Oleh Ramlee Wahab
19 Januari 2023, 08:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramlee Wahab menyambung kupasan Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita Sasterawan Negara Zurinah Hassan.

Penyair mahu menyuarakan secara tersurat bahawa keturunannya, iaitu bangsa Melayu keturunan yang perkasa, mewarisi kreativiti seni membina rumah yang amat tinggi. Walau bagaimanapun, bangsa Melayu yang menjadi pemimpin dilihat lalai menguruskan keperluan perumahan bangsanya di kota raya dan bandar-bandar besar.

Beberapa buah puisi telah dipilih secara rawak daripada kumpulan puisi Cerita dalam Cerita. Setiap puisi yang dipetik dianggap mempunyai keistimewaan dari sudut gaya bahasa dan estetikanya. Menariknya, kebanyakan puisi Zurinah disampaikan secara naratif dan adakalanya secara deskriptif sambil menyelitkan unsur humor dan pelbagai bentuk kecindan yang mencuit perasaan. Sebagai membuka gelanggang, judul puisi pertama sahaja iaitu “Cerita Rumah Kami” akan dikupas secara rinci.

“Cerita Rumah Kami”

Sesuai dengan judulnya, puisi “Cerita Rumah Kami” bukanlah cerita biasa tetapi puisi yang berisi inti bergula dan cukup berbisa. Sejarah yang ditulis oleh kaum penjajah pada zaman kolonialisme ternyata memperlekeh dan mencemar maruah bangsa Melayu. Sedemikian pula asal keturunan manusia diterjemahkan dalam teori evolusi yang amat sesat lagi menyesatkan berkemungkinan menjadi realiti. Seasalnya penyair menyatakan, manusia Melayu yang turun dari atas pokok telah turun membuat pondok dan pewarisnya kemudian membina rumah yang lebih teguh dan indah di atas tanah. Di sini jelas, tamadun itu berkesinambungan dan berevolusi secara aktif dan progresif. Walau bagaimanapun, generasi anak dan cucu-cicit kembali mendaki rumah bertingkat-tingkat, apabila tanah terhad, maka harga rumah pun meningkat. Angkara siapakah ini kalau bukan pihak pemerintah yang perlu bijak mengatur dan membentur harga supaya anak bangsanya mampu membeli rumah. Tidak merempat di bumi sendiri. Ikuti petikan puisi berikut:

Mengikut buku sejarah
moyang kepada moyangku
duduk di atas pokok.
Moyangku yang lebih tahu
turun membuat pondok.
Memacak kayu
mengikat pelepah kering
menjadi bumbung dan dinding.

Tibalah waktu datukku
menyemat nipah
menyilang buluh
lalu terbina rumah
yang lebih teguh.

Sampai pada ayahku
sudah pandai memilih kayu
papan berketam tingkap berkisi
berselasar dan berperabung
berserambi dan beranjung.

Dan ketika aku dewasa
semua kediaman berbatu bata
dengan penyaman udara
banglo besar, deret atau berkembar
tetapi semestinya lebih selesa
dari generasi ke generasi
manusia mendaki ke taraf tinggi

kata Darwin dalam teori evolusi
sepatutnya begitu selepas aku
tetapi anakku
naik ke apartmen bertingkat-tingkat
cucu-cicitku bagaimana pula
bila harga rumah terus meningkat
dan tanah sudah terhad?

Maka kami pun berdoa
Ya Allah kurniakan kami
pemerintah yang berhemah
agar bangsaku tidak menjadi
bangsa tidak bermaruah.

Kita mendapati puisi “Cerita Rumah Kami” pada rangkap pertama jelas menyerlahkan keindahan bunyi dari segi pemilihan dan penyusunan kata-kata yang tepat. Tekanan nadanya berirama yang rima akhirnya berurutan (a, b, a, b), iaitu “moyang kepada moyang ku/duduk di atas pokok, moyangku yang lebih tahu/turun membuat pondok.” Begitu juga yang berlaku pada rangkap kedua, rimanya sama (a, a), iaitu “mengikat pelepah kering/menjadi bumbung dan dinding.” Seterusnya pada rangkap ketiga juga ketara rimanya berurutan (a, a, b, b), iaitu “Sampai pada ayahku/sudah pandai memilih kayu, berselasar dan berperabung, berserambi dan beranjung.”

Pada rangkap keempat, terdapat juga rima (a, a, a) iaitu, “Dan ketika aku dewasa/semua kediaman berbatu bata/dengan penyaman udara”, dan juga rima (b, b, b), “dari generasi ke generasi/manusia mendaki ke taraf tinggi/kata Darwin dalam teori evolusi”. Seterusnya rima (b, b), “sepatutnya begitu selepas aku/tetapi anakku” dan rima (a, b, a, a), “naik ke apartmen bertingkat-tingkat/cucu-cicitku bagaimana pula/bila harga rumah terus meningkat/dan tanah sudah terhad?

Rangkap kelima yang juga kesimpulannya, turut memaparkan keindahan rima akhir (a, b, a, b), “Ya Allah kurniakan kami/pemerintah yang berhemah, agar bangsaku tidak menjadi/bangsa tidak bermaruah.” Harapan penyair semoga akan hadir kelak seorang pemimpin yang bakal mentadbir negara dengan lebih prihatin, bijak dan bertanggungjawab untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat jelata.

Nilai-nilai estetik dan keunikan “papan berketam tingkap berkisi, berselasar dan berperabung” melambangkan kecantikan ukirannya yang setiap satu mempunyai makna-makna tertentu. Penyair mahu menyuarakan secara tersurat bahawa keturunannya, iaitu bangsa Melayu keturunan yang perkasa, mewarisi kreativiti seni membina rumah yang amat tinggi. Walau bagaimanapun, bangsa Melayu yang menjadi pemimpin dilihat lalai menguruskan keperluan perumahan bangsanya di kota raya dan bandar-bandar besar. Penguatkuasaannya juga terlalu longgar dalam usaha mengurus tadbir harga rumah yang sering melangkaui akal waras manusia normal. Akibatnya, ramai rakyat tidak berupaya memiliki rumah dan masih terus menyewa hingga penghujung nyawa. Harga rumah yang tinggi melambung dan tidak munasabah akibat para pemaju sewenang-wenangnya meletakkan harga demi mengaut keuntungan melampaui batasan. Sekali lagi hal ini membuktikan bahawa penguatkuasaan gagal memantau dengan berkesan. Ketidakmampuan rakyat membeli rumah di bandar dan kota raya bukanlah isu yang baharu, malah sudah berpuluh tahun tidak ditangani secara berkesan.

Perincian Binaan Puisi

Hal yang paling ketara ialah penggunaan diksi yang begitu mewah telah menjadikan puisi Zurinah begitu indah dan unik sifatnya.

Beberapa buah puisi Zurinah yang dianggap unik dan terbaik penciptaannya akan diberikan huraian yang lebih tuntas secara ringkas. Sememangnya, puisi-puisinya amat ketara kekemasannya jika diteliti dari segi bentuk fizikalnya. Menurut Sasterawan Negara Rahman Shaari dalam “Puisi Teruji Zaman” (Dewan Sastera, Bil.3/2017), istilah bentuk dalam konteks ini ialah “bentuk lihatan”, “meter”, “urutan kata”, dan “susunan pengucapan”. Sementara itu, Lutfi Abas dalam Kritikan Karya Sastera sebagai Karya Seni (DBP, 1995) menyatakan, “sesuatu karya seni, termasuk karya sastera yang dapat dihasilkan oleh seniman, diusahakan dengan seindah-indahnya agar pengamat mendapat kesenangan daripadanya.”

Keindahan karya seni terletak pada unsur-unsurnya (fizikal dan tema) yang sesamanya mempunyai:

  1. Kepelbagaian (diversity, plenitude) bentuk seperti pantun, terdapat pada unsur-unsurnya yang berupa kepelbagaian huruf-huruf bunyi.
  2. Keseimbangan (harmony, proportion, order) bentuk seperti pantun, terdapat pada unsur-unsurnya yang berupa keseimbangan huruf-huruf bunyinya.
  3. Kesatuan (unity, union) bentuk seperti pantun boleh dilihat pada beberapa hal, misalnya perkataan yang digunakan secara berulang-ulang dan menyatukan kesemua frasa.

Dalam beberapa puisi Zurinah pula, tidaklah sebegitu bebas atau boleh dianggap sebagai separa bebas. Masih ada biasan dan pengaruh puisi tradisi yang mengikat struktur pembentukan keseluruhan karyanya (seperti bentuk pantun atau syair). Teknik dan gaya Zurinah amat intim dengan teknik dan gaya pantun, tetapi tiada bahagian yang boleh dikaitkan dengan pembayang pantun. Umum telah mengetahui, keindahan yang terdapat pada pantun dan syair adalah disebabkan kedua-dua genre ini amat kaya dengan skema rima, irama dan alunan bunyi-bunyian. Sehubungan itu, hal yang paling ketara ialah penggunaan diksi yang begitu mewah telah menjadikan puisi Zurinah begitu indah dan unik sifatnya. Beliau begitu peka, kreatif dan tahu menempatkan diksi yang sesuai di merata sosok puisinya. Kata-kata yang digunakannya tidak taksa, sebaliknya tepat, jitu dan tidak mungkin boleh berubah sewenang-wenangnya, walaupun kata-kata pilihan itu boleh ditukar ganti dengan kata-kata lain yang sama maksudnya. Seandainya kata pilihan tersebut diubah, maka kekuatan dan roh puisi berkenaan akan berkurangan atau hilang sama sekali.

Keindahan bahasa dan kepuitisan pengucapan puisi Zurinah terletak pada makna yang disusun rapi dalam rangkap-rangkap yang kemas dan padat. Sebagai contoh pertama, petikan puisi “Sejarah dan Sajak” jelas memaparkan situasi pejuang dan perjuangan. Adat perjuangan, jika ada yang menang maka akan ada juga yang kalah. Ketajaman akal Zurinah berupaya melukiskan hukum sebab dan akibat yang bakal ditanggung oleh pihak yang menang dan kalah. Manakala hal yang mengindahkan puisi ini ialah hasil ketelitian Zurinah melakukan pemilihan kata-kata yang didasarkan pada kejelasan, ketepatan serta keutuhan maknanya.

Daripada petikan baris-baris dalam puisi ini, terkandung urutan kata yang kemas lalu menghasilkan bunyi yang merdu, iaitu “tamadun demi tamadun” dan “perang demi perang”. Kemudian dari segi meter pula, setiap baris mengandungi antara sembilan hingga 11 suku kata yang dianggap sesuai, memadai dan sempurna dalam struktur fizikalnya yang tersendiri. Selain itu, setiap baris terdiri daripada empat dan lima perkataan yang dibahagi dua oleh jeda atau caesura. Dari sudut susunan pengucapan pula, kelihatan ikatan yang kukuh antara semua baris atas hingga baris bawah.

Dari segi skema rima akhirnya ialah a, b, a, b, yang jelas membangunkan unsur muzikal dan menimbulkan rangsangan keindahan pada deria pendengaran. Dari sudut pengulangan bunyi, amat jelas pengulangan kata anafora pada awal baris dan juga tengah baris, iaitu perkataan ‘Yang’, ‘menjadi’ dan ‘akan’. Dari segi irama, amat jelas alunan yang timbul terhasil daripada pengulangan bunyi pendek pada baris satu dan baris dua, serta pengulangan bunyi panjang pada baris ketiga dan keempat. Dari sudut bunyi, terdapat kepelbagaian huruf bunyi yang digunakan pada setiap baris, iaitu ‘ng’: ‘ah’; ‘ng’: ‘ah’ dan ‘ah’: ‘ak’; ‘ah’: ‘ak’. Begitu juga terdapat keseimbangan huruf-huruf bunyi rima baris pertama dan kedua (seolah-olah pembayang), iaitu ‘ng’: ‘ah’ dan ‘ah’: ‘ak’; seimbang secara simetri dengan rima baris ketiga dan keempat (seolah-olah maksud), iaitu ‘ng’: ‘ah’ dan ‘ah’: ‘ak’. Wujud kesatuan yang ketara melalui perkataan ‘Yang’ yang diulang sebanyak empat kali, perkataan ‘menang’ yang diulang sebanyak dua kali, perkataan ‘kalah’ yang diulang sebanyak dua kali, perkataan ‘menjadi’ yang diulang dua kali, dan perkataan ‘akan’ yang diulang sebanyak dua kali telah menyatukan setiap baris. Bunyi-bunyi yang agak tebal dan kasar teksturnya pula ialah ‘menang’, ‘kalah’, ‘pemerintah’, ‘pendesak’, ‘sejarah’, dan ‘sajak’. Di samping itu, terkesan juga bunyi-bunyi yang tipis, seperti ‘menjadi’ dan ‘menulis’. Puisi bernada sinis ini disampaikan dalam bentuk balada ringkas.

Yang menang menjadi pemerintah       (a) 10 suku kata/asonansi (vokal e)
Yang kalah menjadi pendesak                (b) 9 suku kata/asonansi (vokal a)
Yang menang akan menulis sejarah     (a) 11 suku kata/asonansi (vokal e)
Yang kalah akan menulis sajak.             (b) 10 suku kata/asonansi (vokal a)

Kita beralih pula pada puisi “Ingin Jadi Sasterawan” yang berkisar tentang cita-cita, angan-angan dan harapan. Zurinah Hassan menjadi idola kepada anak-anak muda yang meminati karya tulisannya. Ada antara mereka yang ingin mengikuti jejak langkah menjadi penulis, iaitu seorang sasterawan. Pertanyaan yang kerap diajukan oleh anak-anak muda ini ialah “bagaimana mahu jadi pengarang besar?” Zurinah menjawab dengan mudah tetapi untuk memahaminya, bagi sesetengah mereka mungkin agak payah. Seperti biasa, Zurinah memilih dan mengatur kata-kata dengan teliti. Terkandung urutan kata yang kemas daripada petikan baris-baris yang menghasilkan bunyi yang lunak, iaitu “Bagaimana mahu” dan “Bagaimana aku”.

Dari segi meter, setiap baris mengandungi antara sembilan hingga 14 suku kata yang memang memadai, sesuai dan sempurna dalam struktur fizikalnya yang tersendiri. Jelas, setiap baris terdiri daripada dua dan enam perkataan yang dibahagi dua oleh jeda. Dari sudut susunan pengucapan pula, kelihatan ikatan yang kukuh antara baris atas dengan baris bawah pada rangkap pertama dan rangkap kedua.

Dari segi skema rima akhirnya ialah (a, b, c/a, b, c) yang jelas membangunkan unsur muzikal dan menimbulkan rangsangan keindahan pada deria pendengaran. Dari sudut pengulangan bunyi, amat jelas pengulangan kata anafora pada awal baris dan tengah, iaitu perkataan ‘kelak’, ‘segala’, ‘yang’, dan ‘walaupun’. Dari segi irama, amat jelas alunan yang timbul terhasil daripada pengulangan bunyi panjang di baris satu dan baris dua serta bunyi pendek di baris tiga di rangkap pertama dan rangkap kedua. Dari sudut bunyi, terdapat kepelbagaian huruf bunyi yang digunakan, iaitu ‘ak’: ‘is’ dan ‘an’: ‘an’ pada rangkap pertama dan kedua. Begitu juga terdapat keseimbangan huruf-huruf bunyi rima baris pertama dan ketiga, iaitu ‘ng’: ah yang seimbang secara simetri dengan rima baris kedua dan keempat, iaitu: ‘ah’: ‘ak’; ‘ah’: ‘ak’. Wujud kesatuan yang ketara melalui frasa rangkap pertama dan kedua, iaitu “kelak segala yang kau tulis, walaupun …” dan ‘akan …’ yang diulang sebanyak dua kali, menyatukan kedua-dua rangkap. Bunyi-bunyi yang agak tebal dan kasar teksturnya ialah ‘kelak’, ‘segala’ dan ‘besar’. Di samping itu, terkesan juga bunyi-bunyi yang tipis seperti ‘tulis’ dan ‘kecil’. Puisi ini berkeadaan terbalik dan wujud ironinya kerana menyentuh kata-kata “tulis … besar … diperkecil-kecilkan” dan “tulis … kecil … diperbesar-besarkan” yang dan disampaikan dalam bentuk balada yang ringkas.

pertama, janganlah kau menjadi orang kecil    (a) 14 suku kata/asonansi (vokal a)
kelak segala yang kau tulis, walaupun besar    (b) 14 suku kata/asonansi (vokal e)
akan diperkecil-kecilkan.                                        (c)  9 suku kata/asonansi (vokal a)

Yang penting jadilah orang besar                    (a) 10 suku kata/asonansi (vokal a)
kelak segala yang kau tulis, walaupun kecil  (b) 14 suku kata/asonansi (vokal e)
akan diperbesar-besarkan.                                 (c)  9 suku kata/asonansi (vokal a)

Kini kita perkatakan pula puisi “Pulau Mutiara” yang amat intim dengan kehidupan Zurinah Hassan. Pulau Pinang pernah menjadi tempat beriadahnya, malah tempat-tempat yang dinyatakan dalam puisi ini telah lama ditinggalkan dan menjadi sejarah masa lalu yang paling indah. Penyair bernostalgia sendirian di antara bangunan-bangunan baharu yang didirikan. Ternyata, pulau tersebut telah berubah wajah, dirobah oleh pembangunan yang pesat.

Sekali lagi Zurinah melakukan proses memilih dan menyaring kata yang didasarkan pada kejelasan, ketepatan serta keutuhan maknanya. Dalam puisi ini, terkandung urutan kata yang kemas dan menghasilkan bunyi yang merdu, iaitu “jika kuingat”, “jika kukenang”, “Ke Padang Kota”, dan “ke Batu Feringgi”. Hal yang menarik dengan puisi ini adalah dari sudut pengulangan bunyi. Amat jelas pengulangan kata akhir ‘Pulau Mutiara’ pada rangkap ketiga baris ketiga turut menjadi kata pertama ‘mutiara’ pada baris keempat, yang membawa konotasi sesuatu benda yang amat berharga telah pun beralih atau bertukar tangan kepada tuan baharu (orang).

Dari sudut teknik penyampaian pula, amat jelas terkesan teknik paralelisme pada awal baris dan juga tengah baris pada rangkap pertama, iaitu “jika kuingat jika kukenang” dan rangkap kedua, iaitu “Ke Padang Kota ke Batu Feringgi”. Dari segi irama, amat jelas alunan yang timbul terhasil daripada pengulangan bunyi panjang dan pendek pada setiap baris rangkap pertama, kedua dan ketiga. Dari sudut bunyi, terdapat kepelbagaian huruf bunyi pada baris-baris tertentu di beberapa rangkap, iaitu ‘ng’: ‘ng’; ‘ka’: ‘ka’ dan ‘ng’: ‘ng’; ‘ng’: ‘ng’. Begitu juga terdapat keseimbangan huruf-huruf bunyi rima baris kedua dan ketiga di rangkap pertama, iaitu ‘ka’: ‘ng’ dan ‘ta’: ‘ng’. Begitu juga keseimbangan secara simetri berlaku pada rima baris pertama dan kedua di rangkap kedua (seolah-olah pembayang), iaitu ‘ng’: ‘ng’ dan ‘ti’: ‘ng’ dengan rima baris ketiga dan keempat (seolah-olah maksud), iaitu ‘it: gi’ dan ‘lu: ng’. Perkara yang sama juga berulang, iaitu berlaku keseimbangan secara simetri: ada pembayang dan ada maksudnya pada rangkap ketiga. Dalam pada itu, wujud juga kesatuan yang ketara melalui penggunaan perkataan ‘Pinang’: ‘kenang’: ‘berlinang’; ‘Feringgi’: ‘pulang’: ‘tinggi’: ‘hilang’, sehampir menyamai rima pantun yang dengan sendirinya menyatukan rentak setiap baris.

Sepanjang jalan ke Pulau Pinang           (a) 10 suku kata/asonansi (vokal a)
jika kuingat jika kukenang                        (a) 10 suku kata/asonansi (vokal i)
air mata jatuh berlinang.                          (a)  9 suku kata/asonansi (vokal a)

Ke Padang Kota ke Batu Feringgi          (a) 11 suku kata/asonansi (vokal a)
rasa hati tak mahu pulang                       (b)  9 suku kata/asonansi (vokal a)
rumah sempit di tingkat tinggi                (a)  9 suku kata/asonansi (vokal i)
kampung dahulu sudah hilang                (b)  9 suku kata/asonansi (vokal u)

Di sana sini menjulang menara              (a) 11 suku kata/asonansi (vokal a)
di situ tempat para pedagang                  (b) 10 suku kata/asonansi (vokal a)
Sayu melihat Pulau Mutiara                     (a) 11 suku kata/asonansi (vokal u)
mutiara terkalung di leher orang.           (b) 12 suku kata/asonansi (vokal a)

Demikianlah Zurinah. Beliau berjaya menyelam ke dalam lautan jiwa manusia yang paling dalam.

Sebagai penutup, puisi berjudul “Tidur” dipilih untuk dibincangkan. Puisi ini digarap secara bersahaja; secara tersuratnya menggunakan perkataan-perkataan biasa, tetapi amanat yang tersirat amat menyentuh perasaan dan memagut akal pemikiran. Puisi jenis quintain ini dianggap sebagai puisi paling bagus dan terbaik antara puisi-puisi pilihan yang dibincangkan. Puisi ini dapat dikonkretisasi. Alasan paling utama ialah keunikan puisi ini terletak pada dua rangkap yang saling berkontradiksi mesejnya tetapi tetap berpusat atau terfokus pada satu situasi iaitu “tidur”; situasi imbas kembali tatkala “aku” melalui zaman muda menjadi watak antagonis, tetapi masa kini “aku” mengalami zaman tua lalu bertukar menjadi watak protagonis.

Sewaktu muda, “aku” digambarkan sebagai orang muda yang hidup bersahaja, tanpa cita-cita, tanpa semangat, tanpa perjuangan, dan tidak memikirkan kebaikan berusaha untuk mendapat kebaikan pada waktu akan datang/hari tua. Akan tetapi, berkemungkinan telah berlaku penyesalan pada hari tua apabila “aku” walaupun sudah dimamah usia, tetapi masih mempunyai kudrat, cita-cita dan tinggi harapan untuk kembali segar, kuat dan bersemangat muda, mahu melunaskan cita-cita yang terbengkalai. Atau, “aku” perlu menerima hakikat bahawa tidur kali ini menjadi tidur yang panjang dan mungkin “aku” tidak akan bangun-bangun lagi buat selama-lamanya.

Walaupun puisi ini tidak memberikan jawapan, tetapi tulisannya tidak bersifat ambiguiti. Sebaliknya, puisi ini menyampaikan amanat tersirat paling penting, iaitu kita dituntut untuk beringat menghargai usia muda dan memanfaatkan usia tua. Dengan lain perkataan, apa-apa yang disemai tatkala muda itulah yang dituai tatkala tua. Penyesalan pada penghujung usia tua tidak akan memberikan apa-apa faedah ataupun tidak mungkin mengubah apa-apa keadaan lagi. Sebab itu, orang tua telah berpesan, “beringat itu selamat membawa berkat, berfikir itu zikir mengelak fakir.” Usia tua ialah waktu kita membuat kesimpulan kepada suatu perjalanan hidup yang sebenarnya dipinjamkan kepada kita oleh Allah SWT.

Kebijaksanaan penulis adalah dengan menggunakan acuan gaya yang sama pada kedua-dua rangkap. Akan tetapi, adunan bahasa pada rangkap pertama dan kedua berlainan, malah rasa estetikanya juga agak berbeza. Puisi ini turut menggunakan perkataan-perkataan biasa tetapi melakukan manipulasi bahasa secara positif dan kreatif, sehingga mengangkat martabat puisi yang biasa kepada tahap yang luar biasa. Puisi yang bersifat prismatik ini sememangnya dapat dikonkretisasi oleh pembaca pada lapis-lapisnya yang tertentu. Dalam pada itu, terkesan juga unsur-unsur kecindan yang agak ketara, tetapi hanya kepada mereka yang berfikir melangkaui aras tinggi, malah akan merasainya melalui naluri seni. Cuba perhatikan petikan yang berikut:

(Rangkap pertama)
Semasa aku muda

“Huh…alangkah baiknya
Kalau aku boleh tidur semula.

(Rangkap kedua)
Sekarang aku sudah tua

“Alangkah baiknya
Kalau aku dapat bangun semula.”

Jelaslah, bahasa yang digunakan oleh Zurinah ialah bahasa terpilih atau tersaring. Muhammad Haji Salleh dalam Puitika Sastera Melayu (DBP, 2006) memberikan huraian selanjutnya, “kenyataan yang dimasukkan ke dalam sebuah cerita ialah kenyataan pilihan, dan tidak sedikit diwarnakan oleh pengarangnya, maka bahasa yang digunakan pula bukanlah bahasa harian yang mentah, tetapi dipilih, disaring dan diwarnakan … demikian pulalah bahasa dipadatkan dan diberikan intensiti yang lebih tinggi, sehingga kadang-kadang terasa agak luar daripada biasa.”

Demikianlah, apabila seorang penulis menguasai bidangnya dan patuh pada disiplin pengkaryaan seperti Zurinah, maka daripada tangannya akan lahirlah karya yang jitu estetika dan padu gaya bahasa dengan amanat yang berhikmah. Zurinah menulis dengan mendisiplinkan diri; jiwanya peka merdeka dan mindanya terbuka bersandarkan ilmu logika. Inderanya menjana rima dan irama yang lunak dan merdu, perasaan dan nalurinya berpandu dengan jajaran bahasa penuh kesenian yang halus dan murni.

Kesimpulannya, apabila membaca puisi Zurinah Hassan, kita seperti membaca sebuah fragmen cerita. Cerita yang asalnya datang dari alam nyata yang mungkin berupa cerita ataupun berita. Memang pun, judul kumpulan puisi ini pun Cerita dalam Cerita. Bait-bait puisi Zurinah seolah-olah menyentuh hati dan mengajak pembaca merenung sejenak ke dalam diri. Memetik kata-kata Zurinah sendiri, “Hal-hal ini merupakan kisah-kisah setiap hari. Namun ada cabaran dalam menulisnya. Hal-hal seharian ini sesuai ditulis dalam gaya bercerita dan bersahaja.” Hal yang jelas, setiap satu puisinya seperti seorang manusia yang mempunyai karakter dan takah kehidupannya yang tersendiri.

Sememangnya dunia puisi dipenuhi oleh keajaiban-keajaiban yang tersendiri. Puisi sebagai karya berseni mempunyai bahasa yang halus dan susunan yang indah, yang sewajarnya terkandung makna ilmu dan falsafah yang berfaedah. Puisi juga dengan jelas dapat memancarkan ketinggian pemikiran dan dapat menimbulkan implikasi yang amat berguna sebagai pembentukan mentaliti serta peribadi manusia dan masyarakatnya. Justeru, Muhammad Haji Salleh menyatakan, “pujangga yang baik selalu cuba menilai, merenung dan mencari jawapan untuk masalah masyarakatnya. Dia membandingkan pengalaman manusia dan masyarakat dengan nilai-nilai utama manusia dan membuat ulasan tentangnya.” Demikianlah Zurinah. Beliau berjaya menyelam ke dalam lautan jiwa manusia yang paling dalam. Beliau telah menemukan tiram yang memeram kilauan mutiara, lantas ditebarkan cahayanya demi membijaksanakan akal manusia.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Keluhuran Bahasa dan Makna Cerita dalam Cerita (Bhg. 1)

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Ramlee Wahab ialah ahli Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Pemeriksa Kira-kira Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang juga menulis puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.