Oleh Shahkang
23 Oktober 2023, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shahkang menulis artikel balas kepada tulisan Salman Sulaiman, “Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda Kita?

Kehilangan penulis muda bukanlah sesuatu yang baharu. Terdapat pelbagai faktor untuk menjelaskan ‘kehilangan’ ini.

Lazimnya, pabila melihat pautan melintas di laman media sosial, saya tidak lekas menekan. Dalam to-do-list, masih bersusun hal berkaitan pekerjaan (atau hal keluarga seperti membeli ubat selesema kanak-kanak di farmasi). Saya akan tunggu sehingga benar-benar lapang. Selalunya, masa lapang tidak muncul maka pautan itu tidak pernah dikunjungi pun.

Tetapi artikel tulisan Sdr. Salman Sulaiman begitu menggamit. Tajuknya terutama, seakan-akan sedang memerli saya. Sementelahan penulis menyebut tentang Pertemuan Penyair Nusantara (PPN), yang pernah saya sertai di Palembang pada tahun 2011. Namun kini, saya boleh dianggap sebagai menghilang, jika mengambil konteks “kehilangan”, seperti yang dikatakan penulis. Saya tidak lagi aktif menyertai acara sastera peringkat nasional (walaupun dahulunya tidaklah aktif mana). Sebahagian penulis senior turut bertanya, “Mana hang pi lama tak nampak,” meskipun di Facebook saya masih wujud dengan tulisan picisan harian – perihal kucing, pengajaran, marah dengan kereta siput di jalan raya bendang Perlis, dan lain-lain.

Dalam artikel tersebut, penulis menjelaskan kurangnya penyertaan penulis muda dalam PPN XII 2023 baru-baru ini. Dalam erti kata lain, hanya penulis lama atau veteran sahaja yang memunculkan diri sebagai peserta.

Kehilangan penulis muda bukanlah sesuatu yang baharu. Terdapat pelbagai faktor untuk menjelaskan “kehilangan” ini. Oleh sebab itu, saya sanggup mencelah di sebalik kesibukan harian bertemankan kopi sejuk ini untuk menyatakan sudut pandang, kononnya untuk merungkaikan misteri “kehilangan” ini dalam konteks yang lebih besar (bukan sekadar ketiadaan sewaktu PPN XII 2023). Terpulanglah jika pembaca merasakan artikel ini berbentuk memberi alasan lagak surat tunjuk sebab tidak hadir ke sekolah. Saya fikir tentu pembaca mengomel, “Penulis muda hilang sebab depa malaih, ’tu saja!”

Yang sebenarnya, kehilangan para penulis muda dapat dirangkumkan seperti yang berikut:

Pertama, berkenaan semangat untuk berpersatuan. Maksud berpersatuan di sini ialah persatuan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), yakni mempunyai ahli jawatankuasa dan perlu melaksanakan mesyuarat agung tahunan berserta laporan lengkap dan audit penyata kewangan. Saya faham keperluan ini melalui pengalaman menjadi Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) sejak tahun 2018. Sebagai seorang yang terlibat dengan dunia pentadbiran di tempat kerja hakiki, urusan sebegini bukan luar biasa.

Segala keperluan pentadbiran ini mematikan semangat orang muda. Renyah, begitulah. Rata-rata mereka tidak berminat soal pengurusan, mengakibatkan hanya orang lama yang memegang tampuk kepimpinan. Akibatnya, program bersifat formal dan rasmi yang lazimnya digerakkan oleh persatuan penulis, gagal untuk sampai kepada pengetahuan orang muda. Minat orang muda tidak dapat diangkat oleh persatuan ini. Tambahan lagi, terdapat persatuan yang masih menggunakan surat rasmi untuk hebahan acara – yang mana tidak mesra dengan cara orang muda yang mengutamakan hebahan melalui platform digital.

Sebahagian persatuan pula terpalit dengan isu politik orang lama yang tidak pernah habis. Isu persatuan mana lebih rasmi, mana lebih utama, politik pemilihan ahli jawatankuasa. Tidak kurang sesetengah ahli menjadikan persatuan untuk menaikkan diri sendiri (tak kisahlah aspek politik, naik pangkat atau sebagainya) – semua hal remeh ini membunuh minat penulis muda untuk terlibat dalam persatuan.

Tidak menyertai persatuan berdaftar bukan membawa maksud penulis muda bergerak secara mandiri. Penulis muda mempunyai gelembung minat yang tersendiri. Bilangan ahli dalam gelembung ini lebih ramai daripada ahli aktif persatuan rasmi berdaftar yang datang ke mesyuarat agung (banyak ahli menyepi, sebenarnya). Gelembung anak muda ini bebas daripada sebarang formaliti. Fokus mereka hanya terhadap seni, penulisan, diskusi ilmiah, dan majlis sosial santai. Tidak memerlukan sebarang perasmian oleh VIP dan atur cara rasmi. Sesetengah daripada perjumpaan ahli gelembung ini hanya diatur dalam masa beberapa jam dan terus berlangsung di pojok sebuah kedai kopi atau taman awam – tanpa melibatkan sebarang bentuk permohonan kertas kerja.

Dalam artikel balas Sdr. Jack Malik terhadap artikel yang sama, penulis menjelaskan pada ketika hari kejadian, sekelompok penulis muda mempunyai acara tersendiri di bandar Ipoh. Cuma, jika acara ini tidak diadakan, apakah khalayak sama akan menyertai PPN XII 2023 meskipun ditaja makan minum dan tempat tinggal? Hal itu sesuatu untuk direnungkan oleh sekretariat PPN XII 2023 dan penganjur aktiviti yang seumpama pada masa hadapan.

Lanjutan daripada perkara di atas membawa kepada sebab kehilangan penulis muda yang kedua, iaitu minat berbeza dengan aliran perdana. Penulis muda merasakan diri mereka tidak boleh duduk sebaris dengan penulis aliran perdana atas dasar gaya penulisan berbeza. Sebahagian yang nakal mengatakan gaya perdana ini sebagai “Gaya DBP”. Isu kualiti begitu subjektif lalu membawa kepada perdebatan berkaitan teknikal yang tiada berpenghujung. Contohnya, “Adakah karya ini puisi atau tidak?”, “Kenapa cerpen anda tiada klimaks?” dan “Mana bahagian peleraian?” Pokoknya, semacam ada paksaan kepada penulis muda untuk mengikut gaya tertentu. Jika hal ini terus dijadikan polemik, bersedialah untuk kehilangan lebih ramai penulis muda yang berpotensi.

Berkenaan ketiadaan pembentang penulis muda sewaktu seminar juga berkaitan dengan minat dan pendekatan. Penulis muda merasakan diri mereka tidak menepati aliran perdana. Timbul juga isu inferior, yang penulis muda merasakan tidak cukup pandai untuk duduk sebaris dengan para sarjana bidang sastera. Idea anak muda ini, mungkin jauh lebih hebat daripada para sarjana yang gah pada nama namun tidak pada kualiti (tak apalah saya malas nak mengulas isu akademik di sini).

Pasca COVID-19 juga mengarah kepada penggunaan teknologi untuk penganjuran acara. Sebahagian penulis muda merasakan mengapa perlunya program dialog fizikal di ibu kota, sedangkan acara sama boleh dilaksanakan melalui X (dahulunya Twitter) dengan capaian peserta daripada seluruh negara (dan dunia). Dengan sesetengah penulis muda yang introvert (atau jenis segan-segan), pertemuan fizikal dan keperluan beramah mesra lagak pak cik mak cik di warung makan pagi, merupakan sesuatu yang menggusarkan. Cukuplah sekadar di rumah, menyertai forum sastera secara maya.

Penulis muda merasakan diri mereka tidak boleh duduk sebaris dengan penulis aliran perdana atas dasar gaya penulisan berbeza.

Pengalaman peribadi saya terlibat dalam suatu acara sembang santai maya di Twitter beberapa tahun lepas begitu mengujakan dengan jumlah penyertaan yang memberangsangkan. Tidaklah sampai ratusan penyertaan, tetapi sekurang-kurangnya penyertaan anak muda adalah lebih ramai berbanding seminar sastera yang dianjurkan secara fizikal oleh persatuan berdaftar (yang pernah saya hadir sebagai satu-satunya peserta bawah umur 30-an).

Ketiga, kehilangan penulis muda turut berkait dengan faktor komitmen. Dalam perjalanan penulis muda atau mana-mana generasi penulis pun, ada yang terhenti setelah berkahwin dan mempunyai anak. Secara peribadi, penglibatan aktif saya di acara sastera luar Perlis hanyalah ketika sebelum berkahwin dan belum mempunyai anak. Kini, dengan tugasan sebagai pensyarah, pentadbir dan ayah kepada dua orang puteri, masa saya untuk diluangkan kepada acara sastera di ibu kota, terpaksa dihadkan. Ya, saya tahu anda sedang mengatakan hal ini contoh “isu malas” dan “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, tetapi setiap individu mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Keempat, faktor geografi turut memainkan peranan. Tidak semua penulis muda berhimpun di ibu kota. Dengan faktor ekonomi masa kini yang menekan, minat untuk menghadiri majlis segera terbatal apabila mencongak kos pengangkutan dan makan minum. Kalau naik kereta api, tersangkut pula membeli Starbucks di KL Sentral – kos-kos sampingan ini segera mematikan hasrat. Dahulunya, kereta api kelas ketiga dari Arau ke Kuala Lumpur cuma sekitar RM18. Hari ini, harganya sekitar RM75. Sementelahan itu, terdapat program yang memerlukan yuran penyertaan dan kos penginapan. Dalam situasi dikekang oleh hal kewangan, tentunya hal-hal utama (makan minum, simpan duit untuk berkahwin) akan mendominasi.

Di Perlis misalnya, saya tidak dianggap hilang kerana sentiasa muncul dalam acara anjuran tempatan. Namun begitu, penulis asal Perlis seperti Akif Jebat yang bertugas sebagai guru di Negeri Sembilan sudah tentu dianggap hilang atas faktor jarak. Tidak adil jika saya ingin menuduhnya sebagai “hilang”, sedangkan Akif aktif di medium yang lain.

(Mujurlah penulis Perlis yang meningkat nama, Afif Zulhusni berada di Pulau Pinang dan boleh tiba di Perlis untuk sebarang acara dalam masa hanya dua jam dengan menaiki tren komuter dengan harga belasan ringgit sehala.)

Begitulah, empat faktor penyumbang pada kehilangan penulis muda seperti yang dikatakan oleh Sdr. Salman Sulaiman lewat artikelnya. Dengan hormatnya, saya merasakan hal yang diperkatakan olehnya, ada betulnya. Namun untuk menimbang hanya dengan beberapa acara yang dianjurkan oleh kelompok hampir sama (baca: aliran perdana) adalah kurang tepat. Kita boleh perluaskan lagi pengamatan tentang situasi penglibatan anak muda di rentas gelembung minat dan geografi, selain mengambil kira faktor generasi muda yang sudah kurang gemar untuk berpersatuan secara rasmi dan lebih kepingin, sesuatu yang digital dan di hujung jari.

Masa untuk sama-sama kita muhasabah dan merapatkan jurang tua-muda, perdana-indie, hitam-putih, pahit-manis, dan apa-apa lagi yang seumpamanya.

Kredit Foto: “Aidilfitri 2023” oleh Adam Suharto

_________________________

Shahkang merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Graduan dalam bidang kejuruteraan mekanikal tetapi minatnya terkepung antara dunia pendidikan, sastera, kejuruteraan dengan rencam bidang yang beliau sendiri pun lupa kerana terlalu banyak. Gemar menulis cerpen dan sering menjelmakan dirinya sebagai kucing lewat cerpen-cerpen yang ditukangi. Sekali-sekala menulis artikel berkaitan penyelidikannya dalam bidang kelestarian sumber.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.