Oleh Karmila Azmi
5 Februari 2023, 13:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tiga karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadaptasi ke kaca televisyen, iaitu puisi “Sesekali”, cerpen “Pendoa yang Ikhlas” dan novel Ayahanda memenangi Anugerah Telenovela (ATN) ke-8 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini malam tadi.

“Sesekali” puisi tulisan Siti Zaleha M. Hashim yang diadaptasi menjadi telefilem terbitan Unit Drama TV RTM merangkul hatrik enam kategori, iaitu Telefilem Terbaik (Sesekali); Pengarah Telefilem Adaptasi Terbaik (Hisyamudin Ahmad); Penulis Skrip Telefilem Terbaik (Lily Haslina Nasir); Pelakon Lelaki Telefilem Terbaik (Beto Kusyairy); Pelakon Pembantu Telefilem Terbaik (Hariry Jalil); selain Anugerah Khas Pelakon Kanak-kanak Harapan (Puteri Rafasya Mirza Abdul Rauf).

Sesekali yang ditayangkan sempena sambutan Hari Bapa pada 14 Jun 2019 sebelum ini, turut mencatatkan sejarah sebagai puisi pertama yang diangkat dalam bentuk telefilem. Telefilem ini mengemukakan tema pengorbanan dan kasih sayang yang dibintangi oleh Beto Kusyairy, selain menampilkan Azhan Rani, Hariry Jalil, Shazman Isaac, Noorkhiriah, dan Norasmahani Shaari. Sesekali turut dijadikan novel terbitan DBP oleh penulis skripnya, Lily Haslina Nasir pada tahun 2019.

Sementara itu, cerpen “Pendoa yang Ikhlas” tulisan penerima Anugerah SEA Write Allahyarham Azizi Haji Abdullah yang turut diterbitkan oleh Unit Drama TV RTM memenangi Anugerah Pelakon Wanita Telefilem Terbaik menerusi lakonan mantap Fatimah Abu Bakar. Naskhah itu yang menjadi judul kumpulan cerpen mutakhir Azizi yang terbit pada tahun 2019, menceritakan kehidupan Haji Tamin sebagai imam dan jurunikah.

Sebuah lagi karya Azizi, Ayahanda yang diadaptasi sebagai drama bersiri oleh Zeel Production turut meraih pengiktirafan besar menerusi kategori Telenovela Terbaik, Pengarah Telenovela Terbaik (Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar) dan Penulis Skrip Telenovela Terbaik (Maizura Mohd Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan).

Drama yang disiarkan di slot Lestary di TV3 ini mengangkat tema kekeluargaan dan kasih sayang. Ayahanda memaparkan kehidupan Haji Abdullah yang kesunyian dan terabai setelah kematian isterinya, Noriah. Konflik bermula apabila anak-anak meminta Haji Abdullah meletakkan semua jawatannya kerana faktor usia dan kesihatan, namun tidak dipersetujui olehnya.

Drama bersiri yang disiarkan bermula 10 Julai 2021 ini dijayakan oleh Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud, Fikry Ibrahim, Shahz Jaszle, dan Noorkhiriah.

Adaptasi karya terbitan DBP menjadi drama bersiri dan telefilem merupakan sebahagian daripada kerjasama DBP bersama-sama stesen televisyen tempatan yang diharapkan mampu merancakkan industri penerbitan buku dan industri kreatif.

Ketua Pengarah DBP sebelum ini dalam majlis pelancaran telefilem Sesekali pada Jun 2019 menyebutkan bahawa kerjasama antara DBP dengan RTM adalah untuk mengangkat kembali karya sastera sebagai naskhah telefilem dan drama bersiri yang sudah lama dimulakan.

Katanya, antaranya termasuk karya Mufarakah (Rahman Shaari); Cahaya pada Jiwa (Faisal Tehrani), Hujan Sudah Teduh (Zaharah Nawawi), serta Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (Keris Mas).

Kredit Foto: Unit Drama RTM (Official)/Facebook

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.