Oleh Suyuthi Yusuf
11 Februari 2023, 18:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Seminar Kesusasteraan Kedah yang julung-julung kalinya diadakan dengan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) telah bermula pada 10 Februari 2023 hingga 11 Februari 2023. Seminar yang berlangsung selama dua hari tersebut diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah.

Timbalan Presiden GAPENA (Gabungan Penulis Nasional), Dr. Saleeh Rahamad dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa warisan dan sejarah kesusasteraan Kedah harus didokumentasikan dalam apa-apa sahaja bentuk dan medium supaya warisan tersebut tidak akan tenggelam pada zaman akan datang. Ujarnya lagi,

Usaha seperti penganjuran seminar seumpama ini perlu dikekalkan tahun demi tahun. Hanya orang tempatan yang boleh melakukan sejarah penulisan, sejarah kepengarangan, dan penganjuran hadiah sastera.

Dr. Saleeh Rahamad sedang menyampaikan ucapan alu-aluan.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa negeri Kedah juga tidak kurang nilai sasteranya. Ramai penulis hebat berasal dari negeri itu seperti Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain, Zurinah Hassan, Osman Ayob dan penulis lain. Katanya lagi,

Pengarang Kedah adalah juga tonggak kesusasteraan tanah air. Ramai pengarang yang masih tidak dikenali perlu dipugar supaya mereka tidak akan tenggelam. Penonjoloan itu penting. Jika ia berlaku, maka Kedah akan menerima impak yang berterusan.

Selanjutnya, Prof. Madya Dr. Mohd Kasri Saidon yang merupakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden, Universiti Utara Malaysia (UUM), dalam ucapan ucaptamanya menjelaskan bahawa Kedah merupakan negeri yang mempunyai sejarah kesusasteraan yang panjang. Dalam syarahannya tersebut, beliau menjelaskan pensejarahan tersebut melalui beberapa kategori yang bermula pada zaman prakolonial, kolonial, dan prakemerdekaan.

Prof. Madya Dr. Mohd Kasri Saidon sedang menyampaikan penerangannya tentang pensejarahan kesusasteraan Kedah.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa dalam setiap tamadun manusia, cerita sudah muncul apabila manusia berada dalam sesebuah komuniti. Cerita itu pula digunakan untuk menghias kehidupan itu sendiri. Jelasnya lagi,

Ada elemen sejarah dalam karya sastera. Elemen sejarah tersebut disesuaikan dengan gaya sastera itu sendiri.

Seterusnya, beliau juga menyarankan agar sumbangan penulis warisan seperti Wan Yahya dan Pak Wan Sulaiman dibukukan dan dihebahkan supaya generasi akan datang kenal dan mengetahui peranan mereka dalam aspek kesusasteraan negeri Kedah. Baginya, Wan Yahya merupakan penulis travelog pertama yang menceritakan perjalanan kembaranya ke Mekah. Pak Wan Sulaiman pula banyak menulis tentang alam dan astronomi yang sebenarnya merupakan khazanah keilmuan yang berharga dan bermakna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.