Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKecewa gagal tidak lama, tetapi benarkah hanya yang menang sentiasa dipandang? Hal ini disoal oleh Raja Yusoff Ariffin.
AGI menegaskan bahawa bukan mudah menjadi pengarang, sasterawan dan seniman, kerana katanya, hal itu memerlukan kesabaran dan ketahanan.
Bukan baru-baru ini. Sudah lama saya melihatnya dalam media sosial. Tambahan pula tercatat tarikhnya, iaitu 18 Jun 2014. Ketika Facebook amat dimesrai. Ertinya sudah 11 tahun. Hal itu berulang kali muncul dalam media sosial, dari semasa ke semasa. Dan beberapa hari lalu, hal itu muncul semula.
Mungkin ramai yang bersetuju. Barangkali juga sebaliknya. Tidak aneh kerana hal itu perkara biasa, sebagai tanda sifat manusia yang hidup di dunia.
Isi catatan tersebut tidak boleh dinafikan begitu sahaja. Memang ramai penulis yang bertahan puluhan tahun. Walau bagaimanapun, ada juga yang kecundang pada pertengahan, atau dari awal lagi. Bergantung pada ketahanan masing-masing.
Dipersetujui atau ditolak, tahap dan pencapaian seseorang penulis itu mengikut tempoh kerja penulisannya, yang disebutkan oleh penyair 3V (visual, vokal dan verbal) tanah air yang baru menerima Anugerah Penyair GAPENA, iaitu A. Ghafar Ibrahim atau AGI memang menarik, di samping turut merisaukan.
AGI menegaskan bahawa bukan mudah menjadi pengarang, sasterawan dan seniman, kerana katanya, hal itu memerlukan kesabaran dan ketahanan.
Menurut beliau, selepas lima tahun menulis, orang baru setakat menjeling kita sahaja. Setelah 10 tahun atau sedekad, orang baru “menghidu” kita. Maka kalau 15 tahun, orang baru nampak kita.
Lambat, bukan? Berapa ramai yang tahan?
Kemudian, setelah dua dekad (20 tahun), kata AGI lagi, orang baru membaca kita. Setelah 30 tahun menulis, orang baru merasai karya kita. Kemudian orang baru sampai kepada kita setelah 40 tahun menulis.
Akhir sekali, selepas setengah abad (50 tahun) menulis, baru orang menjumpai diri kita. Justeru, tegas AGI, jadilah pengarang, sasterawan dan seniman yang sabar, dan tahan ujian zaman.
Saya fikir 50 tahun ialah tempoh yang wajar bagi seseorang penulis menerima anugerah penulisan, terutamanya yang membabitkan ketokohan diri.
Bagi AGI, 82 tahun, perjalanan beliau sebagai penyair bermula dengan penyiaran sajaknya, “Ensiklopedia Kehidupan Manusia” dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 8 Ogos 1965.
Ertinya, sudah 60 tahun beliau bersajak, selain menulis drama, sketsa, wawancara, dan rencana. Usahanya sudah melebihi tahap yang beliau sebutkan.
Walau bagaimanapun, Penyair GAPENA 2025 bukanlah anugerah besar pertama yang diterimanya. Pada tahun 2005 (ketika berusia 62 tahun), setelah menulis selama 40 tahun, AGI menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award dari Thailand.
Kalau dilihat secara logik, sepatutnya AGI menerima Anugerah Penyair GAPENA terlebih dahulu sebelum SEA Write Award. Namun begitu, sebaliknya yang berlaku.
Tidak mengapalah kerana hal itu bukan perkara mutlak. Hal yang saya mahu sentuh ialah penulis sastera dan anugerah yang diterima.
Tidak dinafikan, ada yang menganggap begitu. Kecewa dirasai kerana gagal pada setiap kali HSPM …
Kita warga sastera tanah air masih segar dengan keputusan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022. Seperti biasa, “rumah siap pahat berbunyi”.
Dalam pertikaian terhadap pemenang HSPM itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad meminta agar semua pihak menghormati keputusan HSPM tersebut, serta menerimanya tanpa prejudis dan persepsi buruk terhadap panel penilai.
Keputusan, katanya, telah dibuat hasil penilaian yang menyeluruh, teliti dan tapisan ketat. Usah dipertikai kerana, tambah beliau, panel penilai terlibat telah bertungkus lumus menilai setiap karya yang diterima dengan jujur serta adil, tanpa sebarang kepentingan peribadi.
“Kita bukan menilai individu atau pengarang, tetapi karya tanpa mengira siapa pengarangnya,” jelas beliau sambil menegaskan penilaian dan persepsi liar tidak dilayan langsung.
Katanya lagi, panel penilai atau juri mesti bersifat jujur dan adil kerana kita mahukan karya yang bernilai untuk diangkat bagi mengisi khazanah warisan sastera negara.
“Pemilihan dibuat berdasarkan mutu karya, bukan siapa karyawannya,” tegas Saleeh yang bagi saya bermaksud menangkis anggapan bahawa ramai penulis yang sama memenangi setiap HSPM.
Tidak dinafikan, ada yang menganggap begitu. Kecewa dirasai kerana gagal pada setiap kali HSPM (juga pertandingan lain seperti Hadiah Sastera Darul Ridzuan, Hadiah Sastera Johor Darul Takzim, Hadiah Sastera Selangor, dan Hadiah Sastera Darul Iman) mendorong tuduhan atau anggapan sedemikian.
Namun demikian, ingin dinyatakan juga, tanggapan dan kehampaan itu tidak berlarutan lama. Polemiknya cepat sejuk, dan penulis-penulis yang kecewa akan kembali normal.
Cuma, saya tertarik untuk membangkitkan persoalan setelah beberapa orang penulis cuba “memujuk” rakan penulis yang kecewa di Facebook dengan mengatakan bahawa anugerah bukan penentu kehebatan dan kewibawaan seseorang penulis.
Ada juga penulis mampan yang menegaskan masanya belum tiba, atau kemenangan masih tertangguh. Penulis yang lain pula mengatakan yang lebih penting ialah terus menulis tanpa mengharapkan anugerah.
Saya sendiri telah lebih empat dekad menulis. Belum memasuki tahap 50 tahun karya dan diri dilihat orang. Orang hanya baru sampai kepada saya. Sementelah saya hanya baru memenangi hadiah sastera eceran (pun tidak banyak). Dan, saya belum pernah memenangi anugerah tokoh sebagaimana AGI.
Begitu pun, sama ada pendapat saya dipersetujui atau sebaliknya, baik hadiah karya atau diri sendiri (tokoh), memang kejayaan memenanginya akan membuat penulis terbabit disebut, diperkata dan diperbincang.
Jika sering menang dan bertaraf besar, lebih kerap dan besarlah sebutan orang (dalam hal ini, merujuk pengkritik, pemerhati, penulis, dan peminat sastera) terhadapnya.
Sudah menjadi resam dunia, orang memandang taraf – dalam hal ini, kejayaan memenangi anugerah. Amat sukar ditemui, malah mustahil orang menyanjung si tewas/bukan pemenang. Pihak media misalnya, menemu ramah si pemenang. Bukan yang tewas, yang tidak hadir pun atau pulang awal!
Penulis yang tidak menang apa-apa anugerah, atau hanya memenangi anugerah kecil tidak dipedulikan. Hanya dipandang dan tidak ditegur semasa bertemu. Kecualilah memang telah berkawan atau sekian lama dikenali oleh si pemenang.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).