1 Jun 2024, 23:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hakim Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya, Yang Arif Datuk Vazeer Alam Mydin Meera melancarkan buku Kumpulan Puisi Bunga Kata, karya YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang tadi.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) Malaysia merangkap penulis buku Kumpulan Puisi Bunga Kata YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang menggunakan nama penanya, Wanrazuhar memaklumkan bahawa beliau berbesar hati kerana karya perseorangan beliau yang ke-10 berjaya dilancarkan pada hari ini.

Presiden PEMUISI merangkap penulis buku Kumpulan Puisi Bunga Kata YBrs. Datuk Dr. Radzuan Ibrahim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Pelancaran Buku Kumpulan Puisi Bunga Kata di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada petang tadi.

“Besarlah harapan saya agar buku Kumpulan Puisi Bunga Kata ini dapat memberikan manfaat kepada pembacanya dan akan menjadi sebahagian daripada khazanah puisi kebangsaan yang akan ditinggalkan kepada generasi akan datang,

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya, Yang Arif Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam ucapan pelancaran buku Kumpulan Puisi Bunga Kata menyatakan bahawa beliau menyokong penuh penghasilan buku ini yang disifatkannya memiliki potensi terapinya yang tersendiri.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman Putrajaya, Yang Arif Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menyatakan bahawa beliau menghayati puisi apabila puisi itu dideklamasikan atau didendangkan.

Saya difahamkan yang menurut kajian, puisi berperanan sebagai terapi minda yang boleh menjadikan fikiran seseorang itu tenang dan membolehkan seseorang itu dapat membuat keputusan dengan baik. Banyak pemuisi dunia juga menghasilkan karya yang berkaitan dengan kesihatan mental dan kemurungan.

Selain itu, beliau menyatakan penghargaan dan memuji usaha Dewan Bahasa dan Pustaka yang menyokong penuh usaha penerbitan buku sastera tulisan penyair yang mempunyai kepelbagaian latar belakang.

Yang Arif Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menurunkan tandatangan sebagai simbolik pelancaran buku Kumpulan Puisi Bunga Kata.

Menurutnya, kelebihan ini akan menarik minat dan membuka peluang kepada penulis yang bukan dalam golongan sastera untuk menghasilkan karya kreatif seperti puisi, sekali gus memberikan sumbangan dalam khazanah kesusasteraan bangsa dan negara.

Timbalan Presiden PEMUISI, Profesor Madya Dr. Norhayati Abd. Rahman ketika memberikan ulasan tentang buku ini menyatakan bahawa buku ini mempunyai kepelbagaian tema dan persoalan yang tidak terpisah daripada isu semasa yang melingkungi diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Antara yang cukup ketara dalam kumpulan puisi ini termasuklah kritikan terhadap situasi politik semasa. Sememangnya sastera dan politik ada dua entiti yang saling berkait rapat yang terhasil daripada interaksi antara manusia dengan kehidupan.

Majlis tersebut yang diadakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa 2024 juga dimeriahkan dengan persembahan deklamasi dan nyanyian lagu puisi oleh ahli persatuan PEMUISI.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan: Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia, Kepten (B) Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob; barisan exco PEMUISI; ketua bahagian DBP; para karyawan; rakan media; dan tetamu undangan lain.

Kredit Foto: Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.