27 Disember 2022, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Novel Imam, karya Sasterawan Negara (SN) kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain terbitan Utusan Publication & Distributors pada tahun 1995, membawa kisah perjuangan seorang imam, iaitu Haji Mihad yang berhasrat membuat pembaharuan di kampungnya.

Haji Mihad berasal daripada keturunan yang berpengaruh dan mendapat pendidikan sempurna dalam bidang agama. Beliau kembali ke kampungnya selepas 10 tahun menghilangkan diri dengan menyertai angkatan tentera di Sarawak. Oleh sebab beliau diawasi oleh pihak tentera di sana, Haji Mihad akhirnya menetap di Indonesia dan menuntut ilmu agama. Walau bagaimanapun, kepulangannya ke kampung dan pelantikannya sebagai imam menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak.

Kesedaran dan keprihatinan Haji Mihad terhadap kemunduran masyarakat kampungnya dalam pelbagai aspek seperti pemikiran dan ilmu menjadi faktor utama beliau ingin membawa pembaharuan walaupun amat dipersoal oleh pelbagai pihak, termasuk majlis agama. Pembaharuan yang ingin dibawa oleh Haji Mihad mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang beragama Islam serta kaum keluarganya sendiri.

Antara pembaharuan yang ingin dibuat termasuklah pengubahsuaian suasana, dan persekitaran Masjid Muhammad Salleh yang diceriakan dengan pokok-pokok bunga, dan bangku. Gelanggang permainan turut dibina di atas tanah masjid di sekitarnya. Dalam perkataan lain, beliau menjadikan masjid bukan sekadar tempat untuk solat berjemaah semata-mata.

Hasrat Haji Mihad atau konsep tidak menyempitkan fungsi masjid ini dilihat sangat baik. Pengarah dan pelakon terkenal tanah air, Mior Hashim Manap adalah antara karyawan yang tertarik untuk memindahkan plot novel Imam ini ke layar perak. Jelas Mior Hashim,

Minat saya mengadaptasi novel ini bermula pada tahun 2013. Walau bagaimanapun, tiada penerbit yang bersedia memenuhi impian saya. Mereka hanya minat bertanya jumlah keuntungan yang akan diperoleh nanti.

Mior Hashim Manap berminat mengadaptasi novel Imam ke filem sejak tahun 2013 lagi.

Pengarah yang muncul dengan Kemarau Cinta sebagai filem arahan pertamanya pada 2005 ini menyatakan sedemikian semasa menjadi ahli panel Program Bersama Industri: Dialog Awam Filem Imam pada 22 Disember 2022 lalu di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

Mior Hashim Manap (tengah) bersama-sama Ikhlas Ridzuan (kanan), dan Raihani Mohd. Saaid (kiri).

Walaupun Pak Lah Hussain muncul dengan Imam sebelum bergelar SN, tetapi Mior amat mengagumi kehebatan anak kelahiran Kedah ini berkarya, termasuk ketika menggarap novel Interlok (1971).

Seiring dengan penilaian pensyarah APM, Dr. Norhayatie Ab. Rahman berpendapat bahawa Imam ialah novel Islamik yang bersifat menyeru atau berdakwah. Mior juga berkeinginan untuk berdakwah menerusi filem arahan keduanya ini. Pengkritik filem, Ku Seman Ku Hussain yang turut hadir menegaskan filem seumpama Imam sepatutnya telah diterbitkan selepas negara mencapai kemerdekaan (tahun 1957).

Sebagai sebuah filem dakwah dan Islamik, penghasilan dan penampilan filem Imam perlulah Islamik dan seboleh mungkin tidak melanggar peraturan yang dalam istilah popularnya disebut “patuh syariah”. Mior yang juga penerbit bersama Alkahfi Pictures Sdn. Bhd. yang menerbitkan Imam, mengundang kenalan beliau, Ustaz Firdaus Jaafar, pegawai kaunseling dari Jabatan Agama Islam Perak untuk berperanan sebagai pegawai patuh syariah filem ini.

Ustaz Firdaus yang turut hadir sebagai ahli panel Dialog Awam Filem Imam mengakui bahawa beliau memperoleh pengalaman baharu kerana selama ini menjadi penasihat tentang kehidupan berumah tangga.

“Sebagai penasihat patuh syariah Imam, saya menjaga aspek bahasa dialog, pakaian semasa era 80-an, dan aspek-aspek tertentu dalam pengarahan, termasuk prop yang dilihat menyalahi ajaran Islam,” jelas beliau yang memberitahu tugas paling berat ialah menjaga penggunaan bahasa Arab gabungan Mesir dan Madinah oleh Dato’ M. Nasir sebagai Haji Mihad ketika berdialog dengan Faizal Hussein (Haji Syamsuri).

Turut hadir sebagai ahli panel dialog anjuran bersama APM-Alkahfi Pictures Sdn. Bhd., Pemimpin dan Kelab Ijazah Tinggi APM UM yang dimudahcarakan oleh Raihani Mohd. Saaid termasuklah Faizal Zamir Zunib yang membicarakan soal rekaan produksi, Ikhlas Ridzuan (pencahayaan), dan Azmer Azhar (pasca produksi).

Selain Dr. Norhayatie, APM juga diwakili oleh Prof. Madya Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd. Ali, dan Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi. Antara pelakon lain yang turut membintangi Imam termasuklah Vanida Imran, Dato’ Rahim Razali, Rahim Jailani, Sani Sudin, Pool Captain, Rasdi Daud, dan Sofia Ibrahim. Filem Imam (yang ada penambahan pada judulnya, iaitu Sebuah Filem dan Satu Wasiat) yang berdurasi 105 minit ini akan ditayangkan di 45 buah pawagam di seluruh negara mulai 2 Mac 2023 akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.