1 November 2023, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri menyambung reaksi polemik penulis muda-tua dengan memberikan beberapa cadangan penyelesaian.

Orang-orang yang benar-benar cintakan sastera akan melestarikannya. Orang-orang yang hanya ‘cari makan’ dengan sastera akan takut untuk berubah. Takut periuk nasi akan senget atau terbalik.

Persoalan saudara Salman Sulaiman telah dijawab oleh ramai sasterawan muda dan senior. Kalau diikutkan kategori, saya masih lagi penulis muda (13 tahun menulis), tetapi disebabkan kudup sastera saya terlewat kembang, maka kaki saya di sebelah kategori muda dan sebelah lagi di kategori tua. Oleh sebab saya tidak begitu layak untuk menjawab, maka saya akan buat pilihan lain.

Tujuan saya menulis ini bukan untuk menjawab soalan esei asal atau rentetan esei selepasnya. Kita sudah pun mendapat jawapan yang agak memadai untuk kita tahu di mana silapnya. Secara umumnya, saya bersetuju bahawa penulis muda agak sibuk memenuhi keperluan kehidupan kerana masih di tangga bawah Hierarki Keperluan, teori Abraham Maslow, manakala penulis tua sudah pun berada di tangga atas hierarki tersebut.

Hal ini terbukti dengan jelas apabila kita lihat kebanyakan persatuan rasmi sastera, jawatan ahli jawatankuasa hanya dipegang oleh orang-orang tua. Mereka sanggup bekerja sukarela kerana ada banyak waktu senggang dan sudah tidak bergantung pada pendapatan daripada kerjaya. Orang-orang muda pula terpaksa berfikir banyak kali, sama ada memegang jawatan dan bergiat aktif dalam persatuan rasmi atau fokus pada kerjaya hakiki.

Saya tidak akan menjawab pertanyaan esei-esei terdahulu, sebaliknya saya akan memberikan cadangan penambahbaikan. Semasa bekerja dalam pengurusan industri pembuatan, apabila berlaku masalah atau semasa membuat post mortem kegagalan, kami diminta membuat analisa situasi dan tindakan pembetulan menggunakan alat-alat penyelesaian masalah seperti Analisa Why Why, Diagram Ishikawa, Sumbang Saran, Deming Cycle (PDCA), 8D, dan banyak lagi. Tujuannya hanya satu: TIDAK MENGULANGI KESILAPAN YANG SAMA. Jika mahukan hasil berbeza, janganlah diulang tindakan yang sama. Apatah lagi dengan langsung tidak mengambil apa-apa tindakan, seperti kata-kata pepatah Inggeris urban, “Like a poor dog, going round and round chasing its tail.” Menurut kata Albert Einstein pula, inilah definisi kegilaan.

Kesemua alat penyelesaian masalah ini hanya boleh digunakan dengan membuat sumbang saran (brainstorming) secara bersama dalam kalangan semua gelembung sastera yang ada. Dewan Bahasa dan Pustaka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) atau badan-badan lain yang sesuai harus menganjurkan projek penambahbaikan dan kemajuan berterusan demi sastera dengan mengaplikasikan cara yang lebih objektif jika ingin benar-benar mengubah landskap sastera ke arah yang lebih baik.

Orang-orang yang inginkan kemajuan berterusan tidak akan berkata tidak, selagi belum mencuba. Orang-orang yang selesa dengan status quo pula tidak akan mencuba selagi belum berkata tidak. Demikianlah logik akal budi tanpa perlu disandarkan kepada teori. Orang-orang yang benar-benar cintakan sastera akan melestarikannya. Orang-orang yang hanya “cari makan” dengan sastera akan takut untuk berubah. Takut periuk nasi akan senget atau terbalik.

Sudah sampai masanya sastera diurus dengan sistematik dengan menggunakan pelbagai alat pengurusan dan penyelesaian masalah yang terbukti berkesan sekali gus menjimatkan berbilion ringgit dalam industri pembuatan antarabangsa. Pengurusan secara telus dan objektif akan mengelakkan ketirisan, kepincangan dan segala macam kerugian secara ketara atau tidak ketara.

Dengan penyertaan wakil-wakil daripada semua gelembung sastera yang ada, lama-kelamaan akan hilang rasa “canggung” antara gelembung atas pertembungan “kepala panas” orang muda dan uncoolness orang tua. Paling elok, kumpulan pemikir (think tank) sastera negara ini diuruskan berdasarkan perancangan projek (project based). Usai projek, bubarkan, dan jika perlu, panggil semula untuk projek baharu. Cadangan “melastik dua burung dengan sebiji batu” mampu menyelesaikan masalah dengan pendekatan bersistematik kelas dunia, dan dalam masa sama, mengeratkan kerjasama antara penulis tua dengan muda.

Daripada kita mengulang-ulang polemik penulis tua dan muda, alangkah baiknya jika kita duduk semeja dan sama-sama membuat sumbang saran. Suatu tindakan dan pendekatan baharu yang belum pernah diambil sebelum ini. Selepas itu, kita lihat hasilnya. Saya pasti dan yakin, kerja yang diasosiasikan dengan “kecintaan” akan memberi hasil dan impak positif kepada sastera dan kerjasama antara gelembung-gelembung tersebut. Tidak perlu pun disatukan atau dihapuskan gelembung sedia ada, cuma sekali-sekala bekerjasama untuk tujuan pelestarian sastera tanah air.

Kredit Foto: Simone Hutsch/Unsplash

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.