Oleh Ramlee Wahab
16 Ogos 2023, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Anugerah Sastera Johor kembali membawa Hadiah Sastera Johor Darul Takzim kali ke-12, satu-satunya anugerah eksklusif yang mengiktiraf sumbangan besar para karyawan Johor. Ramlee Wahab menulis.

HSDT anjuran bersama PPJ dan YWJ dilihat mampu meningkatkan motivasi dan menggalakkan lebih ramai sasterawan, sekali gus mengangkat martabat kesusasteraan Melayu di negeri Johor.

Hadiah Sastera Johor Darul Takzim (HSDT) ke-12 pada tahun 2023 kini mendekat. Siapakah bakal pemenangnya? Mungkinkah nama-nama besar akan kekal mengungguli atau nama-nama baharu bakal mendominasi? Majlis Anugerah Sastera Johor (ASJ) kali ini akan diadakan pada awal minggu pertama September 2023, bertempat di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar yang menempatkan Yayasan Warisan Johor (YWJ). ASJ merupakan satu-satunya anugerah sastera berprestij yang mengiktiraf jasa dan sumbangan para penulis dan karyawan sastera, khususnya anak jati Johor yang bergiat aktif memperjuang sastera dan bahasa di negeri Johor.

HSDT diilhamkan oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan telah dianjurkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor. PPJ merupakan satu-satunya persatuan penulis paling aktif yang mengadakan pelbagai kegiatan sastera peringkat negeri dan nasional, seperti Bicara PPJ, Hari Sastera, Hari Puisi Nasional, Dialog Persuratan Melayu Johor, Kolokium Bahasa Melayu, Kursus, dan kem penulisan. Di bawah kepimpinan Ketua Satunya, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, PPJ mencapai kemuncak kegemilangannya dengan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun PPJ pada tahun 2017.

Penganjuran HSDT dilaksanakan secara dwitahunan. HSDT dilancarkan kali pertama pada tahun 1996 di Batu Pahat. Usaha awal PPJ dan kegigihan YWJ telah mendapat pengiktirafan dari Kerajaan Negeri Johor sebagai tanda sumbangan kepada para penulis dan sasterawan anak negeri Johor terhadap pembinaan tamadun bangsa melalui karya-karya sastera mereka. Tambahan, negeri Johor mempunyai ramai penulis prolifik yang telah mencipta nama dalam dunia kesusasteraan dan memenangi pelbagai hadiah di peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya, termasuklah Shaharom Husain (Allahyarham), Matlob (Allahyarham), Shamsudin Othman, W.B. Rendra, Mohd Rosli Bakir, Nazim Mohd Subari, Mustaffa Siraj, Md. Nizar Parman, Zulfazlan Jumrah, Mawar Safei, Aminah Mokhtar, Rahimah Muda, Maskiah Masrom, Rohaidah Yon, Zamidah Hashim, dan ramai lagi.

Sementara itu, sebuah lagi pengiktirafan, Hadiah Karyawan Sastera Johor, telah mengangkat martabat beberapa penulis prolifik sejak dimenangi kali pertama oleh Adibah Amin pada tahun 1996. Mutakhir, Shapiai Mohd. Ramly telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Johor 2016. Di samping itu, Hadiah Karyawan Muda Johor telah dimenangi kali pertama oleh Gunawan Mahmood pada tahun 1996. Manakala pada tahun 2016, dimenangi pula oleh Mohd Fairuz Mhd. Padoli (MF Kencana). Dr. S. Natesan pula telah dipilih sebagai penerima Anugerah Penulis Bukan Melayu Johor pada tahun 2016.

HSDT anjuran bersama PPJ dan YWJ dilihat mampu meningkatkan motivasi dan menggalakkan lebih ramai sasterawan, sekali gus mengangkat martabat kesusasteraan Melayu di negeri Johor. Keterlibatan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha memperjuang dan memartabatkan sastera telah berjaya melahirkan ramai sasterawan dan pengkarya muda yang telah mencipta nama dalam bidang persuratan. Wujudnya HSDT juga sebagai menghargai jasa-jasa para penulis negeri Johor kerana telah menyumbangkan pelbagai karya yang secara tidak langsung mengembangkan bidang bahasa dan sastera peringkat negeri dan kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, adalah diaspirasikan agar kewujudan HSDT berupaya mendorong dan menjana iltizam serta kreativiti para penulis negeri Johor dalam usaha menghasilkan karya-karya besar dan bermutu. Aspirasi Hadiah Sastera Darul Takzim adalah seperti yang berikut:

  • Meneliti dan menilai perkembangan kesusasteraan di negeri Johor.
  • Menjadi ukuran terpenting untuk memantau prestasi penulis-penulis Johor.
  • Menjadi pendorong kepada para penulis untuk menghasilkan karya-karya bermutu tinggi.
  • Menggalakkan pertumbuhan bakat-bakat penulis-penulis baharu.
  • Mendapatkan hasil karya sastera yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu.
  • Menggalakkan para penerbit untuk menerbitkan lebih banyak karya sastera yang bermutu tinggi dalam bahasa Melayu.
  • Memberikan penghargaan kepada para penulis Johor yang telah mengharumkan nama negeri Johor melalui penghasilan karya-karya mereka yang bermutu tinggi.

HSDT kali ini dijangka akan lebih menarik kerana terdapat kemungkinan para penulis muda akan tampil memenangi beberapa kategori.

HSDT turut dianggap sebagai manifestasi kepekaan rakyat Johor, khususnya para penulis, sasterawan dan budayawan terhadap keadaan dan situasi kelilingnya. Malah, kewibawaan tanggapan dan tutur karya mereka merupakan jalinan kesinambungan yang menampilkan inti pati pemikiran tamadun bangsa, yang lahir sejak zaman Kerajaan Johor Lama yang lalu diteruskan sehingga wujudnya Kerajaan Johor Moden.

Jika disoroti kembali sejarah karya-karya sastera lama negeri Johor, iaitu dipelopori oleh Tun Muhammad bin Tun Ahmad (1565–1659) atau lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang yang telah mengarang Sulalatus Salatin (1612) atau Sejarah Melayu, terkandung kekuatan nasionalistik, patriotik, bahasa, dan jati diri yang amat kuat, sekali gus mampu menjadi teras pembinaan sesebuah bangsa dan negara.

Dengan mengenali dan memahami karya-karya sastera, seseorang itu akan dapat mengenali dan memahami manusia di sekitarnya dan meningkatkan sistem keseimbangan pertumbuhan antara rohani dengan jasmani. Sebagai salah satu cabang kebudayaan yang mendukung nilai-nilai etnik dan estetik, sastera boleh memainkan peranan yang berkesan. Sastera membentuk cara berfikir yang mudah, dinamik dan progresif. Selain itu, sastera juga dapat mewujudkan semangat permuafakatan dalam kalangan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa di negeri Johor khasnya, dan seluruh tanah air umumnya.

Justeru, melalui HSDT, hasil karya dan penulisan kreatif penulis-penulis Johor termasuk novel, puisi, cerpen, drama, dan esei, dilihat masih relevan pada era globalisasi kini. Hal ini kerana, sastera nasional yang ditulis dalam bahasa Melayu merupakan cerminan pemikiran rakyat Malaysia, iaitu suka duka kehidupan budaya masyarakat serta aspirasi dan pengalaman penduduk Malaysia. Justeru, melalui karya-karya sastera, para pembaca dapat memperhalus keindahan bahasa sastera, selain memperoleh banyak ilmu selain menambah pengalaman kendiri melalui pengalaman zahir dan batin yang digambarkan oleh penulis.

Tambahan pula, dengan mengikuti penulisan sastera, seseorang individu itu juga dapat membentuk jati diri sebagai manusia berbudaya (cultured person). Golongan sebegini bersifat responsif terhadap pelbagai nilai dalam kehidupan ini, termasuk nilai-nilai kebenaran, keindahan, kebaikan, serta berperasaan luhur dan mulia. Perlu diingat bahawa para penulis dan sasterawan merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat. Kreativiti dan imaginasi mereka diperoleh daripada hasil pergaulan dalam masyarakat. Mereka mengamati, merasakan suka duka dan merasai secara langsung seluruh kejadian atau peristiwa yang berlaku di sekelilingnya. Kemudian, melalui kudrat keupayaan mereka menceritakan semula sesuatu perkara dalam bentuk dan lenggok bahasa penceritaan yang mudah untuk difahami oleh pembacanya. Secara tidak langsung, kejadian dan peristiwa yang telah berlaku dalam masyarakat dapat dijadikan contoh dan teladan, lantas disebarkan melalui pelbagai genre penulisan.

HSDT menawarkan 22 kategori, antaranya termasuk kategori Kumpulan Puisi (RM2000), Kumpulan Cerpen (RM2500), Puisi Eceran (RM700), Cerpen Eceran (RM1000), Buku Sastera (RM2500), Buku Biografi (RM2000), Buku Autobiografi (RM2000), Novel Dewasa (RM2500), Esei dan Kritikan Sastera (RM1000), Drama Radio (RM1000), Drama Televisyen (RM2000), Drama Pentas (RM2000), Drama Eceran (RM1000), Rencana Pembangunan Johor (RM1000), dan Sastera Siber – Puisi (RM400). Manakala kategori lain turut dipertandingkan termasuklah Novel Kanak-kanak (RM2000), Novel Remaja (RM2000), Kumpulan Cerpen Kanak-kanak (RM1500), Kumpulan Puisi Kanak-kanak (RM1500), Kumpulan Cerpen Remaja (RM1500), dan Karya Penulis Remaja Bawah 19 Tahun (Puisi – RM300 dan Cerpen – RM400).

HSDT kali ini dijangka akan lebih menarik kerana terdapat kemungkinan para penulis muda akan tampil memenangi beberapa kategori. Perlaksanaan HSDT meliputi karya-karya yang telah diterbitkan, dicetak dan disiarkan di media massa. Karya-karya yang dinilai ialah hasil tulisan warga negara Malaysia rakyat negeri Johor yang berkarya di negeri Johor atau di luar Johor, atau warga negara Malaysia yang telah menetap atau bermastautin di negeri Johor, sekurang-kurangnya lima tahun semasa karyanya dipilih dan dinilai.

Apabila menyentuh soal panel penilai, seperti tahun-tahun sudah, sebuah Jawatankuasa Panel Penilai HSDT telah dilantik yang terdiri daripada para sarjana dan intelektual sastera serta budayawan yang pakar, mahir dan berwibawa dalam bidang masing-masing. Dalam pada itu, Hadiah Karyawan Sastera Johor yang membawa gelaran “Sasterawan Negeri Johor” kali ini akan dianugerahkan kepada penulis yang telah mengharumkan nama negeri Johor pada peringkat nasional atau antarabangsa. Penerima juga telah menghasilkan karya-karya yang mantap dan terkenal serta ciri-ciri lain yang difikirkan layak untuk menerima hadiah ini. Walau bagaimanapun, mereka yang pernah menerima anugerah dari Kerajaan Negeri Johor dikecualikan daripada pencalonan.

Timbul persoalan menarik: siapakah yang akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas HSDT, iaitu Anugerah Sasterawan Johor dan Anugerah Penulis Muda Johor kali ini? Sememangnya, keputusan HSDT ke-12 membuat ramai penulis dan karyawan Johor berdebar menanti.

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.