Oleh Ramlee Wahab
16 Januari 2023, 14:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramlee Wahab memasuki Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita Sasterawan Negara Zurinah Hassan.

Zurinah berjaya menggarap puisi yang dekat dengan minda dan jiwa pembacanya. Hal ini kerana beliau memilih tema yang biasa-biasa, seharian, bagaikan ‘kain basahan’, tetapi telah melalui sensitivitinya yang tajam dan kreativitinya yang tinggi.

Cerita dalam Cerita merupakan kumpulan puisi Sasterawan Negara Zurinah Hassan yang keenam. Sebagai penerima SEA Write Award, beliau dilihat amat prolifik dan konsisten menghasilkan karya, khususnya genre puisi. Puisi-puisi Zurinah Hassan sedemikian muluk dan disalut selaput seni tradisi yang amat pekat dengan aroma tradisionalnya yang semerbak mengharum. Kebanyakan puisi Zurinah digarap secara mudah dan dihidangkan tanpa perlu mencari kamus. Membaca sekali gus menghayati puisi-puisi beliau dengan mudah kita menyerap segala macam kejadian dan peristiwa yang berlaku dalam kehidupan harian masyarakat. Zurinah mengongsi pengalaman melalui ketajaman inderanya meneliti setiap titik peristiwa dan membancuh adun semula peristiwa tersebut dalam bentuk karya sastera puisi yang amat tinggi nilai seni estetiknya.

Estetika

Menurut A. Wahab Ali (Kritikan Estetik Sastera, 2000), estetika juga membicarakan struktur seni ataupun the structure of arts. Dalam pembicaraan seni daripada struktur ini, estetik turut mempersoalkan falsafah yang berkaitan dengan isi dan bentuk dalam sesebuah karya seni. Bersabit dengan seni, estetik mempersoalkan permasalahan yang membicarakan isi dan bentuk. Seni ialah suatu pengucapan dan pengucapan itu juga merupakan suatu kesatuan. Justeru, seni merupakan satu pengucapan yang perlu dilihat pada keseluruhan pengucapannya, seperti seni lukis ataupun puisi. Perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan dalam puisi mempunyai cara karangan yang istimewa dan khas, menggunakan bahasa yang indah-indah atau pengucapan biasa yang natural.

Walau bagaimanapun, nilai estetik tidak semestinya disuburkan oleh struktur rima akhir bait yang berirama, tetapi juga oleh gaya penyair mengendurkan ketegangan melalui persembahan bahasa yang lunak pada aras tanggapan. Tinggi atau rendahnya nilai estetik menyerap bersama pemikiran dan kandungan puisi. Tambahan pula, puisi sebagai pengucapan emosi dan rasa, makna dan kandungannya turut berperanan untuk memberikan nilai estetik pada karya. Seperti yang dinyatakan oleh Lutfi Abas dalam Kritikan Karya Sastera: Keindahan Ragam-ragam Bahasa (DBP, 1995) bahawa keluhuran karya sastera tidak hanya wujud dalam bentuk sahaja, tetapi juga dalam isi kandungan yang luhur. Dari satu segi, isi kandungan yang luhur tersembunyi dalam hati sasterawan atau pembaca, dan bentuk menyerlahkan keindahan isi kandungan yang luhur itu sehingga dapat dihayati oleh pembaca. Apabila bentuk diberikan kepada isi kandungan, kedua-duanya saling menampilkan keindahan antara yang satu dengan yang lain.

Zurinah berjaya menggarap puisi yang dekat dengan minda dan jiwa pembacanya. Hal ini kerana beliau memilih tema yang biasa-biasa, seharian, bagaikan “kain basahan”, tetapi telah melalui sensitivitinya yang tajam dan kreativitinya yang tinggi. Maka “cerita-cerita biasa”nya menjadi luar biasa.

Zurinah tidak perlu pergi jauh untuk mendapat ilham, melainkan merenung ke alam luar dan kembali ke dalam dirinya. Menurut Sunan Bonang, “Jangan terlalu jauh mencari keindahan/keindahan berada di dalam diri/malah alam semesta terbentang di dalam diri/agar dapat memandang dunia” (Abd. Hadi WM, 1995:130). Keindahan sesuatu karya yang terhasil ialah cerminan pada pengalaman estetik yang terkumpul dalam minda dan jiwa seseorang penulis ataupun penyair.

Bagi seorang penulis ataupun penyair yang cukup komited terhadap agamanya, sensitivitinya pastilah dilatih untuk memungut bahan yang bermanfaat sahaja untuk dikreatifkan dan dimanfaatkan sebagai hasil penulisan yang menjurus kepada karya berbudaya tinggi dan mempunyai nilai estetik yang mengagumkan, yang selanjutnya dapat pula membawa mesej keindahan, kebaikan dan kebenaran yang hakiki kepada khalayak pembaca. Seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Syu’ara, ayat 224–226, “Dan penyair-penyair itu diikuti oleh orang-orang jahat. Tidakkah engkau lihat bahawa mereka mengembara di setiap lembah dan tidak tahu tujuan? Dan sesungguhnya mereka menyatakan sesuatu yang mereka tidak perbuat.”

Bagitulah karya Zurinah. Amat kaya dengan keindahan dan nilai estetikanya yang tersendiri, malah berupaya menimbulkan rasa minat, membakar semangat dan membantu membentuk jati diri pembaca.

Gaya Bahasa dan Realiti Kehidupan

Tugas penyair seperti Zurinah adalah untuk mengungkapkan dengan serius realiti kedukaan jiwa dan kemelaratan hidup yang dihadapi oleh masyarakat.

Dalam gaya bahasa, Zurinah Hassan menggunakan frasa biasa dan amat teliti untuk tidak terjebak menyelitkan perkataan-perkataan klise yang bombastik dan menyukarkan pemahaman pembaca. Pendek kata, karya Zurinah mudah dikenali dengan gaya kepengarangannya. Kebanyakan puisi Zurinah mudah mengakrabi perasaan dan pemikiran pembaca kerana gaya penyampaian dan bahasanya mudah dan indah. Zurinah memanipulasi gaya dan penggunaan bahasa pada tahap paling tinggi dan unik untuk menyampaikan hasrat dan maksudnya.

Seni karya tidak dapat dikatakan “puisi” jika tidak ada dalam mesejnya unsur teguran, cadangan, unsur motivasi, pembaikpulihan, penambahbaikan, dan rangsangan yang membina. Tugas penyair seperti Zurinah adalah untuk mengungkapkan dengan serius realiti kedukaan jiwa dan kemelaratan hidup yang dihadapi oleh masyarakat. Hal ini kerana dirinya sendiri ialah sebahagian daripada masyarakat tersebut. Tugasnya adalah untuk merakam tentang kemiskinan dan kebejatan hidup, semangat dan perjuangan rakyat, merasakan denyut nadi manusia, dan timbul kesedaran baharu dalam pengamatannya.

Jika dipandang dari sudut sejarah kehidupan manusia, puisi dilahirkan untuk mengeluarkan idea yang disampaikan dalam bentuk yang halus dan tidak langsung. Melalui bacaan sejarah, terbukti, puisi lahir dalam masyarakat yang kehidupan anggotanya tidak tenang, berkonflik, kucar-kacir, huru-hara, dan sentiasa ditimpa musibah kekacauan dan kekejaman. Malah, kebanyakan puisi Melayu moden masa kini mengungkapkan unsur hipokrasi, korupsi, nepotisme, dan kronisme yang terlalu banyak mengaut rezeki golongan bawahan.

Puisi-puisi Zurinah juga dikesan mempunyai “pusat tumpuan” yang terkandung idea dan pengalaman yang menyerlahkan tema sesuatu karya. Perkara ini turut ditegaskan oleh Arbak Othman (2017) dengan menyatakan, “puisi yang mempunyai nilai puitis ialah puisi yang mempunyai pusat tumpuan, iaitu tempat cebisan idea dan imbasan terhimpun untuk memberikan tema pokok pada puisi yang dikaji. Istilah ini diterjemahkan daripada istilah asalnya dalam bahasa Inggeris, iaitu ‘central focalisation’. Pusat ini dikatakan berkuasa menimbulkan kesan yang kuat kepada pembaca, sama ada dari segi emosi atau akliahnya.”

Pemikiran dan Kebijaksanaan

Zurinah Hassan seperti penyair lain juga boleh dianggap sebagai silo pengeluar atau penghasil idea. Beliau menukang puisi-puisi mentahnya seperti seorang pengukir atau pemotong permata; mengukur, memotong, mengukir, dan mengilir berulang-ulang kali dengan penuh tekun dan sabar.

Zurinah turut berkongsi rahsia berkarya dalam Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi (Penerbit UKM, 2015). Beliau menyatakan, “sebelum menurunkan idea di atas kertas, seorang penulis perlulah jelas tentang apa yang mahu disampaikan. Sebuah sajak adalah satu gagasan yang hendak dikemukakan kepada orang ramai. Sebuah sajak adalah pemikiran dan pendapat penyair tentang sesuatu perkara atau isu. Tanpa idea yang jelas, seseorang tentu tidak dapat mencari jalan untuk menyampaikannya. Tanpa pemikiran atau mesej, ia akan hanya menjadi permainan kata-kata yang kosong.”

Pernah ada oknum jahil yang berkata bahawa puisi tidak memberikan cadangan, alternatif atau jalan keluar kepada sesuatu isu mahupun permasalahan. Jelas kini, kenyataan tersebut tersilap kerana puisi Zurinah berjaya mengisi ruang lompang tersebut. Hal yang cukup menarik ialah, puisi berupa cerita Zurinah ini ada permulaan, pertengahan dan kesimpulannya. Malah, kesimpulannya itulah yang paling wajar ditumpukan dan menarik untuk dipetik dan difikirkan. Jika kita mahu mengukur akal, maka berfikirlah melalui fikiran rasional. Arbak Othman menyatakan, “Yang dimaksudkan dengan ‘kebijaksanaan’ itu ialah kebaikan yang terkumpul di dalamnya falsafah pembelajaran yang mengimbasi ilmu pengetahuan dan nilai kesucian yang berkemahiran, serta mengandungi kebolehan yang berupaya melihat kualiti dan hubungan dalaman yang mendatangkan faedah dan kebaikan kepada kehidupan manusia secara terkongsi.” Maka, lambang kebijaksanaan kerap ditandai atau dibuktikan oleh pemahaman yang dalam terhadap keupayaan untuk menghasilkan tindakan yang adil dan penghakiman yang berguna dan logik dalam pembentukan sikap dan kelakuan yang baik kepada kehidupan manusia.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Keluhuran Bahasa dan Makna Cerita dalam Cerita (Bhg. 2)

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.