7 Februari 2024, 13:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sikap karyawan filem tempatan yang kurang mengenali judul-judul novel sastera Malaysia merupakan antara punca novel sastera tempatan kurang diadaptasi.

Hal ini dibangkitkan oleh Ybhg. Dato’ Saniboey Mohd. Ismail semasa menjadi ahli panel Wacana Filem: Isu Bahasa Melayu dan Budaya dalam Filem bersempena dengan Hari Kru Filem Malaysia 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada 1 Februari lalu.

Hal ini disentuh setelah Dato’ Saniboey memberi maklum balas tentang adaptasi novel-novel besar karya sasterawan tanah air kepada filem.

Saniboey memberitahu, beliau berminat dengan novel Anak Mat Lela Gila (1941) karya Allahyarham Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako, tetapi tidak mendapat respons positif.

Mantan wartawan akhbar Berita Harian, dan pernah bertugas di stesen Astro ini terkilan dan kecewa apabila karyawan filem Malaysia tidak mengetahui novel tersebut. Beliau terkejut kerana karyawan filem Indonesia pula yang lebih mengetahui novel itu.

“Saya juga ingin bertanya, adakah hanya Allahyarham Mamat Khalid sahaja yang layak mengarahkan cerita seperti dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah? Masakan selepas kematian beliau, tiada pengarah dan penerbit yang sesuai dan mampu?” kata Saniboey yang kini menjadi penerbit drama televisyen.

Anak Mat Lela Gila mengisahkan seorang pemuda yang dianggap gila oleh penduduk kampung. Dia suka membersihkan halaman masjid, tetapi tidak pernah memasuki rumah ibadat Islam tersebut.

Saniboey menganggap novel tersebut sebagai antara karya besar Malaysia yang menarik untuk diadaptasi kerana mengandungi banyak maksud tersirat. Namun demikian, krisis atau semacam prejudis antara karyawan filem dengan sasterawan besar negara berlanjutan sehingga amat jarang ditemui filem hasil adaptasi novel yang berwibawa.

“Setelah sekian lama menanti, baru ada filem Imam yang diterbitkan dan diarahkan oleh sutradara veteran Mior Hashim Manap,” katanya, yang berharap akan kecaknaan dan keberanian sedemikian turut dimiliki oleh ramai sutradara dan penerbit filem tanah air.

Imam diadaptasi daripada novel berjudul serupa karya Sasterawan Negara (SN) Kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain yang diterbitkan pada tahun 1995. Filem adaptasi itu mengisahkan konflik seorang imam baharu, Haji Mihad (lakonan Dato’ M. Nasir) di kampungnya menentang golongan pengikut imam asal, Haji Syamsuri (Faizal Hussein) kerana pembaharuan penerapan Islam yang cuba dibawakan oleh beliau.

Meskipun mendapat sambutan dingin di pawagam seluruh negara, ramai karyawan filem berpendapat bahawa filem seperti Imam wajar ada dalam dunia perfileman Malaysia.

Penulis bebas, YM Ku Seman Ku Hussain yang turut menjadi ahli panel wacana berkenaan, pernah berkata sepatutnya Imam sudah lama difilemkan, bukan hanya dihasilkan pada tahun 2022, dan ditayangkan bermula 2 Mac 2023.

Saniboey yang berharap beberapa buah novel besar, termasuk Penyeberang Sempadan (2012), karya SN ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan diadaptasi ke layar lebar, turut menyebut sebuah lagi novel karya Datuk Abdullah, iaitu Konserto Terakhir (1971) yang tinggal sepi kerana penerbit enggan berbelanja besar, sebaliknya menerbitkan Qaisy & Laila (2005), filem arahan Allahyarham Raja Ahmad Alauddin.

Hari Kru Filem Malaysia 2024 dianjurkan oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain Saniboey dan Ku Seman, seorang lagi ahli panel ialah pengarah filem Anwar: The Untold Story, Puan Viva Westi dari Indonesia. Encik Fadzil Idris dari PROFIMA bertindak sebagai pemudah cara.

Turut menghadiri wacana tersebut ialah Ybrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP; dan Ybrs. Encik Khalil Haji Salleh, Presiden PROFIMA.

Pelancaran Hari Kru Filem Malaysia 2024 yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, disempurnakan oleh Ybhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS selepas Wacana Filem berakhir.

Kredit Foto: Ku Seman Ku Hussain

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.