Oleh Nimoiz T.Y.
19 Ogos 2022, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Program Munsyi Dewan telah bermula sejak tahun 1995 untuk mewujudkan pakar rujuk bahasa dan sastera serta jawi dalam membantu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengembangkan bahasa Melayu dalam sektor awam dan swasta. Terdapat empat kategori Munsyi Dewan yang telah menerima pentauliahan DBP, iaitu Munsyi Dewan (Bahasa), Munsyi Dewan (Jawi), Munsyi Dewan (Sastera) dan Munsyi Muda Bahasa.

Penulis bersama-sama dengan Dr. Saleeh Rahamad.

Sehingga kini, Malaysia telah mempunyai lebih 40 orang Munsyi Dewan (Sastera). Anataranya ialah Marsli  N.O, Ahmad Shukri Abdullah, Muhammad Lutfi Ishak, Jasni Mat Lani, Ja’afar Hamdan, Mohd Ali Salim, Puzi Hadi, Nazri Hussein, Alias Ismail, Azmah Nordin, Rozninah Abd Azib, Nisah Haron dan Siti Jasmina Ibrahim.

Dalam usaha meramaikan lagi pakar rujuk yang menfokuskan kepada sastera, satu bengkel pembinaan Munsyi Dewan (Sastera) 2022 telah berlangsung dengan jayanya di Wisma DBP pada 9 hingga 11 Ogos 2022 yang lalu anjuran Akademi DBP.

Dr. Saleeh Rahamad sedang memberikan penerangan tentang kritikan dan teori sastera.

Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk melestari, memperkasa dan mendaulatkan persuratan Melayu khususnya dalam bidang kesusasteraan Melayu tradisional dan moden. Penganjuran bengkel ini juga adalah bertujuan untuk melahirkan kumpulan penceramah, pembimbing sastera dan pakar sastera bagi genre tradisional dan model untuk mengendalikan kursus. Antara objektif lain ialah membina pakar dalam penulisan kertas kerja atau kajian kesusasteraan untuk dibentangkan di dalam dan luar negara selain menjadikan Munsyi Dewan (Sastera) sebagai pakar rujuk dan tenaga pengajar berwibawa dan mempunyai komitmen tinggi. Perkara ini penting bagi membantu DBP dalam menjayakan program kesusasteraan Melayu tradisional dan moden pada semua lapisan peringkat pendidikan di Malaysia.

Menurut pihak penganjur, hanya 25 orang calon yang layak selepas melepasi saringan awal. Antara peserta terpilih yang hadir ialah Dr. Mohamad Nazreen Shahul Hamid, Juilis Mokujal, Azura Mohd. Halid, Kaithiri a/p Arumugam, Siti Aisyah Mat Saad, Muhammad Nur Saiful Ghazali dan Dr. Nasirin Abdillah. Turut hadir ialah Dr. Wan Hasmah Wan Teh, Dr. Fauzi Hassan, Dr. Nor Hasimah Ismail, Mohd Haniff Mohammad Yusoff, Mohamad Faizal Jamil, Mohd Fairuz Padoli dan Dr. Ariff Mohammad.

Dalam bengkel pembinaan Munsyi (Dewan) kali ini, calon Munsyi telah mendapat bimbingan daripada tujuh orang tokoh yang arif dalam bidang masing-masing. Pada hari pertama bengkel, peserta berpeluang mempelajari teknik penulisan kreatif prosa moden dalam genre cerpen bersama novelis Salina Ibrahim. Penulis juga berpeluang menimba ilmu dalam bidang penulisan kreatif prosa moden (cerpen) bersama Saifullizan Yahaya. Di akhir slot hari pertama, Dr. Mohamad Shaidan berkongsi pula perihal kesusasteraan Melayu tradisional iaitu prosa lisan.

Roslan Madun yang terkenal dengan lagu rakyat pula berkongsi slot bersama-sama peserta dengan tajuk ‘Pengenalan dan Penghayatan Puisi Tradisional’ sebelum disambung oleh Muhammad Lutfi Ishak berkenaan puisi moden. Pada sesi petang hari kedua, slot diisi oleh Dr. Saleeh Rahamad yang berkongsi ilmu berkenaan esei kritikan sastera dan teori sastera. Pada slot terakhir, calon Munsyi (Dewan) berpeluang mendengar perkongsian tentang penulisan drama bersama-sama A. Wahab Hamzah.

Pada hari terakhir bengkel, terdapat ujian saringan pemilihan bersama-sama tiga orang panel yang telah dilantik oleh DBP. Hanya peserta yang lulus ujian sahaja bakal ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Sastera).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.