7 Mac 2023, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2023 telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) di Dewan Seminar, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kelantan, pada 4 Mac lalu. Bengkel tersebut telah menampilkan penerima SEA Write Award 2021, iaitu Rosli K. Matari.

Dalam bengkel tersebut, beliau telah menerangkan tentang kraf puisi dan kelemahan yang perlu dielakkan ketika berkarya. Beberapa karya penulis mapan tanah air seperti Allahyarham Rahimidin Zahari, R. Hamkama, dan SN Muhammad Haji Salleh telah diulas dan dijadikan contoh kraf puisi terbaik untuk diteladani oleh para penulis pemula. Selain itu, kelemahan penulisan puisi turut ditekankan sebagai salah satu penghalang utama kepada penghasilan puisi yang baik.

Sijil penghargaan kepada, Encik Zainal Abidin Muhammad Ketua 1 GEMA yang disampaikan oleh Encik Rusdi Abdul Rahman, wakil DBP.

Beliau juga menyarankan kepada para penulis agar mengamalkan budaya membaca. Encik Rusdi Bin Abdul Rahman, Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP yang mewakili perasmi majlis iaitu Tn. Hj. Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, amat menyokong saranan Rosli K. Matari. Menurut beliau, pada masa kini, pembacaan boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sebagai contoh, Jendela DBP boleh diakses secara dalam talian dan boleh dibaca kesemua terbitan DBP seperti majalah dan buku.

Pemberian cenderamata kepada pembimbing bengkel, Rosli K. Matari

Menutup bengkel ini, Ketua 1 GEMA, Encik Zainal Abidin Muhammad menyatakan bahawa sesi bengkel ini akan disambung dengan penganjuran Sayembara Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2023 yang bakal diadakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan seperti sebelum ini. Namun, penyertaan untuk sayembara ini hanya dikhususkan kepada peserta bengkel ini sahaja. Hal ini untuk memberikan peluang kepada para penulis pemula dan karya mereka akan  dinilai serta diberikan pengiktirafan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.