13 Februari 2023, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Siti Raihani Saaid memperkatakan tentang asal usul cogan kata filem Imam yang akan ditayangkan pada 2 Mac 2023.

Cogan kata filem ini ialah “Sebuah Filem Dan Satu Wasiat”. Namun, bagaimanakah cogan kata filem ini diperolehi?

Antara filem tempatan yang dinanti-nantikan pada tahun 2023 ialah filem Imam yang diangkat daripada magnum opus Sasterawan Negara (SN) Abdullah Hussain. Penulis lakon layar dan teraju utama filem ini ialah seniman yang tidak asing lagi, iaitu Mior Hashim Manap. Pelakon-pelakon yang menghidupkan naskhah Imam di layar lebar juga terdiri daripada nama-nama besar seperti Dato’ M. Nasir, Faizal Hussein, Vanida Imran, Rahim Jailani, Dato’ Jalaluddin Hassan, Omar Abdullah, Seniwati Sophia Ibrahim, DJ Noramin dan ramai lagi.

Cogan kata filem ini ialah “Sebuah Filem Dan Satu Wasiat”. Namun, bagaimanakah cogan kata filem ini diperolehi?

Menurut Mior Hashim Manap, terdapat dua cogan kata untuk filem Imam pada peringkat awal, iaitu “Kalau Semuanya Syaitan, Apa Lagilah Yang Tinggal Pada Manusia Di Dunia Ini?” dan “Nafsu Manusia Terlalu Rakus Dengan Harta Dunia.” Namun, bermula penghujung tahun 2022 apabila kerja-kerja promosi filem Imam digerakkan, cogan kata filem ini bertukar kepada “Sebuah Filem Dan Satu Wasiat”.

Pengarah filem Imam, Mior Hashim Manap.

Cogan kata ini digunakan pada semua bahan promosi, termasuklah poster filem, iklan acah dan dijadikan tanda pagar untuk setiap hantaran yang berkaitan. Menjelang tayangan filem Imam di 45 buah pawagam di seluruh negara pada 2 Mac 2023 ini, novel Imam akan dicetak semula. Turut mengiringi cetakan baharu novel tersebut ialah sebuah buku yang menceritakan di sebalik tabir pembikinan filem Imam. Beberapa tulisan penghargaan dan rakaman pengalaman para tenaga produksi yang terbabit serta beberapa orang karyawan tempatan turut dimuatkan dalam buku tersebut. Antaranya ialah sebuah tulisan yang bertajuk “Sebuah Filem Dan Satu Wasiat”.

Tulisan tersebut mengisahkan pengalaman Allahyarham Datuk Abdullah Hussain yang pada mulanya berhadapan dengan kesukaran untuk menerbitkan manuskrip novel Imam setelah bertahun-tahun ditukanginya dengan sepenuh jiwa. Manuskrip novelnya yang dianggap tebal dan berat pada penerimaan pembaca ditolak oleh ramai penerbit.

Salah satu babak dalam filem tersebut.

Barangkali tidak ramai editor yang sanggup membaca dan menyuntingnya. Menghadapi kekecewaan itu, pada suatu malam, Abdullah Hussain telah memanggil anak-anaknya. Di situlah beliau berwasiat bahawa andai apa-apa terjadi kepada dirinya, manuskrip novel Imam mestilah diusahakan penerbitannya walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri. Abdullah Hussain bermaksud; manuskrip ini merupakan satu wasiat yang ingin beliau sampaikan kepada bangsa dan masyarakat.

Novel Imam karya SN Abdullah Hussain.

Allah SWT yang Maha Pengasih menjawab doa Sasterawan Negara ini. Sayembara Hadiah Novel Nasional 1992/1994 sempena mengenang Pak Sako diumumkan dan Abdullah Hussain mengambil keputusan untuk menghantar manuskrip Imam ke sayembara tersebut.

Dato’ M. Nasir yang turut membintangi filem Imam.

Sebenarnya Abdullah Hussain tidak gemar menyertai sayembara, namun kali ini beliau terpaksa berbuat demikian. Itu sahajalah satu-satunya cara bagi memastikan manuskrip novelnya dibaca sekurang-kurangnya oleh panel penilai. Dengan kehendak Allah SWT, manuskrip tersebut mendapat tempat pertama dan diterbitkan oleh Utusan Publications.

Novel Imam mula diketengahkan dan dibincangkan dalam forum dan wacana, dikaji, dikritik dan dibaca oleh khalayak. Ini bermakna, bilangan yang membaca novel ini jauh lebih ramai daripada yang diharapkan oleh pengarang pada peringkat awalnya. Malah lebih baik daripada itu, novel ini diangkat ke filem oleh Alkahfi Pictures. Lebih ramai akan dapat menikmati buah fikir Abdullah Hussain yang sangat bermakna kepada bangsanya.

Alkahfi Pictures dan Mior Hashim Manap telah menunaikan wasiat seorang Sasterawan Negara. Mior Hashim Manap mengambil keputusan untuk menggunakan “Sebuah Filem Dan Satu Wasiat” sebagai cogan kata filem Imam berdasarkan tulisan dengan tajuk yang sama mengenai kisah di sebalik tabir tadi.

Bagi Mior Hashim Manap, filem Imam adalah sebenarnya sebuah wasiat kepada bangsa. Bagaimanakah hubungan kita dengan Pencipta, dan hubungan kita dengan makhluk ciptaan-Nya? Bagaimanakah kita memilih pemimpin dan memimpin diri kita sendiri demi mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat? Bagaimanakah sebuah naskhah sastera dapat menjadikan kita seorang insan yang lebih baik?

SN Zurinah Hassan.

Pemilik asal tulisan “Sebuah Filem Dan Satu Wasiat” yang menjadi cogan kata filem yang diangkat daripada novel Sasterawan Negara ialah seorang Sasterawan Negara lain juga, iaitu Zurinah Hassan.

____________________________

Raihani Mohd Saaid merupakan puteri sulung SN ke-13, Dato’ Dr. Zurinah Hassan. Mula berkarya sejak tahun 1994 dalam genre puisi, cerpen, novel, esei dan lirik lagu. Pernah memenangi banyak sayembara di peringkat kebangsaan termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Kini, beliau sedang menyiapkan PhD di Universiti Malaya dalam bidang filem.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.