Oleh Rosli K. Matari
21 Mac 2022, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan ini diubah suai daripada teks ucapan Rosli K. Matari sempena pemilihan beliau sebagai penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021 pada sidang media di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Mac 2022.

Sesesungguhnya, menghayati kesusasteraan dan berkecimpung dengannya mempunyai nilai kepentingan yang tinggi bagi setiap masyarakat, bangsa, agama, negara, dan peradaban yang mengangkatnya.

Kesusasteraan merupakan suatu kegeniusan yang mempunyai penampilan yang berkreativiti tinggi. Kesusasteraan terbina daripada cakupan gabung jalin keintelektualan, nurani dan emosi manusia, yang mengandungi kehalusan dan keindahan bagi hala tuju kesedaran, keinsafan, nilai murni, pengajaran, pendidikan, dan kecerdasan minda. Sesesungguhnya, menghayati kesusasteraan dan berkecimpung dengannya mempunyai nilai kepentingan yang tinggi bagi setiap masyarakat, bangsa, agama, negara, dan peradaban yang mengangkatnya.

Namun begitu, di tanah air kita, kesusasteraan kini semakin longgar dalam masyarakat dari segi minat, kecaknaan dan kesedaran tinggi tentang peranan dan signifikannya terhadap kepentingan minda dan moral bagi generasi muda.

Sekurang-kurangnya, terdapat lima faktor utama yang menyebabkan hal ini berlaku:

  1. Salah tanggap masyarakat yang menganggap kesusasteraan sebagai suatu dunia khayalan yang tidak bermanfaat, padahal kesusasteraan dapat merentas dan menyumbang kepada pelbagai aspek keilmuan.
  2. Penekanan terhadap keutamaan subjek Kesusasteraan di sekolah tanah air kita sudah semakin menipis.
  3. Pemikiran, sikap dan gaya hidup masyarakat semakin menghambat pada kesenangan material dan kemewahan ekonomi.
  4. Ledakan hiburan dan segala peranan alatan (gadjet) menjadi semakin penting dan berperanan sebagai rutin yang mengisi masa lapang kebanyakan masyarakat, khususnya generasi muda.
  5. Tiada kesedaran daripada ibu bapa untuk menggalakkan pembacaan kesusasteraan dalam kalangan anak-anak.

Dalam hal yang demikian, kesusasteraan dan setiap unsurnya haruslah dititikberatkan oleh ibu bapa sebagai salah satu aspek asuhan yang penting bagi anak-anak, khususnya dalam pendidikan bagi generasi muda.

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!