28 Jun 2023, 14:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mohd Shoffi Sukamin memberikan beberapa pandangan tentang beberapa tulisan reaksi isu “sajak merapu”.

Dalam tulisan Mana Sikana tersebut, tidak ada menyebut atau ditujukan kepada mana-mana individu atau kelompok penulis secara khusus. Tulisan bersifat umum begitu wajar dibalas dengan nada yang sama.

Sejak sebulan dua ini, dapat kita lihat arena sastera tanah air mula mekar dengan polemik-polemik minor yang bagi penulis merupakan sesuatu yang perlu tetapi tidak harus berpanjang-panjangan. Cukup hanya sebagai penghidup suasana sahaja. Segala jenis pendapat harus kita raikan dan sambut dengan cerapan yang matang. Bagi penulis, pendapat penulis veteran tetap harus disantuni biarpun intonasi pendapat itu tidak sejajar dengan “nilai moral” yang penulis miliki. Apatah lagi, selagi radius pendapat itu hanya berkitar dengan persepsi dan ufuk pandang yang harmless.

Sebagai contoh, tulisan Mana Sikana yang tersiar dalam akhbar, hanya salah satu ulasan seorang veteran tentang trend penulisan masa kini. Adakah apa-apa yang ditulis itu salah? Tidak sama sekali. Adakah tulisan Mana Sikana itu betul? Sebahagiannya mungkin. Akan tetapi, adakah perlu tulisan balas sehingga meremehkan sosok Mana dan teorinya? Semestinya tidak. Penulis kira, hal itu hanyalah satu ulasan ringan dan tidak wajar diberikan perhatian dan balasan yang keras. Dalam tulisan Mana Sikana tersebut, tidak ada menyebut atau ditujukan kepada mana-mana individu atau kelompok penulis secara khusus. Tulisan bersifat umum begitu wajar dibalas dengan nada yang sama.

Penulis mendapatkan pendidikan sastera secara formal sedari usia 16 tahun. Sepanjang 10 tahun menulis puisi bermula usia 18 tahun, penulis sendiri terlibat dengan scene indie yang bergerak secara kolektif, menganjurkan program baca puisi di kafe-kafe dan event-space sekitar KL, terbitkan zine sebelum pseudosastera seperti Dubook, Thukul Cetak dan seumpamanya jadi satu fenomena. Kita pernah berada di fasa itu. Malah, penulis sendiri bangunkan komrad puisi di Twitter yang dikenali sebagai POEISI yang bermula dengan tujuh orang teman. Kita berada dalam ranah sastera indie dan sekarang sudah mula dengan arus perdana. Nasihat-nasihat yang penulis terima baik di peringkat sekolah, universiti mahupun pejabat (hari ini) tetap sama, iaitu PERAM karya. Tulis hari ini peram dulu, selepas beberapa hari baca semula. Nasihat yang sama diberikan oleh Mana Sikana, cuma mungkin istilah “merapu” itu terlalu kasar dan tidak patut keluar daripada mulut seorang yang penting seperti Mana Sikana. Akan tetapi, tulisan balas daripada sesetengah pihak berkenaan dengan istilah “merapu” itu diambil terlalu peribadi, sehingga tulisan balas yang dihasilkan, jadi seperti tulisan-tulisan rebel yang ditulis pada zaman kita teriak-teriak di atas pentas di kafe Gajah Tiga. Terlalu beremosi.

Menurut penulis, tulisan Mana Sikana itu hanya persepsi daripada horizon beliau sahaja, kemudian akhirnya dileraikan dengan nasihat dan pesanan. Tiada yang harus terluka kerana Mana tidak merujuk atau menuju pada mana-mana individu atau kumpulan secara khusus. Hakikatnya, karya yang menang Hadiah Buku Nasional dalam kategori SASTERA MELAYU di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu pun boleh dikatakan masih lemah, jika diukur dari sisi pemikiran dan kepengarangan. Penulis setuju perlunya ada tulisan balas kepada tulisan Mana yang boleh dianggap sebagai kasar, tetapi hanya untuk membetulkan persepsi umum dan bukan untuk meremehkan Mana Sikana secara individu.

Penulis mengharapkan kehangatan yang sedang kita raikan ini dikembangkan dengan kritikan dan pendapat daripada rakan-rakan penulis yang lain berkenaan bentuk puisi baharu yang dibawa oleh sebuah pertubuhan bahasa dan sastera, iaitu Puisi Esei. Bentuk penulisan puisi ini yang dikembangkan di Barat kemudian dibawa masuk ke Indonesia pada tahun 2012, dan selepas itu ke Malaysia. Atau lebih tepat, pertubuhan tersebut ingin membawa bentuk penulisan puisi ini ke dalam arena sastera tanah air dengan anjuran sayembara dan antologi bagi memastikan “keberadaan” bentuk puisi ini dalam ranah sastera kita.

Hal ini merupakan satu bentuk penulisan puisi yang canggung kerana terdiri daripada dua tradisi penulisan, iaitu puisi dan esei yang disatukan dalam satu bentuk yang tidak sinonim bagi kedua-dua tradisi. Puisinya harus ada nota kaki, fakta dan kepanjangan tertentu. Jika kita ingin bercakap tentang “merapu”, maka hal ini satu wahana yang baik untuk dibahaskan dan dikomersialkan sebagai polemik merapu. Semestinya, kita mengharapkan Mana Sikana juga untuk menulis tentang perkara ini. Ke manakah hala tuju Puisi Esei ini? Adakah nasibnya akan jadi seperti sastera Islam yang hanya diraikan oleh sebahagian dan sebahagian besarnya tidak peduli dan tetap menulis dengan fahaman liberal (bebas) yang lebih writers-friendly?

Adakah “merapu” hanya untuk idea dan tulisan penulis-penulis pemula atau untuk semua? Termasuk juga rakan-rakan penulis veteran yang cuba mencantumkan dua tradisi tulisan? Yang mana yang lebih “merapu”?

_________________________

Mohd Shoffi Sukamin menulis sajak dengan nama penanya, S. Shoffi. Beliau baru melahirkan kumpulan puisi sulungnya, Surat Di Poket Jas (Samudera Publication, 2023).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.