4 Julai 2021, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Drama bersiri Ayahanda akan menemui peminat drama Melayu bermula pada 10 Julai 2021 dalam slot Lestary TV3, yang bersiaran setiap hari Rabu hingga Jumaat, pukul 9.00 malam. Drama arahan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar ini diterajui oleh Jalil Hamid yang memegang watak ayah bernama Haji Abdullah. Nama pelakon hebat yang turut beraksi dalam drama penuh emosi meruntun kalbu ini ialah Fauziah Dato’ Ahmad Daud yang memegang watak ibu bernama Noriah. Drama bertemakan keluarga dan kasih sayang ini turut dijayakan oleh pelakon popular seperti Fikry Ibrahim sebagai Aziz, Noorkhiriah sebagai Halimah, Shahz Jaszle sebagai Ramli, Hairi Safwan sebagai Ahmad, Sherry Ibrahim sebagai Aishah, dan Mimi Ernida sebagai Rahayu. Penggambaran drama 13 episod ini bermula pada bulan Mei 2021, yang mengambil lokasi di beberapa kampung di Kedah dan Perlis.

Drama bersiri ini diadaptasi daripada novel Ayahanda karya penerima S.E.A. Write Award tahun 1988, Azizi Haji Abdullah. Novel ini memaparkan kisah keluarga yang berlatarkan kampung di utara tanah air pada tahun 1980-an. Penceritaan Ayahanda disorot oleh Azizi melalui kaca mata seorang anak lelaki yang beradu keegoaan dengan seorang bapa yang hayatnya berusia 97 tahun. Melihat pada plot yang meruntun jiwa dan konflik keluarga yang sarat dengan pengajaran, syarikat penerbit Zeel Production Sdn. Bhd. telah melamar novel Ayahanda terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri.

Plot cerita adaptasi ini dikisahkan melalui dua sudut pandang. Sudut pandang pertama memaparkan sikap seorang ayah berdasarkan tanggapan dan pandangan anak bongsunya yang begitu sukar untuk memahami apa-apa yang ada dalam hati degil ayahnya. Kedegilan seorang ayah yang tidak boleh ditegur dan tidak boleh menerima nasihat anak-anak. Disebabkan kedegilan itu, si ayah sentiasa berburuk sangka, berdendam dan mudah berasa marah. Dalam masa yang sama, timbul juga rasa bersalah dalam hati si ayah yang sebenarnya berkonflik dengan perasaannya sendiri.

Dari sudut pandang si ayah pula, dia sanggup berkorban apa-apa sahaja demi keluarga dan anak-anaknya. Susuk yang bernama ayah, sama ada dalam novel dan drama, digambarkan melalui watak lelaki tua yang sebenarnya kaya dengan kasih sayang. Walaupun sikapnya degil dan hatinya diselubungi rasa duka, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Allah memberkati mereka sekeluarga. Dia juga jenis ayah yang tidak pandai menunjukkan rasa dengan luahan kata-kata. Isi hatinya hanya ditunjukkan melalui perbuatan dengan harapan anak-anaknya memahami dirinya. Hakikatnya, perasaan seorang ayah itu sukar difahami sekalipun digali sedalamnya oleh anak-anak sendiri. Walaupun anak lelaki dalam Ayahanda cuba untuk memahami perkara sebenar dalam hati seorang lelaki tua, namun semakin dia cuba memahaminya, fikirannya sendiri menjadi semakin rumit. Konflik inilah yang menjadi kekuatan novel dan adaptasi drama ini.

Waris penulis novel Ayahanda, Anita, anak bongsu Aziz Haji Abdullah, semasa ditemu bual oleh pihak DBP menyatakan, cerita tentang ayah yang terdapat dalam novel Ayahanda sebenarnya ialah kisah ayah Azizi sendiri. Menurut Anita, “Azizi mengolah kisah ayahnya sendiri dan bagaimana mereka sebagai anak-anak yang kerap membangkang apa-apa yang ayah mereka lakukan semasa hayatnya.” Tambah Anita, konflik dalam Ayahanda ialah realiti yang berlaku dalam sesebuah keluarga, termasuk keluarga Azizi, yang menunjukkan setiap yang bergelar ayah itu memang ada sikap dan egonya sendiri, sama ada disenangi atau tidak disukai oleh anak-anaknya.

Sememangnya, Ayahanda sebuah karya yang sarat dengan tema kekeluargaan dan juga elemen agama Islam yang menjadi tunjang penceritaan. Kisahnya digarap dengan penuh penghayatan sehingga pembaca dapat merasai emosi setiap watak. Setelah diadaptasi dalam bentuk drama, sudah pasti penonton tidak dapat mengelak untuk berasa simpati dengan perjuangan ayah yang walaupun sudah di hujung usia tetapi masih mengekalkan tugasnya sebagai seorang imam tua dan menghargai ilmu agama. Barisan pelakon yang mantap dalam drama Ayahanda sudah tentu memberikan nyawa kepada watak-watak yang selama ini hanya dibaca dalam novel yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2016. Boleh dikatakan, naskhah Ayahanda membawa misi sosial yang amat disarankan untuk dibaca dan ditonton oleh insan yang bergelar anak.

Ayahanda akan bersiaran bermula 10 Julai 2021 dalam slot Lestary TV3 pada setiap hari Rabu hingga Jumaat, pukul 9.00 malam.

Beli novel Ayahanda di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!