Oleh Jack Malik
20 Oktober 2023, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik menyambung reaksi dengan menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Naim al-Kelantani.

Sekarang, kita semua cuma tinggal untuk keluar daripada tempurung kelapa besi dan beranikan diri untuk memasuki ruang luar keselesaan.

Masalah yang Naim al-Kelantani nyatakan semestinya kita akan dengar lagi pada tahun-tahun mendatang. Pesimisme Lokman Hakim juga ada dasarnya: persatuan bukanlah kewajiban yang akbar dalam kehidupan seorang penulis. Wacana, melainkan ia dikarang dan diterbitkan dalam kumpulan esei, tidak semestinya penting untuk perkembangan seorang penulis. Dalam tulisan mereka sebelum ini, Naim dan Lokman senada—penulis harus menulis. Saya turut memiliki pandangan yang sama.

Apa yang susahnya? Red Smith berkata, “menulis tiada apa-apa pun, kau duduk depan mesin taip dan belah urat nadi kau dan biar darah kau mengalir.”

Dan untuk menulis, seseorang itu perlu membaca, membaca, membaca—kemudian, keluar bergaul. Sama ada secara berkolektif atau mengikut persatuan atau sekadar bersendirian, menyelitkan diri jika berkesempatan ke dalam aktiviti kesusasteraan. Terpulanglah.

Hal utama masih sama: BACA dan TULIS.

Naim dalam eseinya mendakwa saya lari daripada menjawab persoalan dasar (esei Salman Sulaiman), iaitu “tidak nampak program penyatuan antara dua generasi” tua-dan-muda. Baiklah. Saya tidak akan mengelat. Perihal penyatuan ini sebenarnya tertakluk pada kesedaran penganjur dan kehendak hadirin. Naim sendiri simpulkan penulis tua tidak hiraukan orang muda dan penulis muda rasa program orang tua tidak kool. Bukankah ini soal pilihan? Maka, pilihan bergantung pada diri sendiri.

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, gemar atau tidak, bola sudah memasuki gelanggang masing-masing; ikut sukalah hendak tekong dengan siapa dan bagaimana. Rangka tindakan (blue print) pun sudah ada. Saya meletakkan Pesta Sastera Georgetown (Georgetown Literary Festival) sebagai penanda aras penyatuan pelbagai pihak kerana mereka menyediakan ruang untuk para penulis muda dalam-dan-luar negeri untuk berkongsi pentas bersama nama-nama besar sastera dunia dan tanah air.

Bukan sahaja Pesta Sastera Georgetown sahaja yang membuat penyatuan ini. Banyak lagi acara kesusasteraan yang turut melaksanakannya. Bahasa mudahnya: “kita buat dia.

Sekarang, kita semua cuma tinggal untuk keluar daripada tempurung kelapa besi dan beranikan diri untuk memasuki ruang luar keselesaan. Kalau anda seorang penulis bahasa Melayu, pernahkah anda menjejakkan kaki ke sebuah acara yang mediumnya bahasa Inggeris (atau apa-apa bahasa selain bahasa Melayu)? Cubalah. Barangkali kita akan tersedar betapa benarnya kata-kata Usman Awang, “bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa?

Mungkin didikan kolektif saya, Projek Rabak, membuatkan saya tidak pedulikan sangat mengenai kehadiran khalayak di acara sastera. Bagi kami, lepak bersama kawan-kawan dan berkarya lebih berhasil dan besar. Selebihnya “[m]embaca berterusan dan berkarya tanpa kekangan”, seperti Lokman nyatakan. Nah, nama lain untuk kerat urat dan biarkan apa yang perlu mengalir—mengalir. Inilah yang sepatutnya penulis lakukan dalam ruang upaya masing-masing. Kalau tiada ruang, duduk dan bikinlah ruang itu sendiri.

Semudah apa yang Red Smith katakan.

Akan tetapi selain menulis, Aliff Awan mengingatkan saya, alang-alang jalan terus ada baiknya kita berkenal-kenalan. Melalui kecurigaan yang terbunuh dapatlah kita menemui suku seni masing-masing. Persahabatan ialah sesuatu yang luhur.

Kesibukan hidup. Orang tua kononnya tidak faham semangat zaman. Orang muda rasa orang tua cringe. Penulis mandiri yang merasakan dia seorang outsider. Penulis berpersatuan dalam kamar gema. Editor Dewan Sastera menggeleng kepala tetapi tetap menyiarkan pandangan semua orang. Para pembaca triggered. Balas-membalas. Ini semua isu bermusim dan tidak akan berkesudahan. Jawapan dan penjelasan subjektif yang tiada kemutlakan.

Demikian, apa yang kita semua boleh lakukan hanyalah satu: jalan terus.

Penulis harus menulis. Itulah klise atau ratib hakiki. Karya mengatasi segalanya—gelaran, persatuan, pangkat, ideologi, manifesto, dan segala apa yang lain jatuh sebagai perkara kedua selepas berkarya. Akan tetapi selain menulis, Aliff Awan mengingatkan saya, alang-alang jalan terus ada baiknya kita berkenal-kenalan. Melalui kecurigaan yang terbunuh dapatlah kita menemui suku seni masing-masing. Persahabatan ialah sesuatu yang luhur.

Sejarah telah menyimpan pelbagai jenis gerakan dan kumpulan seni. Di tanah air kita sendiri pernah ada ASAS 50, Orang Bertiga (Penyair Kabur) dan Anak Alam. Hidup secara berkolektif—andai kata itu pilihannya—sebenarnya mampu memperkenalkan seorang penulis dengan dunia seni yang lebih luas.

Pertama kali saya mengetahui tentang Beat Generation adalah melalui Projek Rabak. Pengasasnya, Mohd Jayzuan, memperkenalkan saya pada nama-nama seperti Allen Ginsberg, Jack Kerouac dan William S. Burroughs. Selebihnya saya meneroka dengan sendiri dan begitulah sejarahnya. Melalui Beat Generation pula, saya mengenali dua lagi gerakan sezaman mereka: New York School of Poets dan Black Mountain Poets.

Beat Generation hadir dengan membawa karya yang mengangkat zaman dan kawan-kawan mereka. “I saw the best minds of my generation destroyed by madness, starving hysterical naked,” kata Allen Ginsberg. Betapa mahalnya baris pertama itu. Sampaikan saya sendiri terfikir: siapakah agak-agaknya minda terbaik generasi saya? Mengapa Ginsberg menulis tentang kawan-kawan dia? Bukankah beliau Allen Ginsberg: susuk legenda scene sasteranya ketika itu—apa yang Ginsberg dapat kalau memetik nama dan karya kawan-kawannya? Tetapi hakikatnya beliau tetap berbuat demikian dan melalui petik-petik nama inilah saya mengenali karya Beat yang lain.

Adakah penyajak sezaman saya akan menulis tentang kawan-kawan mereka—bukan mengangkat atau memuja membuta tuli semata-mata. Adakah kita sudi untuk merakam dan meraikan kegilaan masing-masing dalam mengejar kata-kata dan menuju ufuk kemungkinan nan luas? Latiff Mohidin pernah menulis untuk Salleh Ben Joned; A. Ghafar Ibrahim menulis untuk Dino SS. Saya nampak zaman saya Karim Mohd sudah menulis untuk Abdullah Hussaini. Dalam Wannabe Sasau, Sajakjakja(c)k dan Gampang!, saya sudah menulis untuk ramai orang. Inilah cara saya meraikan waktu dan tempat saya. Tetapi wajarkah saya memetik semua nama yang saya rasa penting ke dalam karya saya?

Sepanjang saya bersama Projek Rabak, jawapannya sudah tentu wajar. Ia wajar bagi saya sebab sifirnya tidak rumit: kalau bukan kita meraikan dan mengangkat, siapa lagi?

Malah, penyajak New York juga menulis tentang kawan-kawan mereka. Frank O’hara dan Kenneth Koch menulis tentang John Ashbery; James Schuyler menulis tentang Frank O’Hara. Sambil mengingati kawan-kawan, mereka bersajak dan berkarya dengan penuh bersahaja, seolah-olah menulis tentang teman mereka itu hanyalah seperti sebuah hari yang serupa hari-hari lain.

Black Mountain Poets pula tidak pernah meletakkan sebarang label pada diri mereka. Penyelenggara The New American Poetry 1945-1960 , Donald Allen, meletakkan “istilah” tersebut. Para penyajak label ini sebenarnya terhubung melalui Black Mountain College, sebuah kolej swasta sastera liberal sekitar tahun 1950-an. Robert Creeley dan Charles Olson merupakan tenaga pengajar untuk institut tersebut. Black Mountain Poets juga bergaul dengan artis daripada pelbagai disiplin seperti John Cage dan Willem de Kooning. Selain saling berhubungan dengan para penulis Beat, tidak hairanlah kumpulan ini dahulunya memacu ranah sastera di Amerika Syarikat dan telah meninggalkan pusaka kepengarangan yang luas hingga ke hari ini.

Hidup berkolektif tidak pernah merugikan, saya percaya. Apabila seorang penulis keluar daripada keterbatasan buku, lalu dia bertemu dengan budi dan akal sealiran, sering kali perkara magis akan berlaku.

Perjalanan hidup seorang penulis tidak semestinya tanpa sokongan taulan atau wajar menyandang jawatan dalam badan kesusasteraan. Berada dalam kelompok juga bukan tuntutan paling mustahak. Itu semua pilihan. Andai kita menemui teman sefahaman yang saling mendorong untuk berkarya dan mencuba perkara-perkara baharu, itu sudah cukup baik. Bersama-sama membina tanah persamaan. Kemudian, meneroka seribu rentak kemungkinan yang penuh getar dan bunyi mengasyikkan.

Kredit Foto: Mikael Kristenson/Unsplash

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.