19 Disember 2022, 19:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis pentauliahan Munsyi Dewan (Bahasa) bagi tahun 2021 dan 2022 serta Munsyi Dewan (Sastera) 2022 telah diadakan di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), petang tadi.

Penerima Munsyi Dewan (Sastera) bagi tahun 2022 terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran profesional. Tujuh penerima tersebut ialah Hafizah Iszahanid (Penolong Pengarang Berita akhbar Berita Harian), Teo Wei Sing (Pegawai KDYTM Tengku Mahkota Pahang), Dr. Ariff Mohamad (Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris), Dr. Kaithiri a/p Arumugam (Guru), Dr. Nasirin Abdillah (Pensyarah Universiti Teknologi MARA), Mohamad Faizal Jamil (Penolong Perancang Bahasa DBP Cawangan Sarawak), dan Azura Mohd Halid (Perancang Bahasa DBP Wilayah Selatan).

Dalam majlis tersebut juga, sebanyak 26 orang Munsyi Dewan (Bahasa) menerima sijil pentauliahan. Daripada jumlah itu, sebanyak 24 orang Munsyi Dewan menerima pentauliahan sebagai Munsyi Dewan (Bahasa) untuk tahun 2021 dan dua bagi tahun 2022.

Peranan Munsyi Dewan adalah untuk merancang program kebahasaan, kesusasteraan dan tulisan Jawi pada peringkat sekolah, agensi, daerah serta negeri. Selain itu, Munsyi Dewan juga adalah sebagai individu yang mewakili DBP dalam pelbagai program serta berperanan dalam menjadi panel penilai dan penyunting buku atau manuskrip.

Sebelum ditauliahkan, peserta Program Pembinaan Munsyi Dewan perlu melalui beberapa tahap program. Antaranya ialah peserta diwajibkan mengikuti kursus asas pembinaan Munsyi Dewan, melalui ujian saringan lisan dan bertulis serta wajib mengikuti bengkel pembinaan Munsyi Dewan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan sedang memberikan ucapan perasmian.

Majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyentuh serba sedikit tentang peranan munsyi. Menurutnya,

Peranan munsyi dalam soal ini adalah sebagai duta bahasa atau duta sastera. Munsyi harus terjun ke tengah-tengah masyarakat. Hal ini bermakna munsyi harus memberikan komitmen sepenuhnya kepada bahasa Melayu dan sastera agar masyarakat dapat menghayati dan mengerti taraf bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa munsyi harus berperanan dalam usaha memupuk rasa cinta dan memberikan contoh teladan kepada orang awam terhadap penggunaan sistem bahasa Melayu yang tepat.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP dalam ucapan alu-aluannya juga turut menyentuh tentang kesesuaian gelaran “Munsyi Dewan” tersebut. Ujarnya,

YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP sedang memberikan ucapan alu-aluan.

Munsyi Dewan ini ialah penceramah bahasa Melayu yang dilantik dan diiktiraf khas oleh DBP. Tujuan utamanya adalah untuk melahirkan pakar rujuk bahasa Melayu untuk membantu DBP dalam mengembangkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beberapa orang penerima sijil pentauliahan Munsyi Dewan (Sastera) dalam majlis tersebut menyatakan komitmen mereka dalam usaha mengangkat bahasa Melayu dan kesusasteraan ke tahap yang lebih tinggi.

Dr. Nasirin Abdillah (Pensyarah Universiti Teknologi MARA).

Dr. Nasirin Abdillah (Pensyarah Universiti Teknologi MARA) sebagai salah seorang penerima sijil pentauliahan Munsyi Dewan merakamkan ucapan terima kasih kepada DBP kerana memberikan kepercayaan kepada beliau. Katanya,

Saya akan berusaha membawa sastera ke tahap yang lebih baik lagi pada masa akan datang. Selain itu, saya berharap agar kita dapat bersama-sama memasyarakatkan sastera, bukan sahaja dalam kalangan penggiat sastera, tetapi juga melibatkan keseluruhan masyarakat. Masyarakat perlu tahu tentang kepentingan sastera kerana sastera itu merupakan salah satu mercu ketinggian ketamadunan sesebuah bangsa.

Penerima sijil pentauliahan Munsyi Dewan yang lainnya, iaitu Hafizah Iszahanid (Penolong Pengarang Berita akhbar Berita Harian) turut merakamkan penghargaan kepada DBP kerana memilih beliau sebagai salah seorang daripada Munsyi Dewan. Menurutnya,

Hafizah Iszahanid (Penolong Pengarang Berita akhbar Berita Harian).

Saya akan menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Cabaran bagi saya sebagai Munsyi Dewan adalah berkenaan dengan konsep bimbingan. Di luar sana ada banyak kelas bimbingan, cuma yang membezakan ialah penarafan sebagai Munsyi Dewan di samping pengalaman peribadi.

Dr. Kaithiri a/p Arumugam, penerima lain sijil pentauliahan Munsyi Dewan yang juga merupakan seorang guru menyatakan komitmen beliau untuk mengembangkan sastera kanak-kanak. Jelasnya,

Dr. Kaithiri a/p Arumugam.

Berkembangnya sastera kanak-kanak akan menjadikan sastera secara umumnya juga turut berkembang. Kanak-kanak perlu tahu apa itu sastera. Saya lihat sastera kanak-kanak di negara luar lebih maju berbanding dengan Malaysia. Namun begitu, hal itu tidak membuatkan kita tidak mempunyai buku sastera kanak-kanak yang bagus. Kita juga ada buku yang berkualiti dan setaraf dengan negara luar. Cuma sekarang kita kena kembangkan lagi sastera kanak-kanak ini.

Selanjutnya, Azura Mohd Halid (Perancang Bahasa DBP Wilayah Selatan) juga berazam akan bersama-sama dengan munsyi yang lainnya dalam menggembleng tenaga supaya dapat memartabatkan bahasa kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi, merakyatkan sastera di bumi sendiri dan membawa kesusasteraan negara ke peringkat global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.