Oleh Rosli K. Matari
16 Jun 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari memberikan pandangan terhadap perkembangan genre Puisi Sains dan Teknologi yang tampak semakin dominan di tanah air. Sambungan daripada Bahagian 1.

Tiada sesiapa yang dapat menolak bahawa Puisi Sains bukan dianggap sebagai puisi. Sains hanyalah merupakan isi dalaman dan pemikiran puisi.

Dalam hal ini, terdapat juga persoalan, malah dapat diduga bahawa Puisi Sains tidak akan sepopular puisi biasa dalam kesusasteraan, hal ini merupakan suatu perkara lain.

Sehingga kini pun, belum ada penyair yang benar-benar berwibawa dan konsisten unggul dalam Puisi Sains. Di samping itu, masih tetap sukar bagi menemukan dominasi Puisi Sains yang bernilai tinggi, untuk dapat sejajar atau setanding dengan puisi yang lumrah dalam pengucapan kesusasteraan.

Namun begitu, bukan mustahil yang Puisi Sains juga akan ikut menemukan tempatnya secara meriah, popular dan terhormat.

Bayangkan, jika dapatlah tampil barisan penyair Puisi Sains yang dapat sewibawa dengan pengucapan Goenawan Mohamad, sebagaimana contoh terdahulu, nescaya subgenre ini mampu dipandang tinggi dan penting.

Permasalahan untuk diduga bahawa kemunculan dan kewujudan Puisi Sains hanyalah merupakan suatu percapahan pula bagi kesusasteraan. Hal ini juga bukan suatu isu. Puisi tetap berdiri sebagai suatu wibawa genre besar yang tersendiri. Sementelah itu, terdapat pelbagai kategori, klasifikasi dari segi zaman, jenis dan bentuk dalam genre puisi. Kehadiran Puisi Sains tetap boleh diterima pada jurus kategori bidangnya dalam genre puisi. Rasionalnya, Puisi Sains masih tetap sebagai bidang puisi. Tiada sesiapa yang dapat menolak bahawa Puisi Sains bukan dianggap sebagai puisi. Sains hanyalah merupakan isi dalaman dan pemikiran puisi.

Andai kemampuan dan wibawa mandiri Puisi Sains ini dapat terus berkembang, konsisten dan popular, jenis puisi bukanlah merupakan masalah dan gangguan terhadap konteks puisi dalam nilai kesusasteraan, di samping perkembangan dan kedinamikan puisi dalam kesusasteraan.

Puisi Sains, dalam konteks puisi, tetap harus mencerminkan diri sebagai pengucapan puisi, berserta nilai kesusasteraannya. Jika tanpa hakikat ini, bukan sahaja sebagai tidak bernilai, malah Puisi Sains itu sendiri sudah tentulah, hakikatnya, bukan sebagai puisi.

Semua puisi, walau apa jenisnya sekalipun adalah untuk dihayati. Tanpa penghayatan, Puisi Sains yang berfokus pada matlamat menyampaikan isi sains semata-mata, hanyalah sekadar tampil kaku seumpama batang kayu. Bukan seumpama pokok yang masih hidup menghijau.

Bagaimanakah sebenarnya dan seharusnya penciptaan Puisi Sains?

Justeru sebagai puisi, Puisi Sains juga terungkap untuk tampil berdiri sebagai tidak akan berbeza daripada puisi yang sudah lumrah wujud dalam kesusasteraan.

Sekali lagi, pada konteks ini, petikan puisi Goenawan Mohamad yang dinyatakan, sebaik-baiknya dirujuk semula bagi direnung kebijaksanaan kreativiti yang terampil menggabungkan elemen sains dalam keindahan pengucapan puisi. Perbezaan ketara, jika sebagai Puisi Sains, hanyalah pada juring pemikiran kerana berasaskan titik tolak dalam lingkungan bidang sains.

Motif penciptaan Puisi Sains tetap menghala kepada signifikan sains. Begitu juga aspek tema, kerana penggarapan asas idea adalah daripada juzuk pemikiran sains. Pada konteks persoalan dan mesej pula, justeru sebagai pemikiran yang boleh berkembang secara lebih meluas, maka tentulah boleh merangkumi gabungan pencerminan sains dan juga umum.

Umum yang dimaksudkan pada konteks di atas ialah cakupannya boleh menjurus terhadap masyarakat. Aspek masyarakat dan kemasyarakatan memang tidak tergolong sebagai suatu bidang atau disiplin sains.

Namun begitu, puisi selalunya menghala pada matlamat yang memberikan tendensi kepada masyarakat, oleh yang demikian, persoalan dan mesej dalam Puisi Sains boleh direlatifkan sebagai wajar turut bersinonim dengan kemasyarakatan, jika diperlukan.

Demikianlah juga halnya berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Sama ada Puisi Sains akan turut mengandungi nilai ini atau tidak, hal ini bergantung pada cerminan pengungkapan Puisi Sains itu sendiri.

Dalam erti kata lain, Puisi Sains tidak semestinya turut mengasimilasikan nilai kemanusiaan. Puisi ini boleh utuh berdiri memberikan fokus terhadap bidang sains kerana kemanusiaan bukan dalam disiplin sains.

Akan tetapi, penciptaan Puisi Sains yang dapat turut memberikan kepekaan terhadap nilai kemanusiaan, sudah tentulah lebih terpuji seginya, sebagai suatu signifikan besar dan bernilai tinggi.

Penerapan emosi dalam Puisi Sains, serba sedikit sudah dijelaskan.

Perkara terpenting yang wajar direnungi dan disedari ialah, meski fungsi Puisi Sains untuk mengungkapkan sesuatu perkara sains, atau diteroka pemahamannya, namun penerapan penghayatan emosi akan lebih bersifat sempurna dalam pencerminan Puisi Sains.

Hal ini akan dapat menepati konsep puisi, kerana semua puisi, walau apa jenisnya sekalipun adalah untuk dihayati. Tanpa penghayatan, Puisi Sains yang berfokus pada matlamat menyampaikan isi sains semata-mata, hanyalah sekadar tampil kaku seumpama batang kayu. Bukan seumpama pokok yang masih hidup menghijau.

Bagaimanakah pula halnya dengan istilah-istilah yang terdapat dalam bidang sains? Adakah Puisi Sains wajib menggunakan dan memasukkan istilah sains dalam pengungkapannya, secara mutlak bagi sesuai mandiri sebagai Puisi Sains?

Jawapannya: tidak.

Puisi Sains tetap dapat berdiri utuh dan mandirinya sebagai Puisi Sains, betapa sekalipun tanpa diselitkan dengan apa-apa istilah daripada bidang sains. Hal ini kerana pemikiran sains yang terungkap di dalamnya sudah dapat bermandiri sebagai Puisi Sains.

Siapa dapat menafikannya sebagai bukan Puisi Sains yang berpemikiran sains, justeru tanpa pemeragaan istilah sains? Jawapan sudah dijelaskan pada perenggan di atas.

Namun begitu, mari direnung lagi. Contohnya, jika membaca apa-apa buku berkenaan sains, misal pada kadar satu halaman sahaja, sekalipun; pada andaian 300 patah perkataan dalam satu halaman, lebih 200 perkataan itu menghuraikan dan menerangkan perkara sains tersebut untuk difahami. Istilah berkaitan dengannya, sebagai istilah sains, hanyalah tampil beberapa patah perkataan sahaja.

Oleh hal yang demikian, istilah sains dalam Puisi Sains bukanlah perkara wajib. Istilah Sains hanya wajar digunakan dalam pengungkapan Puisi Sains sebagai keperluan, jika berkaitan sahaja.

Pada konteks ini juga, panel pengadil dalam pertandingan Puisi Sains melakukan kesilapan besar, jika bergegas menghala kepada istilah sains. Sehingga menetapkan penerimaan takrif sebagai Puisi Sains sebagai bersyarat mengandungi istilah sains. Dalam erti kata lain, panel pengadil ingin menemukan pemenang dengan berdasarkan konsep bahawa sesebuah Puisi Sains itu harus wajib ikut menampilkan istilah sains.

Walhal, Puisi Sains tidak semestinya lebat berhias dengan jargon istilah sains.

Konteks sebenar ialah, penggunaaan istilah sains adalah amat digalakkan penggunaannya dalam pengungkapan Puisi Sains. Namun begitu, bukanlah wajib, sebagaimana rasional telah diterangkan di atas. Kerelevanannya hanyalah sekiranya sesuatu istilah itu benar-benar diperlukan sebagai perkaitan.

Pada masa kini, berdasarkan kadar yang dapat ditelitikan oleh penulis terhadap hasil karya Puisi Sains, kreativiti dan kraf puisi ini masih amat rendah pada nilai kesenian puisi. Pengamatan dan rumusan penulis pada permasalahan ini, disebabkan oleh tiga faktor utama yang berikut:

  1. Penulis yang mencipta Puisi Sains lebih berminat menumpukan fokus untuk menyampaikan isi sains semata-mata.
  2. Tidak berminat untuk menumpukan kepentingan segi kehalusan dan keindahan penyampaian Puisi Sains dari aspek unsur dan nilai puisi.
  3. Tidak memiliki pengetahuan luas dan kemahiran tinggi berkaitan selok-belok bidang penulisan puisi bagi membolehkan keterampilan dalam penciptaan puisi, dan selanjutnya untuk dimanfaatkan bagi kreativiti Puisi Sains.

Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika kreativiti hasil cipta Puisi Sains adalah masih amat lemah, kaku dan tidak bermutu tinggi. Malahan, kebanyakan Puisi Sains diwarna-warnikan oleh jargon istilah sains semata-mata.

Permasalahan atau faktor bagi perkara (1) di atas, pada pengamatan penulis, terutama ketara dapat ditemui pada hasil karya yang menyertai pertandingan. Peserta atau penulis bagai lebih didorong oleh tanggapan pemikiran, bagi peluang memenangi hadiah, maka penyampaian pemikiran isi sains haruslah jelas dan tepat untuk mudah difahami oleh panel. Maka, tidak hairan juga, orientasi Puisi Sains ini lebih menghala pada mementingkan jargon istilah sains.

Seolah-olah puisi itu, sebenarnya lebih merupakan “penerangan secara berangkap”. Namun begitu, tidak dapat tidak, harus diterima dan dianggap karya serupa ini sebagai puisi, justeru penulisannya secara berangkap. Puisi memang berangkap. Maka, tidak hairan juga pengucapannya polos dan tidak sebegitu mementingkan pengungkapan puitis.

Perkara (2) pula memang saling berkait dengan perkara (1) dan (3). Perserta dan penulis tidak berminat mementingkan unsur puisi secara puitis kerana lebih berpegang pada prinsip mengutamakan penyampaian secara prosaic, agar isi pemikiran sains dapat disampaikan secara tepat, jelas dan mudah difahami.

Di samping itu, peserta dan penulis tidak pula berpengetahuan dan berkemahiran secara mendalam, luas tentang seni puisi bagi dimanfaatkan pada keterampilan kreativiti penciptaan Puisi Sains.

Pada perkara (3) pula, justersu kebanyakan penulis yang menghasilkan Puisi Sains memang boleh dikatakan rata-ratanya berada di luar daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran untuk mencipta puisi. Apatah lagi, sebagai Puisi Sains yang benar-benar bernilai. Sebahagian besar penulis atau peserta pertandingan, boleh diagak sebagai pertama kali mencuba menghasilkan puisi, malah terus kepada Puisi Sains. Maka tidak hairan, penciptaan Puisi Sains mereka menjadi sebegitu lemah, polos dan kaku bagai batang kayu.

Apa-apa pun, tidak dapat dinafikan hakikat bahawa mencipta Puisi Sains bukanlah suatu kreativiti mudah. Memang, penciptaan puisi sebagaimana yang lumrah pada sisi kesusasteraan pun, bukanlah suatu kreativiti yang mudah. Apalagi pada Puisi Sains yang ternyata mempunyai beberapa kelainan, keunikan dan perbezaan pada sifat dan ciri mandirinya tersendiri.

Secara berfikiran saksama, beberapa kesedaran, pertimbangan dan penilaian, serta optimisme berikut wajar direnung, direalisasikan dan dihargai:

  1. Puisi Sains boleh tetap hadir untuk diterima sebagai percambahan dan pengayaan jenis pengucapan dalam genre puisi dalam kesusasteraan.
  2. Justeru konteks dan konsep kesusasteraan sebenarnya luas, apa-apa sahaja bidang dan keilmuan dapat merentas melalui kesusasteraan. Misalnya, genre sastera kitab (agama Islam), sastera tasawuf, sastera kenegaraan, sastera ilmu bedil dan meriam, sastera ilmu nujum dan raksi, dan sebagainya yang pernah merentas kesusasteraan Melayu tradisional, berdekad-dekad, sejak sebelum Tahun Masihi 1800.
  3. Meski pada relatifnya, Puisi Sains dapat dikelompokkan sebagai bidang yang boleh tetap dikekalkan dalam bidang sains, yakni percambahan dan pengayaan pada bidang keilmuannya sendiri; namun, sebagaimana yang dinyatakan pada (1) dan (2) di atas, genre puisi juga boleh diterima sebagai percambahan, pengayaan dan kedinamikan bidang kesusasteraan, pada segala segi isi pemikiran yang disampaikan melalui pemanfaatan kesusasteraan.
  4. Sekalipun, pada masa kini, kebanyakan hasil cipta Puisi Sains belum berkemampuan mencecah dan mencapai tingkat tahap tinggi pada nilai kreativiti puisi, namun kepentingan dari segi harapan, galakan dan inisiatif harus diberikan potensi, kepentingan dan signifikan terhadap puisi ini.
  5. Juga, bukanlah suatu perkara mustahil, bahawa pada suatu masa hadapan nanti, Puisi Sains akan semakin diminati, popular dan dianggap penting oleh masyarakat, kerana pemikiran dan perubahan nilai dalam dunia kehidupan masyarakat moden adalah sentiasa berubah meningkat dan semakin dinamik.

Titik tolak terpenting bagi mendinamikkan kewajaran perkembangan Puisi Sains adalah seperti yang berikut:

  1. Pihak sekolah boleh berperanan penting melalui persatuan sains, dalam usaha menganjurkan pertandingan mengarang Puisi Sains secara konsisten, bagi menggalakkan minat dan kreativiti pelajar.
  2. Guru subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif boleh berperanan penting, sebagai merentas kurikulum dan kokurikulum bagi membimbing pelajar sains dan umumnya, ke arah memahami dan menguasai pengetahuan serta kemahiran penciptaan puisi bagi diaplikasikan kepada kreativiti Puisi Sains.
  3. Pihak sekolah, institusi, badan bukan kerajaan tertentu, berserta awam yang berminat membantu, boleh mewujudkan blog (dan seumpamanya) ke arah pengisian dan penampungan karya, sebagai inisiatif memperkembangkan, mempopularkan dan mendinamikkan lagi kreativiti Puisi Sains.
  4. Hasil cipta karya yang menyertai pertandingan Puisi Sains wajar dibukukan dan diterbitkan bagi bacaan luas masyarakat, di samping menepati aspirasi untuk mendekatkan, memupuk minat masyarakat kepada sains, dan mencerdaskan pemikiran masyarakat berkaitan sains melalui kreativiti puisi dan kesusasteraan. Di samping itu, memberikan kesedaran dan bukti kepada masyarakat bahawa puisi dan kesusasteraan dapat berkembang dinamik merentas kepentingan dan signifikan pelbagai bidang lain.
  5. Media massa, khasnya yang berkaitan dengan sains, seharusnya memberikan peluang dan ruang kepada puisi ini.
  6. Institusi berkaitan bidang sains dan teknologi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan jabatan pendidikan negeri wajar memberikan tumpuan penting pada kreativiti Puisi Sains sebagai antara agenda utama bagi memangkin signifikan pendidikan.
  7. Persatuan penulis boleh, malah wajar membimbing pelajar dan penulis puisi ke arah galakan kreativiti Puisi Sains. Justeru, bengkel puisi dalam konteks kesusasteraan merupakan asas kreativiti yang dapat bersinonim dengan potensi penciptaan Puisi Sains.
  8. Dewan Bahasa dan Pustaka juga turut wajar berperanan penting untuk turut membantu kedinamikan dan signifikan besar yang boleh disumbangkan oleh potensi perkembangan Puisi Sains, bagi kepentingan masyarakat dan negara.

Sesungguhnya, tiada sesiapa dapat menafikan hakikat bahawa, sesungguhnya kesusasteraan turut mendapat tempat secara terhormat di sisi perkembangan dan kedinamikan Puisi Sains.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Puisi Sains dan Teknologi: Bagaimana Seharusnya? (Bhg. 1)

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) menerima Hadiah Utama Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.