Oleh Osman Ayob
6 April 2023, 07:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Osman Ayob memperingati seorang penyair wanita Kedah yang sepatutnya diberikan perhatian oleh penyelidik dan peminat puisi, Zakiah Bahari.

Beliau pernah menggunakan nama pena Zaki A.H. dalam penulisannya. Dalam penulisan, namanya lebih menonjol dalam penghasilan puisi dan mendapat tempat dalam akhbar arus perdana ketika itu.

Apabila kita berbicara tentang penyair wanita negeri Kedah, selain Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan, nama Zakiah Bahari (Allahyarhamah) tidak boleh dikesampingkan. Hal ini kerana, Zakiah Bahari telah membina nama yang tersendiri sebagai penyair wanita yang gigih di samping sumbangan besarnya kepada kegiatan persuratan di negeri Kedah Darul Aman.

Zakiah Bahari mula membabitkan diri dalam Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah (3PSK) pimpinan Nazril Mohd Zain pada tahun 1973–1974 sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK). Beliau juga pernah menjadi AJK Persatuan Penulis Nasional Kedah (PENULIS) di bawah pimpinan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dari tahun 1974–1976 dan 1976–1977. Apabila PENULIS bertukar nama kepada Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) pada tahun 1978, Zakiah Bahari dipilih menjadi Pemeriksa Kira-kira bersama Hashim Ahmad. Pada tahun 1980–1981, Zakiah Bahari berada dalam AJK dan diberi tugas mengetuai Biro Wanita. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha 2 ASASI, dari tahun 1982–1985. Apabila Setiausaha 2 diambil alih oleh Shamsudin Tahir pada tahun 1985, Zakiah Bahari masih kekal dalam AJK ASASI sehingga tahun 1987. Bagi sesi AJK dari tahun 1988–1990, Zakiah Bahari diberi tugas menjaga Unit Ekonomi dan Pelancongan bersama Saad Taib dan Jamaludin Hashim.

Ketika ASASI dipimpin oleh Prof. Madya Mohd. Yusof Hasan, dari tahun 1990–1991, Zakiah Bahari kekal dalam AJK dan mengetuai Unit Ekonomi dan Pelancongan. Untuk sesi 1991–1992, 1992–1993, 1993–1995, 1997–1999, dan 2001-2003, beliau mengekalkan kedudukannya sebagai AJK.

Zakiah dilahirkan pada 15 Mac 1951 di Kampung Alor Setol, Langgar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung (darjah satu dan dua), Sekolah Kebangsaan Alor Merah (darjah dua hingga enam), Sekolah Menengah Sultanah Asma (tingkatan satu), Sekolah Menengah Sultanah Bahiyah (tingkatan satu hingga lima), dan Sekolah Menengah St. Michael (Persendirian) Alor Setar untuk peperiksaan STPM.

Beliau mula bekerja sebagai Pembantu Tadbir pada tahun 1978 di ibu pejabat Barisan Nasional Kedah yang Menteri Besarnya ketika itu ialah Dato’ Seri Syed Nahar bin Tun Syed Sheh Shahabudin. Sebagai petugas di pejabat UMNO, beliau pernah menjadi Jawatankuasa UMNO Cawangan, Pengerusi Biro Pendidikan dan Kebajikan Cawangan, Jawatankuasa Ahli Sukan Daerah-daerah Kota Setar, dan pernah menjadi Setiausaha Kerja Majlis Daerah Kota Setar selama lima tahun. Beliau bertugas dengan penuh dedikasi dan khidmat bakti beliau di ibu pejabat UMNO hanya berakhir pada tahun 2013.

Selepas bersara, beliau berkesempatan menjadi fasilitator sambilan di Lembaga Perancang Keluarga Negara (LPKN).

Beliau pernah mengikuti kursus pengadilan puisi untuk Sayembara Deklamasi Hari Kemerdekaan anjuran GAPENA dan diberi kesempatan mengendalikan tugas pengadil untuk beberapa tahun. Selain itu, atas pengalaman dalam bidang puisi, beliau diberi kepercayaan menjadi pengadil Deklamasi Puisi Peringkat Daerah Negeri Kedah, Pengadil Khas Puisi Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, juga Ketua Hakim Pengadil Puisi KEMAS Kedah.

Ketika berada dalam AJK ASASI, beliau terbabit dalam kegiatan GAPENA ke Medan, Sumatera, Pontianak, Kalimantan, dan Bangkok, Thailand. Di samping itu, dalam kegiatan peringkat kebangsaan, beliau acap kali mewakili ASASI ke Hari Sastera Nasional dan Hari Puisi Nasional yang dianjurkan oleh GAPENA pada awal tahun 1980-an hingga lewat tahun 2010.

Beliau menulis dalam genre puisi, cerpen, drama, dan rencana. Beliau pernah menggunakan nama pena Zaki A.H. dalam penulisannya. Dalam penulisan, namanya lebih menonjol dalam penghasilan puisi dan mendapat tempat dalam akhbar arus perdana ketika itu, seperti Utusan Zaman, Mingguan Malaysia, Mingguan Metro, Berita Minggu, Mingguan Timur, Warta Darul Aman, juga majalah Mastika, URTV, Sarina, Selekta Femina, Varia Sari, Kisah Cinta, Wanita, Perempuan, dan Dewan Sastera.

Puisi pertama beliau berjudul “Mendung di Balik Sinar”, tersiar dalam akhbar Berita Minggu pada tahun 1971. Sehingga akhir hayatnya, beliau telah menghasilkan lebih 200 buah puisi. Puisi-puisi beliau turut dimuatkan dalam antologi puisi bersama penulis lain. Antaranya termasuk antologi Qalha (terbitan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah); dua puisinya yang mendapat tempat ialah “Sungai Kedah” dan “Ombak Langkawi.” Dalam antologi Meniti Dekad (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka); empat buah puisi beliau terpilih, iaitu “Pagi Begitu Dingin,” “Masihkah Kauingat”, “Ingatan Tulus Ikhlas”, dan “Dapatlah Diterima Realiti.”

Zakiah Bahari dalam tulisan-tulisannya banyak sekali mengajar pembaca membina pengalaman mendewasa yang walaupun dalam satu himpunan kecil sejarah penulisan yang tidak prolifiknya, tetapi ia tetap menarik dan unik untuk kita selidik.

Satu-satunya kumpulan puisi perseorangan beliau ialah Perempuan dan Dirinya, diterbitkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK) pada tahun 2000. Kumpulan puisi ini mengandungi 130 buah puisi beliau yang dihasilkan dari tahun 1972 hingga 2005.

Dalam halaman Catatan yang dimuatkan dalam kumpulan sajak ini, Zakiah dengan jujur menegaskan, “Sesungguhnya penulisan puisi merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan saya. Melalui puisi-puisi, saya dapat melahirkan apa yang tersurat dan tersirat di dalam hati. Saya dengan puisi amatlah sukar untuk dipisahkan. Ia merupakan santapan rohani. Tanpa menulisnya jiwa ini tidak akan tenteram. Mesej yang hendak saya sampaikan dalam puisi bukanlah untuk diri saya sahaja tetapi luahan kepada masyarakat pembaca untuk direnungkan.”

Pengakuan di atas lahir daripada suara hati beliau yang sudah sebati dengan puisi sebagai wadah merakamkan sesuatu tentang persekitaran dan masyarakat di sekelilingnya.

Dalam kata pengantar “Membaca Sebuah Pengertian dan Wajah Diri Zakiah dalam Perempuan dan Dirinya” oleh Hasan Baseri Budiman, dinyatakan bahawa “Zakiah Bahari dalam tulisan-tulisannya banyak sekali mengajar pembaca membina pengalaman mendewasa yang walaupun dalam satu himpunan kecil sejarah penulisan yang tidak prolifiknya, tetapi ia tetap menarik dan unik untuk kita selidik.”

Hasan Baseri seterusnya menegaskan, “Jika kita mahu menyelami hati budi dan nurani Zakiah Bahari, maka kita harus membaca puisi-puisinya yang baru ini dihimpunkan untuk tatapan kita semua.”

Satu-satunya kumpulan puisi Zakiah Bahari, Perempuan dan Dirinya (MKNK, 2006).

Keseluruhannya, puisi-puisi yang dimuatkan dalam kumpulan ini, Zakiah memfokuskan kepada usaha kehidupan dengan liku-likunya, cita-cita dan harapan, pembangunan masyarakat, alam sekeliling, cinta, dan keagamaan.

Sebagai penyair yang peka dan prihatin dengan persekitaran, Zakiah tidak dapat melupakan “Melayu” sebagai etnik peribumi yang mempunyai jati diri di bumi sendiri. Hal ini ditekan dalam puisinya “Warisnya Anak Melayu”. Tegasnya dalam bait pertama puisinya:

Melayu terkenal dengan budi bahasa
bahasa yang halus seni dan teratur
dirinya beraja di hati dan bersultan di mata
itulah warisan anak bangsa
Melayu yang bermahkota.

Walaupun bahasa yang digunakan oleh Zakiah bahasa biasa, tetapi kelangsungan maksudnya dapat disampaikan dengan amat jitu. Keprihatinannya kepada jalur kehidupan masyarakat marhaen dapat dirasai melalui puisi “Lelaki Dengan Sampan Usang”:

Sampan berkolek begitu bebas
dayungnya mengibas dengan rakusnya
lelaki tua memerah tenaga percik peluh
air masin bertali arus
pukul memukul golek-menggolek
menghempas pulas
seperti dibuai mimpi
dalam ruang yang begitu sempit
terus menghimpit.

Dalam puisinya, Zakiah Bahari tidak ketinggalan merakamkan panorama bumi negerinya. Dalam puisi “Sungai Kedah” (Qalha, 1999) beliau menukilkan:

Di sebalik gerimis membasahi wajah
kutemui kegagahanmu
membelah malam dan siang
dalam aliran airmu
mengalir dari lembah berliku
mengejar ke kuala.

Sebagai seorang penyair, sensitiviti beliau begitu meluas, mencakupi persekitaran dan masyarakat setempat. Zakiah Bahari pernah diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini oleh Dewan Sastera keluaran Disember 2018. Beliau sesungguhnya telah mencipta nama yang tersendiri dalam kegiatan dan penghasilan karya sastera. Sumbangannya tidak boleh dilupakan dan wajar diketengahkan dalam apa-apa jua bentuk, termasuk kajian secara akademik bagi menghasilkan dokumentasi yang berwibawa tentang dirinya. Setakat yang saya tahu, belum ada pelajar/pengkaji yang berminat menjadikan karya beliau sebagai bahan kajian, baik untuk ijazah pertama, apalagi peringkat Sarjana Sastera dan Doktor Falsafah.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanannya, beliau dianugerahi Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1981, Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada tahun 1990 dan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM) pada tahun 1998. Selain itu, beliau menerima warkah penghargaan daripada ASASI sebagai Pengarang Puisi Negeri pada tahun 2008.

Penyair yang banyak jasa dan pengorbanannya kepada aktiviti dan kegiatan penulisan ini, selain ikut memberikan sumbangan besar kepada kegiatan kemasyarakatan dan politik telah pulang ke Rahmatullah pada 22 Julai 2020. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

_________________________

Osman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.