30 Mei 2023, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri melihat bagaimana positifnya penggunaan media sosial bagi perkembangan dunia penulisan dan kesusasteraan semasa.

Dengan wujudnya medsos, sekarang ini, kita dapati aktiviti sastera dan perbukuan menjadi semakin rancak. Dengan pemasaran dan pendedahan di medsos, pembaca dan penulis luar kota menerima maklumat serentak/secara waktu nyata atau real-time, malah boleh ikut sama beraktiviti di kota-kota.

Kita membaca dan berpolemik tentang karya tidak berkualiti di media sosial atau medsos sejak zaman sebelum polemik “karya mi segera” pada kira-kira lapan tahun yang lalu. Mungkin ramai dalam kalangan kita masih ingat. Alam maya dan ranah sastera sekangkang kera kita riuh rendah beberapa minggu yang lalu disebabkan oleh sebuah esei di akhbar. Ada juga yang memberikan reaksi dengan menerbitkan buku berjudul “Sajak Mi Segera”.

Pada awal tahun 2010, terdapat lambakan kumpulan sastera yang didirikan oleh pengkarya alam maya dari negara serumpun. Kemudian, mereka didatangi oleh “penguasa sastera”, lalu menghukum karya mereka sebagai sampah. Lebih dahsyat daripada mi segera, langsung tak boleh dijamah!

“Penguasa sastera” ada dalam semua era dan dalam kebanyakan kes, mereka ini menjadi tidak relevan dalam perkembangan sastera yang semakin ketara ledakannya sekarang. Apakah sastera di Malaysia akan berkembang sebegini tanpa medsos? Tentu sekali berbeza, malah saya yakin perkembangan sastera akan kekal perlahan.

Sastera memerlukan partisipasi daripada golongan muda untuk terus berkembang. Bayangkan jikalau tiada sastera di medsos – sastera akan kekal di takuk lama dengan pembabitan orang-orang tua yang sama dalam lingkungan yang sama, dengan tindakan-tindakan status quo yang sama, semenjak tahun 1970-an sampailah ke era 2020-an ini.

Benarlah kata bijak pandai, “Melakukan hal yang sama setiap kali secara berulang kali dan mengharapkan hasil berbeza adalah sejenis ketidakwarasan.” Dengan wujudnya medsos, sekarang ini, kita dapati aktiviti sastera dan perbukuan menjadi semakin rancak. Dengan pemasaran dan pendedahan di medsos, pembaca dan penulis luar kota menerima maklumat serentak/secara waktu nyata atau real-time, malah boleh ikut sama beraktiviti di kota-kota.

Sastera medsos yang sering diasosiasikan dengan label-label sastera mi segera dan sastera sampah oleh “penguasa sastera” pun tidak benar sama sekali. Mereka ini seolah-olah tidak mahu memahami dan menerima kewujudan fasa belajar (learning curve) dengan cara yang canggih dan terkini, iaitu melalui medsos.

Dahulu, mungkin agak sukar untuk mendapatkan maklum balas “serentak” (real-time feedback) terhadap karya yang ditulis. Penulis terpaksa membawa tulisan kepada guru/pembimbing untuk dibincangkan. Hal ini sangat renyah dan memakan masa dan tenaga. Pada zaman ini, penulis hanya perlu muat naik karyanya ke medsos dan mereka akan mendapat maklum balas dengan cepat daripada banyak orang.

Di sini, medsos juga memainkan peranan sebagai landasan ilmu. Penulis belajar daripada maklum balas pembaca/pengkritik terhadap karyanya yang tersiar. Dalam fasa pembelajaran ini, tentu saja akan ada beberapa kelemahan daripada penulis. Hal ini sangat normal kerana tidak ada manusia yang terus berlari sewaktu dilahirkan. Mereka meniarap, mengesot, merangkak, berjalan, dan barulah berlari.

Sekarang sedang berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Kita dapat lihat bahawa sambutan tetap meriah walaupun pembaca sudah tidak mendapat baucar buku percuma seperti sebelum ini. Penerbit dan penulis giat mempromosi buku dan aktiviti mereka di medsos, dan dengan itu, pembaca sudah dimaklumkan dengan sejelasnya apa-apa yang bakal mereka temui di PBAKL.

Medsos bukan saja melancarkan dan memudahkan komunikasi antara penjual-pembeli, malah medsos juga menambahkan kunjungan ke ruang-ruang khas temu dan tegur (meet and greet), aktiviti baca puisi dan reruai penjualan buku.

Kekuatan medsos sebagai landasan pengkaryaan dan pembelajaran tidak dapat disangkal lagi jika kita membuka minda dan tidak keterlaluan berasa hebat (grandeur) melebihi orang lain. Sudah terbukti bahawa penulis di kota dan desa yang memulakan penulisan di medsos juga akhirnya berjaya menjadi penulis sebaris dengan penulis mapan, seperti dalam Hadiah Puisi T. Alias Taib baru-baru ini.

Medsos sebagai landasan penggalak pemasaran industri buku juga langsung tidak dapat disangkal, kerana hampir keseluruhan aktiviti pemasaran dilakukan di dinding-dinding medsos. Sumbangan dan kuasa medsos sebagai landasan penggalak sastera masa kini sudah tidak boleh diremehkan lagi, andainya kita berpijak di bumi nyata.

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.