Oleh Karmila Azmi
20 Disember 2022, 06:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hanya tujuh orang daripada 24 peserta yang disaring dan mengikut bengkel Munsyi Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditauliahkan dalam Majlis Pentauliahan Munsyi Dewan semalam.

Timbalan Pengarah DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hassan berkata, pemilihan dibuat berdasarkan syarat-syarat yang ketat.

“Walaupun ramai yang memohon namun hanya 24 yang berjaya dalam saringan dan mengikuti bengkel.

“Namun daripada jumlah itu, hanya tujuh sahaja yang dipilih berdasarkan syarat-syarat ketat DBP.

“Sebab itu, seperti yang saya sebutkan dalam ucapan, mereka yang ditauliahkan sebagai Munsyi Sastera hari ini ialah mereka yang hebat,” katanya.

Tegas Johari, syarat ketat yang diguna pakai dalam pemilihan itu dibuat bagi menjaga kualiti dan prestij Munsyi Sastera, suatu inisiatif baharu DBP untuk membina kumpulan pakar rujuk sastera yang mampu membimbing pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum.

Katanya, pemilihan juga dibuat berdasarkan peratusan markah yang tinggi, pengetahuan dan pembabitan dalam sastera yang luas, selain penguasaan dalam pengucapan awam.

Dalam majlis pentauliahan petang semalam, tujuh orang Munsyi Dewan (Sastera) yang menerima pentauliahan ialah Puan Hafizah Iszahanid, Dr. Ariff Mohamad, Dr. Nasirin Abdillah, Encik Teo Wei Sing, Dr. Kaithiri Arumugam, Puan Azura Mohd. Halid, dan Encik Mohamad Faizal Jamil.

Tujuh Munsyi Dewan (Sastera) 2022 yang menerima tauliah berfoto bersama-sama para pengurusan tertinggi DBP.

Selain menjadi pakar rujuk, Munsyi Sastera juga akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan kursus genre kesusasteraan moden selain kesusasteraan tradisional, juga bertanggungjawab dalam usaha menulis makalah yang berkaitan dengan sastera untuk dibentangkan pada acara peringkat negeri, kebangsaan, malah antarabangsa.

Munsyi Sastera turut akan ditugaskan menjadi duta DBP dalam kesusasteraan, khususnya dalam usaha menyantuni perkembangan sastera dalam media massa dan media sosial, selain dapat menyampaikan ilmu, maklumat dan isu semasa dalam dunia sastera.

Majlis berkenaan yang disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang turut memberikan pentauliahan kepada Munsyi Bahasa bagi pengambilan tahun 2020, 2021 dan 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.