22 Oktober 2023, 18:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Tercatat sejarah setelah 14 tahun menyepi, Anugerah Sastera Melaka kali yang ke-2 kembali menyemarakkan dunia persuratan Melayu dengan majlis serba ringkas namun sangat bermakna bagi karyawan di bumi Hang Tuah.

Sepuluh penerima anugerah dalam pelbagai kategori telah dinobatkan kepada karyawan kelahiran Melaka dalam majlis Anugerah Sastera Melaka 2023 pada 20 Oktober 2023 di Hotel Seri Costa, Melaka. Anugerah Sastera Melaka kali pertama dianjurkan oleh kerajaan negeri ialah pada 2009 dengan mengangkat Mokhtar Yasin sebagai Sasterawan Melaka pertama. Kegelisahan karyawan Melaka akhirnya terlerai apabila Aladdin Mohamad diangkat sebagai Sasterawan Melaka kedua bagi tahun 2023.

Aladdin Mohamad merupakan penulis prolifik kelahiran Melaka yang banyak menghasilkan puisi terutamanya sajak dalam memartabatkan kesusasteraan kebangsaan. Buku kumpulan puisinya yang terbaharu berjudul Di Bawah Langit Terbuka terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah pun dilancarkan pada 19 Ogos 2023 bersempena dengan Hari Pengkarya Selatan di Tangkak, Johor.

Aladdin banyak menghasilkan puisi dengan kepelbagaian tema dan sering mendapat perhatian dan disiarkan di majalah Dewan Sastera dan akhbar Berita Minggu dan Mingguan Malaysia. Lewat tahun 2000 hingga 2011 beliau pernah menghasilkan buku Adikku Kartika (DBP, 2006) dan Ombak dan Pantai (IPM, 2011).

Aladdin Mohamad diangkat sebagai Sasterawan Melaka kedua bagi tahun 2023.

Majlis Anugerah Sastera Melaka 2023 telah disempurnakan oleh YB Datuk Zaidi Attan, Timbalan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan sebagi wakil rasmi Ketua Menteri Melaka. Dalam ucapan perasmiannya beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus komited memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada karyawan kelahiran Melaka agar terus konsisten dalam bidang penulisan dan penerbitan supaya persuratan Melayu tidak layu ditelan arus kemodenan dan teknologi semasa.

Ujarnya lagi, karyawan Melaka perlu mengambil peluang untuk berada dalam kelompok sasterawan yang berupaya melangkah lebih jauh sementelah Melaka sangat terkenal dengan seni, warisan dan budaya kebangsaan. Karyawan harus berani menulis dengan jujur dan menzahirkan apa jua rasa, emosi dan pemikiran dalam penulisan karya kreatif mahupun bukan kreatif.

Selain Aladdin Mohamad beberapa karyawan Melaka juga telah diberikan anugerah mengikut kategori yang dicalonkan. Berikut merupakan senarai penerima Anugerah Sastera Melaka 2023:

Anugerah Tokoh Prosa
Hanita Hassan

Anugerah Tokoh Puisi
Aladdin Mohamad

Anugerah Tokoh Skrip Drama
Zamidah Hashim

Anugerah Kritikan Sastera
Abrak Othman

Anugerah Khas Srikandi
Lily Haslina Nasir

Anugerah Khas Pejuang Sastera Sepanjang Zaman
Haron Kidam

Anugerah Pembimbing Bahasa dan Sastera
Mohamad Musip

Anugerah Khidmat Nasihat dan Pembimbing Kewangan
Othman Derus

Anugerah Penulis Muda Harapan
Istajib Mokhtar

Anugerah Sastera Melaka 2023 telah mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka (JKKN) dengan sokongan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Gabungan Penulis Nasional (GAPENA). Turut hadir menyerikan majlis ialah Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah DBP Wilayah Selatan wakil rasmi Ketua Pengarah DBP, Puan Ezlina Alias, Pengarah JKKN Melaka, Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan, Presiden GAPENA, Tan Sri Dr. Abd. Latif Abu Bakar, Ketua I Lembaga Bahasa Melayu (LBM) dan Haji Abd. Razak Adam, Ketua I Ikatan Persuratan Melayu (IPM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.