Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSarah Ross mahukan maklum balas telus tentang urusan pencalonan Anugerah Sasterawan Melaka 2023 yang baru sahaja berlangsung baru-baru ini.
Mengapa para karyawan di Melaka, khususnya anak kelahiran Melaka, dipinggirkan daripada peluang untuk mencalonkan diri dalam pemilihan Anugerah Sasterawan Melaka 2023?
Azura Mohd. Halid dalam tulisannya telah memperincikan majlis Anugerah Sasterawan Melaka 2023 yang berlangsung pada 20 Oktober 2023 di Hotel Seri Costa, Melaka.
Sepuluh penerima telah dinobatkan dalam pelbagai kategori, sekali gus memadamkan kesepian selama 14 tahun yang dinanti-nantikan oleh karyawan negeri Melaka. Bukan satu tempoh yang singkat, malah berlangsungnya majlis ini dianggap menyemarakkan kembali unggun sastera di bumi Hang Tuah ini.
Saya tidak mahu menyentuh tentang penerima anugerah kerana mereka telah pun melalui proses penjurian. Saya tertarik dengan ucapan Timbalan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Melaka, YB Datuk Haji Zaidi Attan yang menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karyawan kelahiran Melaka agar terus konsisten dalam bidang penulisan dan penerbitan supaya persuratan Melayu tidak layu ditelan arus kemodenan dan teknologi semasa.
Hal itu selari dengan ucapan YAB Tun Hussein Onn (Allahyarham) pada Majlis Penyampaian Hadiah Karya Sastera 1976 di Rumah Malaysia, Kuala Lumpur. Beliau menyatakan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan taraf dan penghargaan kerajaan kepada sasterawan tanah air dengan meluluskan gagasan Anugerah Sastera Negara.
Pada tahun 1976, YAB Tun Hussein Onn telah membentuk sebuah Panel Anugerah Sastera Negara yang dipengerusikan oleh YAB Tun Musa Hitam, Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah ditugaskan menjadi Urus Setia Anugerah Sastera Negara.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa baik di peringkat negeri mahupun negara, penghargaan dan pengiktirafan terhadap karyawan tanah air begitu diberi perhatian yang serius. Bukan seperti “melepaskan batuk di tangga”.
Namun begitu, apa telah terjadi pada pengurusan Anugerah Sasterawan Melaka 2023 yang baru berlangsung ini?
Memetik laporan Khadijah Sidek dalam Berita Harian bertarikh 4 Julai 2022, DBP yang diamanahkan sebagai sekretariat Anugerah Sastera Negara sejak tahun 1979, perkara paling asas dalam anugerah sastera ialah pencalonan.
Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi berkata, tidak dinafikan terdapat ramai pengarang yang boleh dicalonkan sebagai Sasterawan Negara (SN). Namun sayang sekali mereka ini tidak dicalonkan oleh mana-mana pihak.
Dalam syarat pemilihan SN, terdapat satu syarat yang menyebut pengarang tidak boleh mencalonkan diri sendiri. Jadi, jika anda merasakan terdapat pengarang yang dianggap layak dinobatkan sebagai SN, calonkan mereka.
Pencalonan ialah perkara asas yang paling penting sebelum penjurian bagi sesuatu anugerah dapat dilakukan. Malangnya, pihak pengurusan majlis Anugerah Sasterawan Melaka 2023 tidak membuka pencalonan sebelum penjurian dibuat.
Saya ingin bertanya, bagaimana penjurian dibuat jika tiada pencalonan dibuka, sama ada kepada umum ataupun melalui persatuan-persatuan penulis di Melaka, contohnya Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka (LBMM)?
Tiada iklan atau sebarang hebahan dibuat oleh pihak pengurusan. Adakah mereka sedang bermain pondok-pondok?
Setahu saya, anugerah ini ialah sebuah pengiktirafan yang besar atas jasa dan sumbangan karyawan Melaka terhadap perkembangan sastera negeri dan juga negara. Justeru, hak pencalonan ialah hal penting yang mesti dititikberatkan.
Saya tidak boleh beranggapan bahawa pihak pengurusan tidak memahami hal ini dengan baik kerana kurang pengalaman dalam menguruskan anugerah yang baru kali kedua diadakan di Melaka.
Umum mengetahui, sesebuah anugerah perlu melalui proses pencalonan dan penjurian yang telus dan teliti. Pada peringkat pencalonan lagi, pihak pengurusan dilihat gagal menangani hal ini dengan baik dan berkesan. Apakah ada agenda lain yang disembunyikan?
Saya menyeru pihak pengurusan untuk tampil memberikan penerangan berkaitan isu ini. Tunjukkan ketelusan anda sebagai pengurus yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Melaka.
Mengapa para karyawan di Melaka, khususnya anak kelahiran Melaka, dipinggirkan daripada peluang untuk mencalonkan diri dalam pemilihan Anugerah Sasterawan Melaka 2023?
Hal ini seperti menunggu seberkas kayu api memarakkan unggun harapan, rupa-rupanya masih berbalut kesepian 14 tahun. Sebagai karyawan negeri Melaka, saya meminta penjelasan yang telus dan berani.
Saya percaya anugerah yang berprestij di negeri ini, bukan mainan atau gurauan. Salah tempat jika dianggap remeh atau diperolok-olokkan. Tujuan asal anugerah ini diadakan adalah seperti yang dijelaskan oleh YB Datuk Zaidi Attan, memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karyawan kelahiran Melaka.
Tercalar emosi para karyawan jika anugerah yang begitu lama ditunggu-tunggu, terpaksa berputih mata kerana tiada ruang dibuka untuk mencalonkan diri. Kami bukan meminta-minta untuk dipilih, sebaliknya pencapaian kendiri akan menjadi kayu ukur pada proses penjurian. Bak kata pepatah, “jauhari juga mengenal manikam”. Sayangnya jika karyawan Melaka tidak diberi hak sama rata untuk menggilap kaca menjadi permata.
Saya menunggu maklum balas dan penerangan daripada pihak pengurusan majlis Anugerah Sasterawan Melaka 2023. Sekali lagi saya bertanya, di mana ketelusan?
Akhir sekali, pandangan ini bersifat peribadi, tidak bersangkut paut dengan mana-mana pihak. Jika hujah ini terdapat kesilapan, mohon ditegur atau diperbetulkan.
Kredit Foto: Duyet Le/Unsplash
_________________________
Sarah Ross menulis puisi, cerpen dan esei. Karya beliau tersiar dalam akhbar , majalah dan juga media sosial tempatan. Kumpulan puisi pertama beliau, Empat Musim di Bibir Emak, memenangi Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.