Oleh Firdaus Mul
26 Januari 2023, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Kelangsungan dan masa depan negara bangsa bukan semata-mata bergantung kepada pertumbuhan dan perkembangan fizikalnya, tetapi juga kemandirian dan kematangan golongan belianya. Sebagaimana mutiara kata yang selalu didendangkan dalam wacana masyarakat, “jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah anak mudanya masa kini”. Mutiara kata tersebut cukup memberikan makna yang jelas bahawa tanpa keteguhan dan kematangan golongan muda, maka mustahil pembinaan negara bangsa dapat diteruskan dan dicapai.

Bertitik tolak daripada perkara itu, pembangunan dan perkembangan golongan belia seharusnya menjadi tumpuan dan agenda negara. Menyentuh perihal belia, baru-baru ini Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program “Belia dan Sastera, Apa Kalian Baca?”. Ahli panel bagi program tersebut ialah Prof. Madya Dr. Kamariah Kamarudin (Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM), Puan Lily Haslina Nasir (Penulis bebas dan mantan wartawan majalah JELITA terbitan New Straits Times Sdn. Bhd.), Encik Mohd Shahrizal Nasir (Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin) dan Encik Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi. Dr. Ida Baizura Bahar (Pensyarah di Jabatan Bahasa Inggeris, FBMK UPM) pula bertindak sebagai moderator.

Dr. Kamariah Kamarudin mengupas belia dan sastera melalui skop peranan belia sebagai seorang pengarang karya kreatif. Bagi beliau, golongan belia yang menjadi penulis seharusnya berpegang kepada prinsip peribadi kreativiti, yakni berpegang teguh kepada niat yang benar, lebih-lebih lagi seorang pengarang muslim yang seharusnya berpegang kepada prinsip Ubudiyyah dan Rububiyyah, yakni memperakui kebesaran Allah SWT, memancarkan sinar iman dan takwa kepada Allah SWT dan seterusnya memberikan perutusan seni dan sastera untuk mengajak manusia kepada jalan kebaikan.

Menurut beliau, perkara itu perlu disejajarkan dengan konsep hubungan manusia dengan pencipta, manusia, dan alam. Ujar beliau lagi,

Pengarang atau penulis karya sastera khususnya, perlu menawarkan kepada pembacanya nilai kebaikan, kebenaran, dan keindahan.

Encik Mohd Shahrizal Nasir pula menyentuh perihal peranan pengkaji sastera. Menurutnya, pengkaji sastera ini bukan semata-mata mereka yang menyandang jawatan sebagai seorang pengkaji, malah mereka yang membaca karya sastera juga ialah seorang pengkaji. Ujar beliau,

Proses membaca bukan sekadar menelan apa yang dibaca, tetapi sebaliknya kita diberikan akal fikiran untuk mengkaji sehingga akhirnya mendapat kebaikan daripada bahan yang dibaca.

Tambah beliau lagi, “seorang pengkaji perlu berusaha memberi atau berkongsi kebaikan kepada orang lain, maka usaha mengkaji itu perlu dilakukan untuk akhirnya kita menyebarkan sesuatu yang baik dan bermanfaat kepada orang lain.”

Puan Lily Haslina Nasir pula memfokuskan perihal adaptasi karya sastera. Menurutnya, “kalau kita menyentuh tentang adaptasi, selalunya karya seperti Ranjau Sepanjang Jalan dijadikan filem, maka ia memberikan impak yang besar kepada masyarakat. Kemudian diikuti dengan karya lain seperti Ayahanda dan Pendoa yang Ikhlas yang saya lihat sangat bagus dan bermutu, kemudian memberikan impak besar apabila diadaptasi ke bentuk skrin.” Tambah beliau lagi,

Apabila karya yang indah dicanaikan ke dalam bentuk skrip dan platform skrin, sebaik-baiknya kita tidak mengabaikan nilai sastera, nilai murni, dan nilai kemasyarakatan. Kerjasama antara pihak editorial buku dengan produksi sangat memainkan peranan. Jika dilihat daripada aspek karya, kita terpaksa akui tidak semua seratus peratus apa yang ada di dalam buku boleh diadaptasikan ke skrin. Pihak produksi seharusnya tidak mencicirkan elemen penting karya.

 

 

 

 

 

Selanjutnya, Encik Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi pula memfokuskan peranan editor sastera. Menurut beliau, “kita perlu sedar bahawa realitinya, editor ini bekerja untuk syarikat mereka. Editor perlu menjadi orang tengah antara penulisan dengan penerbitan.” Selain itu, editor juga merupakan seseorang yang mengimbangi kehendak pasaran dengan nilai yang hendak dibawa oleh karya. Beliau juga turut menegaskan bahawa seseorang editor memainkan peranan yang sangat penting, sebagaimana ujar beliau,

Kalau sudah editor bahasanya pun tidak dijaga, maka apakah kita boleh mengharapkan mereka juga menjaga isi dan kandungan cerita yang hendak disampaikan?

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.