Oleh Rosli K. Matari
14 Jun 2023, 09:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari memberikan pandangan terhadap perkembangan genre Puisi Sains dan Teknologi yang tampak semakin dominan di tanah air.

Bidang sains dan teknologi memang sedia mempunyai pengkhususan kategori tersendiri bagi setiap satu bidangnya, yakni masing-masing mempunyai perbezaan takrif, konsep, jenis, dan ciri tersendiri. Namun begitu, biasanya hal ini dikaitkan secara bersama – bagai isi dengan kuku – kerana kedua-dua bidang ini dapat berseganding, saling berselari pada juring fungsi dan kepentingannya.

Sesekali, poster pertandingan mengarang Puisi Sains dan Teknologi akan tersebar, terpampang kepada awam melalui pelbagai saluran media.

Pertandingan puisi ini, sebenarnya, boleh dikatakan biasa dianjurkan setiap tahun. Sekali-sekala dianjurkan oleh institusi besar di peringkat tanah air, namun lebih lazim di peringkat negeri oleh institusi, jabatan pendidikan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan yang tertentu.

Di samping itu, persatuan sains di sekolah menengah pula juga biasa aktif menganjurkannya. Hal ini, bukan sahaja kerana aktiviti tersebut dapat menepati aspirasi persatuan, malah mudah dilaksanakan bagi mengisi fungsi keaktifan persatuan.

Kebanyakan pertandingan ini, sama ada khusus kepada pelajar atau terbuka kepada awam, biasanya tidak diketahui umum secara menyeluruh. Justeru, kebanyakannya merupakan anjuran setempat. Akan tetapi, hakikatnya, pertandingan mengarang Puisi Sains dan Teknologi sudah boleh dianggap konsisten dan popular di tanah air.

Malahan, sebenarnya, tidak ketinggalan turut dianjurkan oleh persatuan penulis juga. Di Kelantan, sebagai contoh, Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan pernah menganjurkannya buat awam, meski khusus di negeri tersebut sahaja. Dengan itu, persatuan penulis juga ikut cakna dengan perkembangan ini. Ertinya, puisi berkaitan sains dan teknologi kini sudah kian terpandang serius pada juring kreativiti.

Titik tolak pelaksanaan pertandingan ini turut memenuhi beberapa matlamat dan kepentingannya yang tersendiri. Antara sebahagian objektif utama tersebut termasuklah:

  1. Usaha menggalakkan masyakarat secara lebih menyeluruh ke arah mendekati, meminati dan menghargai peranan serta kepentingan bidang sains dan teknologi.
  2. Menyedari bahawa bidang sains dan teknologi dapat didorong serta diterapkan pemahaman dan penghayatannya secara lebih menarik dengan usaha merentas pelbagai bidang lain.
  3. Menerapkan signifikan bidang sains dan teknologi melalui pemikiran kreatif sebagai antara jurus penting perkaitan kecerdasan pemikiran.

Penampilan kreativiti puisi sains dan teknologi jika diimbas, tidak dinafikan juga seakan-akan terpandang lucu dan aneh.

Hal ini justeru, sudah sedia lumrah bahawa terdapat genre puisi yang bernilai sebagai kesusasteraan. Seolah-olah, untuk apa perlu dan penting lagi pada puisi berunsur sains dan teknologi? Oleh itu, hal ini tampak bagai ganjil, kerana bagai harus dipentingkan untuk turut dicelahkan pula dengan Puisi Sains dan Teknologi.

Dengan erti kata lain, bagaikan puisi jenis ini harus ikut dominan, bersebati dan bersejajar berkembang dalam dunia puisi atau kesusasteraan.

Bidang sains dan teknologi memang sedia mempunyai pengkhususan kategori tersendiri bagi setiap satu bidangnya, yakni masing-masing mempunyai perbezaan takrif, konsep, jenis, dan ciri tersendiri. Namun begitu, biasanya hal ini dikaitkan secara bersama – bagai isi dengan kuku – kerana kedua-dua bidang ini dapat berseganding, saling berselari pada juring fungsi dan kepentingannya.

Dalam artikel ini, bukanlah keperluan untuk menghuraikan takrif mengenai kedua-dua bidang ini. Kedua-duanya sudah lumrah diketahui dan difahami oleh umum, sejak dari persekolahan rendah lagi. Pada bicara lanjut, penulis meringkaskan sebutan sebagai “Puisi Sains” sahaja.

Puisi Sains, diistilahkan demikian, sebagai bermaksud sejenis puisi yang secara khusus mengungkapkan pemikiran dalam ruang lingkup yang menjurus pada bidang atau aspek berkaitan sains dan teknologi sahaja.

Hal pemikiran itu pula, bererti – kalaupun tidak secara sepenuhnya, sekurang-kurang sebagai sebahagian daripadanya – pada apa-apa tumpuan dan kesan timbal baliknya pasti akan ada perkaitannya dengan lima komponen yang berikut, yang dinyatakan di bawah ini pula. Hal ini pasti akan wujud kerana penzahiran puisi adalah bertitik tolak daripada tujuan dan impak perincian pemikiran yang berikut:

  1. Motif,
  2. Tema,
  3. Persoalan,
  4. Mesej, dan
  5. Signifikan.

Oleh itu, semua komponen di atas yang lazim turut tercermin, wujud dalam pengungkapan puisi, maka haruslah juga turut secara khusus menghala pada cakupan bidang, aspek, unsur, atau elemen sains, atau di samping bidang teknologi.

Semua komponen dalam lingkungan pemikiran ini, jika tanpa sebarang cerminan sebagai juzuk sains, maka sudah tentulah puisi tersebut bukan merupakan sains, atau Puisi Sains.

Manakala, emosi pula, meski turut merupakan sebahagian antara komponen puisi, namun bukan sebagai sains. Hal ini berasa di luar bidang sains dan teknologi. Justeru, emosi merupakan suatu unsur subjektif, berbanding dengan sains yang mutlak bersifat objektif.

Namun begitu, bertitik tolak pada konteks asas – puisi tidaklah diciptakan semata-mata berdasarkan pemikiran atau taakulan sahaja. Hakikat pada penciptaan, pengungkapan dan penzahiran manifestasi puisi turut berserta dengan emosi, sekali gus. Justeru, puisi merupakan pengucapan yang diungkapkan secara berseni dan indah.

Salah satu unsur keindahan itu berupa manifestasi jiwa yang saling berhubung dengan emosi. Tanpa emosi, tidak akan wujud keindahan, kerana tidak dapat dirasai, dihayati dan diselami melalui perasaan, jiwa atau nurani. Dengan kata lain, puisi tanpa resapan emosi untuk dijiwai oleh nurani, tidak akan indah dan bernilai apa-apa.

Oleh hal yang demikian, manifestasi emosi tetap dapat diterima kewajarannya untuk turut berasimilasi dalam Puisi Sains. Justeru, puisi tidak dilahirkan tanpa jiwa.

Secara hakikatnya, wujudkah Puisi Sains ini?

Namun begitu, pada konteks kerelevanan Puisi Sains, sekurang-kurangnya, isi pemikiran sains sudah dapat wujud dalam puisi, meski persoalan emosi turut ikut wujud bersama sebagai sampingannya.

Demikian, betapa pun Puisi Sains menghala kepada objektif sains, namun nilai kesenian dan keindahan dapat bersinonim wujud dalam Puisi Sains. Khususnya pada pengertian dan penggabungan suatu kreativiti puisi dengan pemikiran sains.

Inilah suatu kelebihan, keistimewaan dan keunggulan bagi Puisi Sains kerana dapat berupaya menggabungkan atau mengasimilkasikan sains dengan puisi (sastera, seni) secara bersepadu.

Dari suatu juring lain, kemunculan puisi sains ini, sebenarnya, cukup menarik perhatian dengan pelbagai persoalan. Pelbagai rentet persoalan sering kali timbul berkaitan dengannya. Sejujuk antaranya termasuklah:

  1. Benarkah ada/dapat diwujudkan Puisi Sains?
  2. Sejauh manakah hebat dan berwibawanya puisi ini, berbanding dengan puisi yang sudah sedia lumrah terdapat dalam kesusasteraan?
  3. Benarkah puisi ini mempunyai signifikan besar terhadap masyarakat?
  4. Wajarkah puisi ini diiktirafkan istilahnya untuk diterima dan dikelompokkan sebagai genre puisi?
  5. Tidakkah kewujudan jenis puisi ini bercapah istilahnya kerana dalam kesusasteraan, hanya memadai dengan istilah sebagai genre puisi sahaja, secara umumnya?
  6. Tidakkah kewujudan jenis puisi ini merupakan gangguan terhadap konteks puisi dalam nilai kesusasteraan?

Jelas, sebegitu banyak pula persoalan timbul, berikutan langkah ke arah usaha mempopularkan dan penggalakan untuk mendinamikkan Puisi Sains ini. Malah, jelas nyata, semua persoalan itu bagaikan prejudis terhadap kewajaran wujudnya Puisi Sains.

Pada persoalan, secara hakikatnya, wujudkah Puisi Sains ini, jawapannya ialah: tiada siapa dapat menafikan dan menolak kewujudannya.

Hal ini mudah sahaja direnungi. Isi pemikiran dan motif penciptaan puisi dalam hal ini bertitik tolak daripada konteks dan konsep dalam bidang sains, maka penzahirannya merupakan karya yang tentulah dapat diistilahkan sebagai Puisi Sains.

Selanjutnya, mungkin akan tampil pula soalan yang seakan-akan “nakal” – jika halnya demikian, sebagai contoh lain, tidakkah boleh turut wujud juga – misalnya, puisi herba, puisi maritime atau puisi arkeologi?

Jawapannya juga adalah tetap: ya.

Seumpama, kelainan sudah sedia ada dan dikenali, yang dapat diidentifikasikan sebagai puisi budaya, puisi sejarah dan puisi kemerdekaan.

Namun begitu, hal demikian sebenarnya hanyalah berlegar pada konteks, jika memerlukan pada pengkhususan khas sahaja. Jika dimisalkan, pada keperluan klasifikasi sebagai puisi botonikal, puisi ornithology dan puisi psikologi. Hatta, puisi landskap, puisi gender atau puisi humor sekalipun.

Sungguhpun demikian, sehingga kini, keperluan khas secara detail seumpama itu tidaklah popular. Malah, bagai masih bukan suatu keperluan besar dan penting bagi seperinci, untuk dirigidkan, sedemikian.

Akan tetapi, jika pengkhususan berkaitan puisi budaya, puisi sejarah dan puisi kemerdekaan, misalnya, hal ini sudah pun sedia dikenali dan difahami oleh umum, sekurang-kurangnya di tanah air ini.

Oleh yang demikian, bukanlah merupakan suatu kejanggalan, keganjilan, aneh, atau lucu, jika ikut wujud dan diistilahkan sebagai Puisi Sains.

Adakah kewibawaan seni cipta atau kraf Puisi Sains ini akan dapat setanding dengan nilai puisi, sebagaimana yang sudah lazim terdapat dalam kesusasteraan?

Jawapannya adalah relatif.

Dalam erti, bukanlah mustahil. Mungkin ada mana-mana individu atau penyair yang berkemampuan tinggi untuk mencipta pada seni cipta atau nilai kraf pada Puisi Sains ini.

Jika mampu dizahirkan, maka sudah tentulah karya Puisi Sains ini akan dapat mencecah nilai tinggi kerana dapat setanding dengan nilai kesenian puisi yang sedia terdapat dalam kesusasteraan.

Lihat misalnya, contoh berikut sebagai bukti bahawa nilai, elemen dan unsur sains dapat diungkapkan dengan sebegitu menarik dan indah dalam puisi:

ketika langit bersih kembali menampakkan
bimasakti

(Goenawan Mohamad, 1971)

Ia memandangmu dari jauh: sebuah teleskop tua,
yang tak akan kelihatan, seseorang yang sedikit
sok-tahu tapi maklum,

           pejalan cahaya yang
sebenarnya takut menyentuhmu

(Goenawan Mohamad, 2009)

Demikian, sekurang-kurangnya, dapat dibuktikan bahawa pemikiran elemen atau unsur sains mampu diungkapkan secara menarik, bermutu dan bernilai, sekiranya penyair berkemampuan pada keterampilan dan keindahan terhadap kreativiti pengucapan Puisi Sains.

Namun begitu, contoh yang dikemukakan di atas, petikan daripada puisi Goenawan Mohamad (penyair Indonesia), bukanlah sebagai Puisi Sains. Pada puisi sepenuhnya, karya ini tidak bermatlamatkan Puisi Sains. Penyair ini menjuruskan pemikiran terhadap perkara di luar bidang sains. Sementelah, beliau tidak pernah mencipta puisi berasaskan sains, atau berminat pada Puisi Sains.

Sungguhpun demikian, berasaskan kehebatan wibawa kreativiti puisi di atas, penulis berani memberikan pretensi bahawa Goenawan akan tetap berkemampuan tinggi dalam kreativitinya, sekalipun jika menghasilkan Puisi Sains. Lebih-lebih lagi sekiranya beliau berminat pada Puisi Sains. Namun begitu, minatnya tentu tidak akan pernah terlintas pada jurus Puisi Sains ini.

Contoh di atas, dapat direlatifkan, bahawa keterampilan dan keindahan pengucapan adalah tidak mustahil mampu direalisasikan dan diwujudkan dalam kreativiti Puisi Sains.

Puisi Sains boleh turut berperanan secara dinamik bagi memperluas lagi kesedaran dan menghargai peranan serta signifikan bidang sains dalam kehidupan masyarakat. Sebagaimana puisi dalam kesusasteraan dapat berperanan penting pada juring nilai pemikiran, tendensi dan sebagainya terhadap masyarakat, begitu juga pada Puisi Sains secara khususnya.

Dengan demikian, wujud signifikan besar, kerelevanan dan kepentingan Puisi Sains kepada masyarakat dan negara, juga global.

Oleh itu, kemunculan istilah Puisi Sains dapat tampil dengan konsep mandirinya. Istilahnya itu boleh berdiri pada makna, pengertian, prinsip, wibawa, dan signifikannya yang tersendiri. Masyarakat boleh menerima kewajaran dan kepentingan Puisi Sains.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Puisi Sains dan Teknologi: Bagaimana Seharusnya? (Bhg. 2)

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) menerima Hadiah Utama Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.