Oleh Ramlee Wahab
11 September 2023, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramlee Wahab melaporkan kemuncak Anugerah Sastera Johor (ASJ) ke-13, yang diadakan pada 6 September 2023, membariskan para penulis Johor mapan dan baharu merangkul anugerah sastera paling berprestij peringkat negeri Johor Darul Ta’zim.

ASJ ialah wadah pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Negeri Johor sebagai menghargai sumbangan para penulis, pemikir dan karyawan. Pengiktirafan ini secara tekal telah menjana tekad dan bakat penulis untuk terus berkarya menghasilkan karya-karya bermutu.

Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa memandang tinggi dan mengalu-alukan golongan penulis dan karyawan yang sama-sama memberikan sumbangan dalam pembangunan Negeri Johor. Oleh sebab itu, Anugerah Sastera Johor menjadi satu tanda aras penting dalam ranah kesusasteraan tanah air sebagai salah satu medium terbaik menilai dan mendapatkan hasil penulisan anak Johor yang diadakan setiap dua tahun ini.”
~ YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

Anugerah Sastera Johor (ASJ) ke-13 hadir lagi mewarnai Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor pada petang 6 September 2023 dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, iaitu sebagai Wakil Rasmi Menteri Besar Johor.

Hadir sama mengiringi beliau ialah YT Bapak Sigit S.Widiyanto, Konsul Jenderal Republik Indonesia, Johor Bahru; Encik Mohd Riduwan bin Wahab, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan; Encik Sharil Nizam bin Abdul Rahim, Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ); YBhg. Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Karyawan Tamu YWJ; dan YBhg. Encik Mohd Zulfadli bin Md Maarof, Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Johor.

Penerima Anugerah Sasterawan Johor kali ini dimenangi oleh Rahimah Muda. Kemenangannya seakan-akan sudah diduga. Sememangnya, Rahimah mempunyai sejarah panjang yang cemerlang dalam bidang penulisan, yang bermula sejak tahun 2005. Beliau sentiasa memenangi anugerah sayembara, khususnya dalam novel sejarah.

Rahimah Muda, penerima Anugerah Sasterawan Johor 2023.

Penerima Anugerah Penulis Muda Johor pula dimenangi oleh Syafiq Zulakifli yang merupakan seorang pensyarah dalam bidang dakwah (pengkhususan dalam komunikasi dan penulisan dakwah) di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

Hadiah Penggiat Sastera Johor pula dimenangi oleh Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid. Beliau merupakan tokoh pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mantan profesor dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Jabatan Pengajian Melayu. Prof. Abu Bakar pernah menjadi Budayawan Tamu di YWJ. Beliau telah menyiapkan lebih lima buah buku kajian, dari tahun 2002 hingga 2006 dan kini telah lama bersara.

Anugerah Sastera Johor atau ASJ dahulunya dikenali sebagai Hadiah Sastera Darul Ta’zim (HSDT). Pada tahun 2023, anugerah ini sudah memasuki kali ke-13 penganjuran. ASJ ialah wadah pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Negeri Johor sebagai menghargai sumbangan para penulis, pemikir dan karyawan. Pengiktirafan ini secara tekal telah menjana tekad dan bakat penulis untuk terus berkarya menghasilkan karya-karya bermutu.

Sejak kali pertama diadakan pada tahun 1996, ASJ telah berjaya dianjurkan pada setiap dwitahunan dan melahirkan penulis pelapis yang sentiasa hadir dengan karya-karya segar. Sehingga ASJ ke-12, seramai 31 orang penerima Anugerah Khas telah diberikan pengiktirafan.

Syafiq Zulakifli, penerima Anugerah Penulis Muda Johor 2023.

Jika disorot dari sudut sambutan, penganjuran ASJ menjadi suatu acara yang dinanti-nantikan oleh pencinta bahasa dan sastera, penulis, karyawan, dan anak jati Johor yang berada dalam lingkungan ranah penulisan tanah air. ASJ juga dilihat oleh pengkaji dan sarjana sebagai penanda aras mutu penulisan serta perkembangan kesusasteraan tanah daksina. Melalui wahana inilah, penulis dirai dan dihargai dengan penghasilan karya-karya yang berkualiti.

Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid, penerima Anugerah Penggiat Sastera Johor 2023.

Sehubungan dengan itu, Hadiah Karyawan Sastera Johor telah diberi nama baharu, iaitu Anugerah Sasterawan Johor, manakala Hadiah Ciptaan Karyawan Muda Johor ialah Anugerah Penulis Muda Johor. Terdapat tambahan satu kategori Hadiah Khas, iaitu Anugerah Penggiat Sastera Johor.

ASJ ke-13 menyaksikan 33 orang pemenang dalam 17 kategori yang dipertandingkan. Kategori-kategori tersebut termasuklah Puisi Eceran Terbaik (enam hadiah); Cerpen Eceran Terbaik (enam hadiah); Sastera Siber – Puisi Terbaik (tiga hadiah); Esei dan Kritikan Sastera Terbaik (satu hadiah); Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun – Puisi Terbaik (tiga hadiah); Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun – Cerpen Terbaik (tiga hadiah); Kumpulan Puisi Terbaik; Kumpulan Puisi Kanak-kanak Terbaik; Kumpulan Puisi Remaja Terbaik; Kumpulan Cerpen Terbaik; Novel Kanak-kanak Terbaik; Novel Remaja Terbaik; Novel Dewasa Terbaik; Drama Radio Terbaik (satu hadiah); Anugerah Sasterawan Johor (seorang penerima); Anugerah Penulis Muda Johor (seorang penerima); dan Anugerah Penggiat Sastera Johor (seorang penerima).

Senarai penuh pemenang adalah seperti yang berikut:

Kategori Puisi Eceran: 

  • “Elegi Bonda” (Ruzaini Yahya)
  • “Harimau di Puncak Bukit” (Mohd. Kassim Mahmud)
  • “Perjalanan Malam III” (Syafiq Zulakifli)
  • “Lelaki dengan Sebelah Capal di Tangga Surau” (Rosman Md Shah)
  • “Kata-Kata adalah Hijab yang Membuka Langit Doa” (Shamsudin Othman)
  • “Siapa yang Lebih Derhaka” (Sulaiman Md. Nor @ Ibrahim)

Kategori Cerpen Eceran:

  • “Dentingan Genta Tahun Ini” (Mawar Safei)
  • “Diaspora” (Samiron Rahmat)
  • “Perempuan Bumi” (Nursuhada Sayuti)
  • “Che Delima Tabib Muda” (Maslina Ngadiman)
  • “Dahlia dan Syair yang Hilang” (Zalila Isa)
  • “Setitis Kasih Embun” (Ruzaini Yahya)

Kategori Sastera Siber – Puisi:

  • “Hanya Ada Satu Jalan” (Shapiai Mohd. Ramly)
  • “Rapatkan Saf dan Insaf” (Ramlee Wahab)
  • “Mendepani Kebobrokan” (Zaifulnizam Wagiran)

Kategori Esei dan Kritikan Sastera:    

  • “Kelisanan Setempat: Ruang Sosial Masyarakat Melayu di Bandar Penggaram” (Roslina Abu Bakar)

Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun – Puisi:

  • “Bianglala Kebahagiaan” (Nurfarzana Huda Muhammad Haris)
  • “Pohon Usia” (Nur’Ain Hannani Helmi)
  • “Rumah Perpaduan yang Agam” (Nur Aliah Izzati Azahari)

Kategori Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun – Cerpen:

  • “Manga Chokanan” (Irfan Izzat Khilfi Zubaile)
  • “Chandra” (Muhammad Amirl Aiman Ahmad Yusoff)
  • “Jiwa dan Raga” (Muhammad Faris Haikal Sabaruddin)

Kategori Kumpulan Puisi:

  • Layar Juang oleh Mohd Khatim Haji Othman

Kategori Kumpulan Puisi Kanak-kanak:

  • Haruman Ilmu oleh Nazim Mohd Subari

Kategori Kumpulan Puisi Remaja:

Kategori Kumpulan Cerpen:

Kategori Novel Kanak-kanak:

  • Raja Kupu-kupu oleh Rohaidah Yon

Kategori Novel Remaja:

Kategori Novel Dewasa:   

Kategori Drama Radio:   

  • “Cik Wa Sanggul Lintang” (Aminah Mokhtar)

Penerima Anugerah Sasterawan Johor:

  • Rahimah Muda

Penerima Anugerah Penulis Muda Johor:

  • Syafiq Zulakifli

Penerima Anugerah Penggiat Sastera Johor:

  • Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid

Melalui penganjuran ASJ ke-12 tahun lepas, sebahagian daripada karya penerima ASJ diterbitkan dalam sebuah antologi berjudul Di Tanah Bertuah Ini (YWJ, 2023). YWJ mengambil langkah proaktif dengan menerbitkan antologi sebegini sejak HSDT yang pertama (1999). Penerbitan antologi ini juga menjadi dokumentasi penting buat karya-karya penerima anugerah.

Menyentuh kriteria penilaian, karya-karya utama yang layak diberi hadiah dalam ASJ adalah berpandukan pada beberapa kriteria yang berikut:

  1. Bagi kategori Puisi Eceran Terbaik, aspek bahasa sangat dititikberatkan, unsur kesegaran dalam pengucapan mendapat nilai yang tinggi. Penilaian terhadap cerpen eceran berdasarkan pada tiga perkara pokok, isi, penyampaian, dan estetika. Termasuk juga teknik penyampaian dan aspek bahasa.
  2. Kategori Esei dan Kritikan Terbaik meliputi kajian sastera, rencana atau esei dan kritikan sastera berdasarkan kebaharuan idea dan pemikiran yang dapat mengangkat nilai sastera, disusun dengan komposisi yang teratur, dan disertakan fakta dengan bukti yang autoritatif.
  3. Bagi kategori Kumpulan Puisi Terbaik, nilainya dilihat pada aspek bahasanya, penggunaan imageri, ketepatan kata, simbolisme, dan rentak yang sesuai dengan isinya, dan ketekalan mutu dalam keseluruhan teks.
  4. Kategori Novel Dewasa Terbaik, dilihat pada kekuatan pemikiran, bentuk dan kematangan pengolahan subjek, selain strategi naratif yang memberi impak terhadap kesan nilai bahasa yang kemas dan mampu menyampaikan nilai secara organik.
  5. Genre Drama Radio Terbaik dinilai pada idea cerita dan watak menarik dan pembinaan struktur dramatik. Drama muzikal perlu dilengkapkan dengan syair, gurindam atau lagu yang sesuai menyampaikan cerita dan pemikiran drama. Drama radio dan televisyen mementingkan elemen dan efek bunyi digunakan untuk meningkatkan kesan dramatik dan emosi pendengar.

Debaran menanti sudah pun berakhir. Teka-teki siapakah para pemenang pelbagai kategori karya telah pun terjawab. Laporan Panel Hakim ASJ ke-13 menyatakan, secara keseluruhannya, perkembangan sastera Johor masih memperlihatkan kemajuan atau sekurang-kurangnya tekal berdasarkan pencapaian sebelumnya. Masih ada karya untuk khalayak dewasa dan remaja diterbitkan. Hal ini bermakna, penulis Johor masih berada di litar sastera kebangsaan melalui penerbit kerajaan mahupun swasta.

Genre puisi, cerpen dan novel memperlihatkan pencapaian yang menjanjikan masa depan yang cerah, tetapi mesti disokong oleh penerbitan yang sempurna dan sistematik. Perhatian perlu diberikan pada genre Drama Eceran, Kumpulan Cerpen Kanak-kanak, Buku Sastera, Drama Pentas, Kumpulan Cerpen Remaja, Buku Autobiografi, Buku Biografi, Drama Televisyen, dan Rencana Pembangunan Johor kerana jumlah penyertaannya masih tidak memuaskan, apatah lagi aspek mutunya. Pihak yang berwewenang di Johor wajar bergerak secara proaktif dan reaktif bagi meningkatkan lagi penyertaan dan memastikan kualiti karya berada pada tahap paling memuaskan, demi kelestarian perkembangan sastera Johor.

Bersama-sama kesemua barisan pemenang ASJ ke-13 (2023).

Bagi ASJ ke-13, panel penilai merupakan sarjana dan pemikir sastera yang mahir dan memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. Mereka termasuklah Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, mantan Dewan Bahasa dan Pustaka (Ketua Panel); Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Pensyarah Kanan Universiti Malaya; Prof. Dr. Hashim Ismail, Profesor Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya; Encik Zakaria Arifin; Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia; dan Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Pensyarah Kanan Universiti Malaya.

Oleh itu, pihak Yayasan Warisan Johor, di sebalik kejayaan mengadakan Anugerah Sastera Johor ke-13 (2023), wajar mengorak langkah sederap mengumpulkan tekad berusaha untuk lebih berusaha mengisi beberapa ruang lompang yang dilihat bukan sebagai kekurangan, tetapi cabaran untuk bergiat lebih aktif dan progresif. Yayasan Warisan Johor telah menyediakan platformnya. Mungkin semua pihak perlu bersama-sama menggerakkan peranannya, termasuklah persatuan penulis serta penulis Johor sendiri. Semoga ASJ akan datang lebih bersemarak lagi.

_________________________

Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.