Diterbitkan pada 10 Julai 2025, 06:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Semua pihak harus menghormati keputusan juri profesional bagi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 sekali gus menerima keputusan tersebut tanpa prejudis dan persepsi buruk terhadap panel penilai.

Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA), YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, panel penilai terlibat bertungkus lumus menilai setiap karya yang diterima dengan jujur serta adil tanpa sebarang kepentingan peribadi.

“Kadang-kadang, ada sedikit gangguan kecil seperti adanya panel juri yang tidak rasmi di luar sana.

“Tiba-tiba muncul dengan berbagai nilaian persepsi sendiri, tapi kita tidak layan itu semua, kerana panel penilai punya kaedah penilaiannya.

“Kita bukan nilai individu atau pengarang, tetapi kita nilai karya, tidak kira siapa pengarangnya.

“Panel penilai atau juri mesti bersifat jujur dan adil kerana kita mahukan karya yang bernilai untuk diangkat, bagi mengisi khazanah warisan sastera tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara “Memugar Hadiah Sastera Perdana Malaysia” yang berlangsung di Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang semalam.

Bersama-sama dengan Mohamad Saleeh, seorang lagi tamu ialah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tuan Haji Che Abdullah Che Ya, manakala rancangan tersebut dipengerusikan oleh Encik Rusdi Abdul Rahman.

Menurut Mohamad Saleeh, penilaian terhadap sesebuah karya bukan menjurus kepada aspek keindahan dan teknik semata-mata tetapi melibatkan beberapa kriteria lain yang memerlukan proses penelitian secara menyeluruh dan rasional.

Katanya, antara kriteria lain yang diambil kira meliputi subjek utama, naratif, pemikiran, struktur, dan nilai estetik yang terkandung dalam sesebuah karya.

“Antara satu-satu kriteria itu pula, kandungannya mesti seimbang. Ini yang dikatakan kalau setakat indah sahaja tetapi subjek longgar, pemikiran lemah, struktur tidak mantap, karya itu tidak akan sampai,” katanya.

Sementara itu, Che Abdullah memberitahu, panel penilai telah melakukan penelitian rapi merangkumi semua aspek kriteria sebelum memuktamadkan sesebuah karya bagi memastikan pemilihan dibuat secara tepat, jujur, dan adil.

“Bukan senang untuk menilai, seterusnya membuat keputusan. Antara panel penilai kadang-kadang macam nak bergaduh, berhujah dengan ilmu dan pemikiran masing-masing sebelum keputusan dimuktamadkan secara kolektif dan rasional,” jelasnya.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari pada sidang media petang kelmarin memaklumkan kesemua karya yang dipertandingkan telah melalui proses penilaian oleh panel penilai profesional, yang terdiri daripada tokoh sastera dan akademik.

Majlis penyampaian HSPM 2021/2022 dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek pada petang hari ini, bertempat di Hotel Zenith Putrajaya.

Kredit Foto: Birmingham Museums Trust
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi