Oleh Salman Sulaiman
9 Februari 2024, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman mengangkat pengarang Kelantan, Darma Mohammad sebagai calon terbaik bagi SEA Write Award atau Anugerah Penulis Asia Tenggara yang terkini.

Darma juga turut memberikan sumbangan penting terhadap perkembangan penulisan puisi di tanah air kita sejak dekad 1970-an.

Kelantan memiliki deretan nama yang panjang dalam senarai pengarang dan sasterawannya yang aktif menulis sejak zaman A. Kadir Adabi (1901–1944) lagi. Malah, sekitar seratus tahun sebelum itu, dunia kepengarangan di Kelantan telah pun bermula. Hal ini dibuktikan dengan kehadiran Abdullah Munsyi ke Kelantan pada tahun 1838 yang menyaksikan penyerahan beberapa buah karya tulis yang sedia ada di Kelantan oleh seorang yang bernama Encik Ha ketika Abdullah ingin berangkat pulang meninggalkan Kelantan melalui jalan laut. Dari mana datangnya kitab-kitab yang diserahkan kepada Abdullah itu jika bukan daripada kalangan para pengarang yang ada di Kelantan pada waktu tersebut?

Ada satu nama yang seperti disisihkan dan agak kurang ditonjolkan keterlibatannya dalam arena kesusasteraan Kelantan, walaupun beliau seiring dan sezaman malah bersahabat rapat dengan pengarang besar negeri Tok Janggut itu, Allahyarham Norhisham Mustaffa. Beliau tidak lain ialah Darma Mohammad, iaitu penyair dan sasterawan yang baru sahaja memperteguh kehadirannya dalam dunia penulisan kita dengan karya terbaharunya yang berjudul Kerdip (2023) terbitan Baytul Hikma yang menitipkan pesan-pesan hikmah ulama besar Turki, Bediuzzaman Said Nursi.

Sebelum itu, anak jati Tasik Berangan, Pasir Mas yang dilahirkan pada 20 Mac 1948 tersebut juga baru saja muncul dengan sebuah lagi karya iaitu Kamus Peribahasa Jepun dan Padanan Peribahasa Melayu (2022) yang ditulis bersama-sama dengan Leyla Shuri, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Darma yang aktif menulis sejak awal tahun 1970-an pernah muncul sebagai pemenang hadiah penghargaan Peraduan Menulis Novel Remaja DBP 1990 dengan novelnya Menjaras Ribut. Novel-novelnya yang lain termasuklah Merinci Ufuk, Langit Duri, Bunga-bunga Terumbu, Kejora di Kaki Langit, dan Derai-derai Debu.

Manakala karyanya, Jaras Cinta Rumi (2013) terbitan Pelima Media pula merupakan percikan pemikiran, apresiasi dan ekspresi daripada butir-butir hikmah dalam Mathnawi, yang merupakan karya agung pujangga terbilang Maulana Jalaluddin Rumi. Nazmi Yaakub yang pernah mengetuai meja sastera Berita Harian dalam satu esei pendek mengulas buku Jaras Cinta Rumi siaran 14 Februari 2014 dan memberikan penarafan lima bintang terhadap buku menarik yang dianggap unik itu. Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Sdr. Wan A. Rafar menganggap bahawa buku istimewa itu sangat wajar dibaca oleh para peminat Maulana Rumi.

Darma juga turut memberikan sumbangan penting terhadap perkembangan penulisan puisi di tanah air kita sejak dekad 1970-an. Hal ini terbukti dengan terbitnya 20 buah esei yang ditulis oleh beliau perihal puisi, yang disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman sepanjang tahun 1973, 1974 dan 1975. Antara esei tersebut termasuk “Persamaan Tema Bukan Jenayah” (Mingguan Malaysia 26 Ogos 1973), “Lagi Ekor-ekor Sajak Robot” (Mingguan Malaysia 23 September 1973), “Mistri Alam Ilham Penyair” (Utusan Zaman 21 Julai 1974), “Struktur Saja Tak Menjamin Mutu Sebuah Sajak” (Utusan Zaman 18 Mei 1975), “Dari Iblis Hitam kepada Mengejar Kekasih Allah” (Utusan Zaman 26 Oktober 1975), danWanita dalam Pandangan Penyair” (Utusan Zaman 30 November 1975).

Lima kumpulan puisinya diterbitkan setakat ini, iaitu Gernyut Nafas (1989), Janjang Iktikaf (2003), Ufuk Fikir (2012), Rintik-rintik Huruf (2017), dan Langit Membuka Lipatan (2020).

Kemuncak terhadap kreativiti penciptaan sajak oleh Darma ialah munculnya pengkaji sastera yang melakukan penyelidikan secara ilmiah pada peringkat ijazah tinggi di universiti terhadap sajak yang dihasilkannya.

Manakala buku kumpulan cerpennya pula ialah 3 Kuntum Hujan (2013). Darma juga turut menghasilkan buku cerpen kanak-kanak berjudul Buah Salak Dari Seberang, terbitan Oxford Fajar Sdn. Bhd. pada tahun 2013, yang menghimpunkan sembilan cerita pendek yang sesuai dibaca oleh anak-anak sekolah dan remaja. Nafas dari Lembah Atar (2009) pula khusus mengisahkan 30 orang tokoh sahabat Rasulullah SAW. Istimewanya buku ini, di hujung setiap kisah, Darma mencipta sebuah sajak untuk setiap orang tokoh yang dibicarakan. Antara sumbangan lain Darma, yang juga penting terhadap perkembangan puisi negara kita ialah beliau bersama-sama dengan Leyla Shuri menterjemahkan 400 haiku Basho melalui buku Sukma Basho dalam Haiku (2012) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Pengarang berusia 76 tahun ini sehingga sekarang masih aktif serta giat menulis tanpa henti dan telah menghasilkan 20 buah buku persendirian secara keseluruhan dalam pelbagai bidang. Jumlah ini termasuk sebuah manuskrip yang belum diterbitkan berjudul Permata dari Anatolia yang mengangkat kisah Hoja Nasruddin dengan diiringi 270 kisah jenaka yang memperlihatkan kecerdikan beliau.

Kemuncak terhadap kreativiti penciptaan sajak oleh Darma ialah munculnya pengkaji sastera yang melakukan penyelidikan secara ilmiah pada peringkat ijazah tinggi di universiti terhadap sajak yang dihasilkannya. Mohd Daud Ibrahim telah menulis satu kajian khusus peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia terhadap sajak-sajak Darma Mohammad dengan tesisnya yang bertajuk Cinta kepada Ilahi dalam puisi Darma Mohammad (2015). Dengan adanya kajian yang dilakukan secara teratur dan sistematik oleh sarjana dalam dunia akademik seperti ini menjadi satu pencapaian penting yang dapat dijadikan tanda aras yang tinggi terhadap perkembangan penulisan sajak di negara kita, sekali gus merupakan satu pencapaian juga secara tidak langsung kepada penyair yang dikaji itu sendiri.

Atas jasa baktinya kepada dunia penulisan dan ketokohannya sebagai pengarang mapan Kelantan, Darma Mohammad telah dilantik oleh PPK sebagai penasihat persatuan itu sejak beberapa tahun lalu.

Kita tertanya-tanya juga sebenarnya, tidak adakah pihak yang mencalonkan nama pengarang sebesar Darma Mohammad untuk SEA Write Award dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan bagi mendapat gelaran Sasterawan Kelantan? Takkanlah satu pun daripada dua anugerah besar ini beliau tidak layak? Walhal Anugerah Sastera Negara pun, jika kita jujur menilai dan ikhlas mahu menghargai, beliau juga layak untuk dipertimbangkan sebagai penerima.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.