi itu, beliau sebenarnya berasa kecewa terhadap pengkritik sajak-sajaknya yang hanya mencari keburukan karyanya, sedangkan yang baiknya pada sajak itu sengaja tidak dipedulikan atau menurut kata Suhaimi “dilemparkan ke tepi”.

Kemudian, timbul pula polemik tentang “sajak-sajak pembangunan” yang dimulakan oleh Mohd Nor Abd. Ghani (Norzah) melalui esei yang bertajuk “Apakah Sajak-sajak Pembangunan?” yang disiarkan dalam Dewan Sastera (15 September 1971). Antara penyair yang terlibat dalam polemik yang mula dicetuskan oleh Norzah itu ialah Latiff Mohidin dan Jaafa H.S.

Polemik seterusnya adalah berkenaan “sajak-sajak robot” yang mula disuarakan oleh Ruhaida melalui artikel berjudul “‘Duri di Kaki’ Macam Sastera Arab Zaman Abasiah” siaran Mingguan Malaysia (12 Ogos 1973). Tulisan Ruhaida ini kemudian dijawab oleh Darma Mohammad dan Duri Sembilu. Selepas itu, timbul pula polemik seputar “sajak-sajak kerohanian” yang dimulakan oleh Jaafa H.S. dengan tulisannya, “‘Puisi-puisi Rohaniah’: Satu Pembicaraan” yang disiarkan dalam Dewan Sastera edisi 15 Jun 1978 yang kemudiannya dijawab oleh Suhor Antarsaudara dengan artikelnya berjudul “Suatu Jawapan Untuk Jaafa H.S. Puisi Rohaniah: Landasannya Syariat Mutlak” (Dewan Sastera 15 Ogos 1978).

Saya sendiri pun tidak pernah menamakan apa-apa yang saya mula cetuskan itu sebagai polemik. Hanya orang lain yang memanggilnya begitu. Ada juga yang menegur tentang esei tersebut yang dikatakan pada bahagian-bahagian tertentu bercerita tentang diri sendiri. Malah, turut dipertikaikan apa perlunya orang tahu nombor bilik saya menginap di hotel The Grand Campbell semasa menulis esei berkenaan ketika Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) XII berlangsung. Membaca komentar sebegitu mengingatkan saya kepada Reza Aslan yang memulakan bukunya Tiada Tuhan Melainkan Allah (terjemahan No god but God, ZI Publications, 2011) dengan sedikit kisah peribadi di bahagian permulaan. Dengan gaya penceritaan yang memikat, Reza berjaya menarik perhatian kita untuk terus membaca buku itu apabila dia memulakan catatannya dengan kisah perjalanan dalam kereta api melalui Maghribi menuju ke Marakesh. Terpikat dengan gaya Reza, maka esei saya itu pun sengaja dimulai dengan sedikit kisah diri sendiri. Sedikit sahaja.

Hal ini hanyalah sebahagian rencah dalam penulisan, kerana esei ialah satu genre penulisan yang bebas, disampaikan dengan caranya tersendiri, mengikut kemahuan pengarangnya. Jika buku Reza Aslan yang dikira lebih ilmiah pun memasukkan sedikit catatan peribadi, saya kira sebuah esei lebih bebas daripada itu dan hal tersebut bukanlah satu masalah pun. Saya juga sengaja mencatatkan di sana sini serba sedikit catatan keadaan dan suasana semasa bengkel di samping mengemukakan hujahan utama esei. Malah, sengaja mengirimkan beberapa foto kenangan sewaktu PPN XII kepada editor agar esei tersebut menjadi sebuah travelog, di samping memuatkan beberapa hal serius tentang sastera yang dikemukakan. Agar menjadi sebuah esei yang tidaklah terlalu serius dan kaku, serta tidak pula begitu santai kebudak-budakan.

Namun tidak terfikir pula esei yang saya kemukakan untuk mengangkat suara penulis muda dan pengarang generasi baharu itu, dibantai tibai oleh segelintir penulis sedemikian rupa. Ada beberapa orang yang kata saya ini penulis yang tertinggal kereta api, tidak tahu apa-apa tentang penulis generasi mereka. Takkanlah saya sedemikian bebalnya hingga tidak tahu penulis muda itu menggelembung di situ dan pengarang pemula ini menggelembung di sini ketika hampir semua orang di atas muka bumi ini mempunyai talian internet di telefon masing-masing?

Kita membuka ruang perbincangan agar suara mereka didengar, membuka peluang menulis, sekurang-kurangnya dapatlah nanti RM150 seorang kepada setiap yang memberi reaksi – eh, alih-alih kita pula yang dihentam. Jack Malik dapatlah RM300 sebab dia rajin, kerana Jack satu-satunya yang memberikan dua reaksi, iaitu menjawab polemik tersebut dengan dua esei berbeza. Jack memang saya boleh puji, sebab dia dengan penuh kesopanan dan ketatasusilaannya pantas memberi reaksi, malah dengan membahasakan saya sebagai “Abang”, walaupun kita semua maklum dalam esei cukup dengan menyebut nama sahaja, tanpa perlu menulis segala macam gelaran di pangkal nama. Jack tidak menghentam, tapi dia menyatakan.

Lebih mengejutkan, sebuah esei sastera sekecil itu pun ada suara-suara yang mengatakan kononnya ditulis atas arahan orang-orang tertentu yang berpengaruh dalam sastera. Saya ingin tegaskan di sini, saya bukanlah penulis upahan yang boleh disuruh-suruh atau diajar-ajar begitu dan begini. Saya menulis esei tersebut dengan kehendak hati sendiri tanpa gesaan atau saranan mana-mana pihak. Kerana artikel tersebut bukan bertujuan untuk menjatuhkan sesiapa atau meremehkan orang-orang tertentu. Lembik dan pengecut sangatlah seorang penulis jika dia menulis hanya kerana atas arahan mana-mana pihak. Kononnya dikatakan ada seseorang di belakang penulisan esei tersebut. Saya hanya tersenyum melihat telatah penulis kita yang begitu sekali bersangka buruk dan sangat mudah berprasangka kotor sedemikian rupa.

Dalam dunia sastera yang tidaklah sebesar mana ini lebih elok kita sama-sama bergandingan, bukannya saling tuding-menuding menyalahkan.

Sejak lama dulu, saya mengkritik dengan menggunakan pena, menegur dalam esei dan rencana – bermediumkan kata-kata. Tidak pernah diarah gesa oleh sesiapa, melainkan hanya dengan gerak detak hati sendiri. Malah, sejak hampir 20 tahun lalu saya telah menegur dalam tulisan. Saya bawakan buktinya di sini. Saya sudah pun mengkritik program yang dilaksanakan oleh organisasi sastera kita sekitar tahun 2005 dan 2006 dalam tulisan berjudul “Apa Kesudahannya Resolusi?” yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 11 Mac 2007. Jadi, saya bukanlah muncul secara tiba-tiba dan terus saja membantai orang melulu begitu. Saya ada dalam sastera ini sejak tahun 1999 apabila sajak pertama saya bertajuk “Tangkai-tangkai Bahasa” dikumpulkan dalam buku Sumpah Setia Bahasa terbitan GAPENA. Baik, cukup. Nanti ada yang kata cerita hal diri sendiri pula, walhal saya cuma ingin menghuraikan latarnya saja, tanpa berlebih-lebih memperincikan biodata peribadi.

Lebih mengejutkan, ada satu artikel yang memberi reaksi pada esei cetusan saya itu yang dikatakan sebagai “keterangan maklumat peribadi yang menyamar jadi esei”. Hinggakan ada pengarang muda yang menyarankan agar penulis reaksi tersebut tidak lagi menulis iaitu secara tepatnya: berhenti menulis, kerana bagi pengarang muda tadi tulisan hasil karya penulis tersebut tidak memberi manfaat. Namun begitu, saya tidaklah mengkritik orang sampai menerkam seperti harimau lapar begitu. Itu bukan mengkritik hasil tulisan lagi, itu sudah masuk emosi dan menyentuh peribadi, malah hampir-hampir seperti mahu menutup periuk nasi.

Ada juga yang dengan selamba badaknya mengatakan polemik yang mendapat reaksi balas bertubi-tubi yang saya cetuskan ini adalah sia-sia sahaja dan disimpulkan daripada polemik yang memakan masa dua bulan itu bahawa para penulis kita ini begitu cetek visinya. Amboi, amboi sedapnya bercakap. Kalau hendak cari visi penulis dan mahukan perbincangan yang lebih menyeluruh tentang sastera, carilah dalam kertas kerja yang lebih panjang dan terperinci. Ruangan Reaksi majalah e-Dewan Sastera tempat saya mencetuskan polemik itu pun sangat terhad ruangannya. Jika saya ingin menulis banyak isu dalam satu esei yang panjang, tentu saja tidak dapat disiarkan di situ. Ingatan saya kepada penulis yang membuat kesimpulan mudah begini, tulislah satu esei panjang yang memuatkan keseluruhan visi saudara, dan kirim ke jurnal atau ke majalah Dewan Sastera bercetak juga boleh. Lebih elok lagi, tulis saja segala visi, semua idea dan pelbagai isu yang saudara ingin bangkitkan tentang sastera kita ini dalam satu buku khusus; terbitkan. Nanti buku itu kita sama-sama kritik dan bahaskan idea di dalamnya. Begitu sangat praktikal saya rasa dan akan lebih merakyat tulisan saudara.

Janganlah membuat kesimpulan mudah dalam satu rangkap begitu untuk memenangkan hujah saudara yang menjadikan orang lain kalah dan salah semuanya. Polemik yang saya cetuskan bukanlah untuk mencari siapa menang dan siapa kalah. Kita berbincang dan berpolemik secara sihat untuk tujuan penyatuan dan menyatukan, serta agar sastera kita terus maju ke hadapan dan sampai ke peringkat antarabangsa, seperti karya sastera dari belahan dunia yang lain juga.

Dalam dunia sastera yang tidaklah sebesar mana ini lebih elok kita sama-sama bergandingan, bukannya saling tuding-menuding menyalahkan. Itulah juga tujuan polemik yang saya cetuskan, agar kita berpakat dengan penuh muafakat. Bukannya terus-terusan sindir menyindir begitu. Dalam dunia sastera yang sempit ini, kita sepatutnya saling bertolongan, bukan saling menyalahkan.

Ada kisah yang boleh kita ambil iktibar berkaitan hal ini dalam karya pedoman silam yang terkenal, Dongeng-dongeng Esop (Oxford University Press, 1960). Seekor keldai yang dalam perjalanan bersama seekor kuda berserta tuannya meminta agar kuda membantunya dengan turut sama-sama memikul bebanan yang dibawanya. Ujar keldai kepada kuda, “Ambillah sedikit bebananku ini jika kau sudi membantuku.” Namun kuda tidak mahu langsung menolong, menyebabkan keldai tadi teramat penat hingga mati.

Maka tuannya mengalih semua bebanan keldai tadi ke atas belakang kuda pula berserta bangkai keldai itu sekali. Maka kuda itu meratap dengan amat pilu sambil menitiskan air mata kesedihan, “Ya Allah, betapa sengsaranya aku. Tadi aku tidak mahu membawa beban yang ringan. Sekarang lihatlah, aku terpaksa menanggung semua beban yang berat ini bersendirian.”

Saya juga teringatkan nasihat Imam al-Ghazali kepada anak muridnya dalam Ayyuhal Walad (Khazanah Banjariah, 2016) bahawa tidak semua soalan perlu tergesa-gesa ditanyakan, kerana ada juga soalan yang tiba masanya akan terjawab dengan sendiri. Jadi, tidak perlulah saya jawab satu per satu persoalan yang dikemukakan dalam reaksi yang memberi maklum balas terhadap esei saya yang menjadi pencetus polemik itu. Apa yang saya kemukakan dalam esei itu pun sudah membangkitkan sekian banyak maklum balas dan dikupas dari pelbagai sudut oleh para penulis muda kita, malah penulis lama juga.

Hasrat awal saya untuk mendengar suara orang muda sudah tercapai. Saya mahu golongan muda yang tidak diberi ruang membentangkan kertas kerja dalam PPN XII baru-baru ini bersuara, agar dapat didengar pendapat dan idea besar mereka oleh gergasi-gergasi sastera yang sekian lama menguasai dunia kesusasteraan kita. Tapi sayangnya, cetusan awal saya melalui esei itu agar para penulis muda tampil menyuarakan pandangan telah disalah anggap oleh sebahagian penulis muda itu sendiri.

Saya mahu isu dan idea bercambah-cambah dengan adanya penglibatan ramai penulis bersoal balas dan aktif memberi reaksi. Saya mahu dunia kritikan kita hidup dan meriah. Judul esei tersebut yang sengaja menyeru penulis muda itu hanya pancingan semata-mata. Pancingan untuk meraih perhatian para penulis muda yang membara, yang aktif, yang rajin dan gigih, dan yang benar-benar mencintai sastera ini dengan jiwa tulusnya untuk melihat sastera kita terus hidup, maju dan berkembang luas serta diterima baca karyanya oleh semua lapisan dan pelbagai golongan.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang melibatkan diri dalam polemik kecil ini, iaitu Jack Malik, Lokman Hakim, Naim al-Kelantani, Ramlee Wahab, Sinaganaga, Nimoiz T.Y, Shahkang, Izzat Isa, Arafat Hambali, Ibnu Din Assingkiri, Raja Yusoff Ariffin, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Mana Sikana, dan Ilhami Hisham. Terima kasih juga kepada Lutfi Ishak kerana dipilih oleh editor Dewan Sastera untuk masuk ke dalam polemik ini dengan sebuah esei ilmiahnya yang bermanfaat kepada para penulis muda, walaupun tulisan tersebut telah siap lama sebelum polemik ini tercetus.

Kredit Foto: BonnieElliot

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.