Oleh Karmila Azmi
8 Jun 2023, 14:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Karmila Azmi meneliti kembali beberapa nama penulis yang terpinggir daripada pencalonan dan pemilihan untuk Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award), Anugerah Sastera Negara dan anugerah sastera berprestij yang lain.

Namun begitu, siapakah yang sudi mencalonkannya sebagai SN? Beliau tidak berpersatuan, tiada pengikut, tiada anak murid, tetapi karyanya sangat baik. Adakah penulis seperti ini tidak layak dinobatkan sebagai SN?

Apabila kita menyebut nama Leonardo da Vinci, secepat kilat orang akan mengaitkan tokoh itu dengan potret Mona Lisa. Begitu juga kalau kita menyebut Sasterawan Negara (SN) Noordin Hassan, lekas umum akan menyebut drama Sirih Bertepuk Pinang Menari atau Mana Setangginya? Sama juga dengan SN A. Samad Said, lekas sahaja umum akan menyebut Salina atau Hujan Pagi.

Contoh di atas menjelaskan karya menjadi identiti kepada seorang pengarang. Meskipun dia menghasilkan banyak karya lain, tetapi ada beberapa naskhah yang akan lekat dalam kepala orang ramai kerana kualiti atau persona, mungkin juga publisiti naskhah itu.

Justeru, dalam usaha memilih seorang penulis untuk diangkat sebagai Sasterawan Negara melalui Anugerah Sastera Negara, atau mungkin juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award), kekuatan karya perlu dijadikan ukuran.

Kekuatan karya ini harus menjadi hal yang pertama dalam pemilihan, sebelum diikuti dengan syarat lain yang digariskan dalam pemilihan. Misalnya, adakah penulis itu konsisten berkarya atau pernah terhenti seketika sebelum menyambung semula pengkaryaannya? Syarat kedua itu sebenarnya boleh diperdebatkan. Sama ada dia konsisten atau tidak dalam berkarya sebenarnya merupakan hal yang boleh diketepikan jika karyanya benar-benar kuat.

Walau bagaimanapun, syarat lain yang turut digariskan seperti sumbangan kepada masyarakat, misalnya aktif dalam persatuan penulis haruslah dikeluarkan daripada garis panduan yang ada.

Mengapa? Kerana syarat itu kelihatannya menyekat beberapa penulis yang berwibawa untuk diangkat sebagai SN atau penerima SEA Write.

Sebelum ini, ketika Rahimidin Zahari meninggal dunia, ramai yang mengeluh kerana beliau tidak diangkat sebagai penerima SEA Write sedangkan kualiti karyanya amat baik. Malah, sehingga kini, kumpulan puisinya Sekepal Tanah masih diperkatakan. Malah ketika hidupnya, puisi-puisinya sudah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa asing, misalnya bahasa Rusia, Arab, Perancis, dan tentu sahaja bahasa Inggeris.

Begitu juga apabila Suhaimi Haji Muhammad dan Azizi Haji Abdullah meninggal dunia, khalayak sastera pun meratap, mengapa kedua-dua penulis yang hebat ini tidak diiktiraf untuk SN? Sedangkan kualiti karya mereka sangat baik. Misalnya, Suhaimi dalam Alam Anggur menghimpunkan puisi-puisi yang baik. Malah, karyanya banyak sekali dikaji oleh para sarjana. Azizi juga begitu, siapa boleh melupakan naskhah seperti Kawin-kawin atau Ayahanda, malah cerpennya “Pendoa yang Ikhlas” hingga kini diperkatakan, malah diadaptasikan menjadi telefilem. Namun begitu, bukan rezeki mereka dinobat di dunia. Hal yang sama disebutkan apabila T. Alias Taib meninggal dunia.

Keluhan demi keluhan itu sebenarnya perlu diambil perhatian. Bukankah baik kita memberi pengiktirafan kepada orang yang sepatutnya? Jangan jadikan alasan konsistensi atau kegiatan atau sumbangan pada persatuan yang kurang untuk menyekat hak mereka.

Misalnya, di manakah Baharuddin Kahar ketika ini? Sejak dahulu kita membaca karyanya. Mereka yang bersekolah tahun 1980-an tentu ingat dengan Senjakala atau mungkin dengan cerpen “Capa Rengat”nya. Baru-baru ini juga, beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Perak – anugerah yang sangat bermakna untuk penulis seperti Baharuddin.

Namun begitu, siapakah yang sudi mencalonkannya sebagai SN? Beliau tidak berpersatuan, tiada pengikut, tiada anak murid, tetapi karyanya sangat baik. Adakah penulis seperti ini tidak layak dinobatkan sebagai SN?

Begitu juga dengan Zainal Rashid Ahmad, Zaen Kasturi (sudah menerima SEA Write) atau Jong Chian Lai (sudah menerima SEA Write) untuk Anugerah Sastera Negara. Tidakkah kita mahu mengangkat penulis dengan kualiti karya yang baik? Atau kita masih mahu mengambil kira merit berpersatuan?

Mereka yang dinamakan, tidak akan melobi diri sendiri tentunya, jadi siapa yang boleh berbuat demikian kerana syarat menjadi SN atau SEA Write itu adalah berdasarkan pencalonan daripada pihak ketiga. Jadi, siapa? Adakah penulis itu perlu menulis sendiri pencalonan dan meminta persatuan menolong mencalonkan dirinya? Adakah itu kaedah terbaik jika tidak ada pihak sudi mencalonkan dirinya?

Hal ini merisaukan kerana berdasarkan khabar angin dalam kalangan penggiat sastera menyebut, ada juga penulis yang tidak diketahui apa-apa karya sasteranya telah mara ke peringkat akhir pencalonan sebuah hadiah sastera yang berprestij beberapa tahun lalu. Calon seperti itu sepatutnya sudah dicantas pada peringkat awal lagi untuk memberikan laluan kepada penulis lain, kerana ada penulis yang lebih layak.

SN juga ialah pengiktirafan untuk bidang sastera. Jadi, mereka yang dinobatkan haruslah orang yang betul. Kualiti karya ialah hal paling utama. Tidak kira siapa dia, tetapi jika karyanya tiada atau kalau ada tetapi tiada kualiti, mohon cantas saja!

Kepada juri buat hadiah sastera pada tahun-tahun hadapan, janganlah memilih atas dasar “Hanya itu saja nama yang diberikan kepada kami.” Sebaliknya, berfikirlah di luar kotak. Ada sebab mengapa anda dilantik sebagai juri hadiah sastera. Dekati, terokai dan analisis sebaik-baiknya, dan jangan hanya kenal penulis zaman anda sahaja sehingga terlalu ramai penulis yang dianggap sebagai “muda” (tapi sebenarnya sudah tua). Jika tiada nama dalam senarai, sila gali lagi!

Jika tidak mampu, mohon janganlah jadi juri, kerana akhirnya, anda akan merosakkan sastera yang tidak anda kenali.

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Karmila Azmi penulis bebas dan penyelidik sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.