Oleh Suyuthi Yusuf
13 Februari 2023, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – “Gerakan bahasa dan persuratan Melayu tidak boleh putus. Bahasa dan persuratan Melayu merupakan tonggak dan pentas peradaban bangsa”, jelas YBhg. Prof Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP menerusi ucapan ucaptamanya dalam Seminar Kesusasteraan Kedah yang berlangsung di Perpustakaan Negeri Kedah, Alor Setar pada 10 hingga 11 Februari lepas.

Dalam pembentangan ucaptamanya yang bertajuk “Kesusasteraan dalam Pembinaan dan Penakatan Peradaban”, beliau menyentuh peranan kesusasteraan dalam membangunkan dan membina sebuah tamadun yang unggul dan hebat. Ujarnya,

Sejarah pertumbuhan dan penakatan peradaban dunia sejak awal memperlihatkan perkembangan karya kreatif dan karya bukan kreatif.

Dengan pandangannya tersebut, beliau memberi contoh peradaban Yunani atau Greek yang memadukan penyuburan bidang falsafah, kosmologi, etika, undang-undang, politik dan karya kreatif.

Selanjutnya, beliau membawa para hadirin seminar melihat peranan dan konteks bahasa dan persuratan Melayu dalam peradaban alam Melayu. Jelasnya,

Alam kesusasteraan Melayu menjadi bukti kewujudan peradaban yang jelas tunjangnya, iaitu sistem kepercayaan, sistem pemerintahan dan ketatanegaraan, sistem undang-undang dan aspek lain peradaban seperti perubatan, persenjataan, dan diplomasi.

Kewujudan naskhah Melayu lama seperti Hikayat Raja Pasai, Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Patani, Hikayat Merong Mahawangsa dan Tuhfatunnafis merupakan bukti bahawa betapa persuratan Melayu memainkan peranan penting dalam aspek pemerintahan, pentadbiran serta meletakkkan alam Melayu dalam aspek historiografinya yang tersendiri.

Selainnya, karya undang-undang Melayu seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka, dan Undang-undang Kedah pula merakamkan bahawa bahasa dan persuratan Melayu berperanan dalam membentuk etika, moral dan kompas kehidupan masyarakat Melayu.

Seterusnya, beliau juga menyatakan cabaran bahasa dan persuratan Melayu dalam zaman sekarang. Beliau menyatakan bahawa perlunya kesepaduan antara kedua-dua bidang ilmu, iaitu ilmu sains tabii dan sains kemanusiaan serta sains kemasyarakatan.

Dalam hal tersebut, beliau menjelaskan bahawa perlunya beberapa pendekatan dan strategi yang berkesan dalam melangsungkan kerelevanan dan kepentingan bahasa dan persuratan Melayu. Antara pendekatan yang boleh diambil ialah kesusasteraan dimasukkan dalam pelan pembangunan negara yang holistik, terutamanya mewujudkan Dasar Kesusasteraan Negara dan peruntukan dana dalam belanjawan tahunan (khasnya bagi industri penerbitan).

Selainnya ialah semua sektor peradaban negara memasukkan kesusasteraan dalam semua program, rekayasa Program Penerbitan Berpakej serta mengangkat kajian intensif manuskrip Melayu lama dalam pelbagai bidang.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Dr. Ahmad Kamal, Ketua Pengajian Seni Liberal UiTM Cawangan Selangor, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, dan Dr. Salleh Rahamad, Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.