Oleh Nasirin Abdillah
14 Februari 2023, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah meneliti kembali ucaptama Datuk Seri Dr. Awang Sariyan tentang pembangunan sastera untuk peradaban dan mengapa hal itu penting dalam pembinaan sastera negeri.

Untuk pertumbuhan dan penakatan peradaban, diperlukan keseimbangan kedua-duanya – kesusasteraan berbentuk karya kreatif dan kesusasteraan bukan karya kreatif, terutamanya karya ilmiah.

Seminar Kesusasteraan Kedah yang telah berlangsung selama dua hari, 10–11 Februari 2023, di Perpustakaan Awam Kedah, telah menampilkan beberapa sarjana yang masing-masing telah berkongsi pengetahuan baharu melalui kajian mereka. Antara yang menarik perhatian ialah ucaptama Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, dengan kertas kerja yang bertajuk “Sastera dalam Pembinaan dan Penakatan Peradaban”. Melalui tajuknya sahaja, kata ‘penakatan’ telah menarik minat saya untuk menekuni setiap butir bicara oleh salah seorang tokoh tersohor dalam bidang bahasa ini.

Erti istilah ‘penakatan’, meskipun penggunaannya biasa dalam bidang ekonomi dan sosiologi, rupa-rupanya kalimah ini pertama kali digunakan dalam perkaitan bahasa oleh Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr.) Haji Ismail Hussein, menerusi makalah bertajuk “Bahasa dan Persuratan Melayu di Malaysia: Pertembungan dan Penakatan (Survival)” dalam Dewan Bahasa, keluaran Mac 1983.

Dr. Awang Sariyan, menerusi ucaptama dalam Seminar Kesusasteraan Kedah, sekali lagi mengingatkan kita akan keperluan penakatan bahasa dan sastera Melayu. Beliau berkongsi maklumat bahawa wujudnya lebih 100 buah institusi serata dunia yang menawarkan program-program berkaitan bahasa dan sastera Melayu. Contohnya, negara China sahaja mempunyai 13 program ijazah berfokuskan persuratan Melayu. Sesungguhnya, bahasa dan sastera Melayu telah mendunia, namun apa dan bagaimana peranan kita untuk penakatan dan kelestariannya? Dr. Awang Sariyan menyarankan perlunya keseimbangan antara karya kreatif dengan bukan kreatif. Beliau berkata, “Untuk pertumbuhan dan penakatan peradaban, diperlukan keseimbangan kedua-duanya (kesusasteraan berbentuk karya kreatif dan kesusasteraan bukan karya kreatif, terutama karya ilmiah).” Apa yang menggusarkan adalah kurangnya keseimbangan antara kedua-duanya, justeru, penakatan yang diharapkan berterusan bungkam, tidak tergugah.

Isu semasa negara yang berkisar tentang masyarakat madani seharusnya dimulai dengan pemerkasaan bahasa Melayu. Pelbagai ranah peradaban seperti agama, budaya dan sastera perlu mengangkat bahasa Melayu pada puncaknya, terutamanya dalam penguasaan ilmu. Dr. Awang Sariyan menegaskan bahawa para pemimpin perlu menitikberatkan aspek peradaban dan warisan untuk memastikan penerusan tamadun bangsa. Seterusnya, beliau juga berkongsi maklumat tentang peranan Kedah dalam ketamadunan Melayu.

Menurutnya, menerusi penemuan ahli arkeologi, antara peradaban awal Alam Melayu ialah peradaban Sungai Batu di Lembah Bujang yang pernah mencatatkan kewujudan industri peleburan besi. Kedah yang berperanan sebagai sebuah “entrepot” ketika itu, mengeksport besi hingga ke Syam (Sekarang Syria, Jordan, Lubnan, dan Palestin), dan hal ini pernah disebut oleh para ilmuwan Arab seperti al-Khindi dan al-Biruni. Mereka merujuk Kedah sebagai Qalah, yang dikatakan telah wujud sebelum tamadun Yunani lagi. Maka, pengetahuan kita tentang beberapa fakta sejarah ini seharusnya diterjemahkan semula, bukan setakat dalam penulisan ilmiah, malah seharusnya tergerak dengan penghasilan karya-karya kreatif yang mengangkat ketamadunan Kedah tua. Hal ini seperti yang diutarakannya: “Dalam konteks negeri Kedah, kegemilangan sejarah peradaban Melayu yang berpangkalan di negeri ini patut dijadikan asas untuk peningkatan kesusasteraan, baik dalam bidang ilmu mahupun dalam bidang susastera.”

Selanjutnya, Dr. Awang Sariyan juga menyatakan beberapa cabaran dalam pembinaan dan penakatan peradaban menerusi bahasa dan persuratan dalam zaman baharu ini. Cabaran pertama ialah proses pengilmuan masyarakat yang melibatkan pemimpin dan rakyat masih belum berlaku sepenuhnya kerana masih terdapat kekurangan karya berbahasa Melayu yang merentas pelbagai disiplin ilmu. Malahan, ada ketikanya bahasa Melayu diragui kemampuannya untuk menyampaikan ilmu, justeru pengilmuan masyarakat menerusi bahasa ibunda ini masih lagi berada pada tahap yang kurang memberangsangkan.

Cabaran kedua ialah jumlah terbitan negara belum mencapai tanda aras seperti yang ditetapkan oleh UNESCO, iaitu 0.01 peratus daripada jumlah penduduk negara. Penduduk Malaysia yang jumlahnya sekitar 32 juta sekarang, sekiranya mengikut tanda aras UNESCO ini, kita seharusnya telah mengeluarkan sejumlah 320 ribu judul baharu setiap tahun. Perkara ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk rakyat menjadi masyarakat madani, bukan sahaja maju dari segi pembangunan fizikal, malah berilmu dan berintelek tinggi. Cabaran ketiga merangkumi kesusasteraan sebagai sumber daya ilmu yang masih belum sebati dengan masyarakat sepenuhnya, bukan sahaja dalam kalangan cendekiawan, bahkan pemuka negara dan institusi sehingga mengakibatkan kebejatan daya intelek dan rasional yang menjadi tunjang pada masyarakat berperadaban.

Cabaran terakhir yang diutarakan oleh beliau adalah berkaitan dengan karya susastera yang masih lagi dianggap “eksklusif” kepunyaan orang-orang bahasa dan sastera, tidak merentas seluruh kelompok masyarakat. Hal ini boleh membantutkan pembinaan dan penakatan peradaban kerana seperti kata beliau, “susastera berkait rapat dengan pembinaan adab dan ‘pemanusiaan’ manusia, tanpa mengira bidang.”

Seminar Kesusasteraan Kedah ini dianjurkan bersama-sama oleh Program Penulisan, Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Program ini merupakan satu penganjuran seminar kali pertama yang berfokuskan kesusasteraan sesebuah negeri.

Seminar selama dua hari ini telah menyaksikan sejumlah lapan makalah pembentangan yang dibahagikan kepada tiga tema: Kesusasteraan Kedah, Tokoh Sastera Kedah dan Sastera Rakyat Kedah, berserta dua ucaptama. Kita berharap seminar berfokus seumpama ini berterusan disemarakkan agar pengetahuan kita tentang kesusasteraan dan persuratan sesebuah negeri diperdalam apresiasinya, justeru meningkatkan perkembangan sastera tanah air yang seterusnya menyumbang dalam penakatan tamadun bangsa.

Kredit Foto: Chi Qing Ong/Unspalsh

_________________________

Nasirin Abdillah merupakan seorang Profesor Madya dalam bidang penulisan di Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana. Beliau memperoleh PhD dalam seni kreatif dari University of Wollongong (UOW), Australia. Beliau juga salah seorang Munsyi Dewan (Sastera) 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.