7 Februari 2024, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) YBrs. Dr. Hazami Jahari mengalu-alukan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan para karyawan filem untuk bekerjasama dengan DBP dalam industri perfileman, sekali gus merancakkan industri perbukuan melalui adaptasi karya.

Hal itu disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP sempena Wacana Filem: Isu Bahasa Melayu dan Budaya dalam Filem yang diadakan pada Hari Kru Filem Malaysia 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 1 Februari lalu.

Dr. Hazami berkata, DBP mempunyai banyak hasil karya penerbitan daripada pelbagai bidang yang boleh diadaptasi penerbitannya menjadi filem, drama, teater dan audio siar, berdasarkan kepakaran dan daya kreatif pengarah, penulis skrip, penerbit, dan jalinan idea semua kru bagi menzahirkan layar cerita yang terbaik.

“Sesungguhnya, kami memerlukan sokongan dan kerjasama daripada tuan-tuan dan puan-puan dalam usaha menyebarluaskan karya agung ke seluruh negara, dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” tegas Dr. Hazami sambil mengingatkan bahawa karya yang baik mencerminkan ketinggian tamadun dan negara yang mampu berdiri dengan budayanya yang tersendiri.

Hari Kru Filem Malaysia 2024 dianjurkan oleh PROFIMA, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan DBP. Wacana Filem dibarisi oleh panel Ybhg. Dato’ Saniboey Mohd. Ismail, YM Ku Seman Ku Hussain dan Puan Viva Westi (Indonesia), pengarah filem Anwar: The Untold Story (2023). Encik Fadzil Idris dari PROFIMA bertindak sebagai pemudah cara.

Turut menghadiri wacana tersebut ialah Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP dan Ybrs. Encik Khalil Haji Salleh, Presiden PROFIMA.

Hari Kru Filem Malaysia 2024 disempurnakan oleh Ybhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS.

Kredit Foto: Daan Stevens/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.