Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenyair Abdul Hadi Yusoff membicarakan kumpulan puisi M. Nizam Rahman, Getam Guri Bunga Matahari (2021).
Fokus terhadap empat pengalaman hidup yang penting dalam Getam Guri Bunga Matahari memperjelas bahawa tanah, air, api, dan angin terakam rapi dalam kumpulan ini.
Kita masuk pula ke dalam bahasa dan pengucapan “Seni Silat”: “Tiupan serunai membuka gelanggang/ gendang ibu ditingkah/ gendang anak dipalu/ gong diselangi dengan bunyian serunai/ bersalaman pesilat dengan di keliling penjuru/ bersama penonton dan peminat/ sirih pinang dikunyah/ sambil melangkah masuk/ menghadap ke arah depan/ langkah sembah diatur dengan perlahan/ tapak bergerak beralunkan gerak/ jari jemari diangkat tanda isyarat/ kaki melangkah atas tanah bumi bertuah/ Nampak lembut tapi keras/ langkah penuh berseni/ regu menyambutt tikaman/ ditepis dielak/ teruskan gerakan/ makan di dalam gerak/ peluang terbuka terus mengunci/ atau digunting/ Yak yak terlepas lagi/ buah kilas depa kembali/ gendang ditikah/ dipalu rancak dan cepat/ regu lawan membuat tikaman/ tetak, belah/ tangan dibuka/ dada diumpan/ mata menjeling/ lutut ke bawah/ umpan dimakan terus/ kaki disilang/ maka jatuh regu rebah/ buah gugur di lantai/ bak ombak menghempas ke pantai/ itulah seni yang indah/ dalam permainan persilatan/ bangun terus tangan dibuka/ babar istilahnya/ disambut dengan bertemu/ menamatkan persembahan/ dengan bersalaman/ dengan regu manis pandangan/ tiupan serunai mengalun perlahan/ akhirnya lega/ semua pandangan/ senyuman puas jelas kelihatan/ walau penat/ nafas mengucap alunan.”
Jika kita tekuni laras bahasa yang dipaparkan di atas, jelas membuktikan kejujuran penyair menyatakan bahawa seni silat boleh mengeratkan sesama insan demi mempertahan maruah bangsa. Apatah lagi apabila pihak lawan atau musuh yang tiba-tiba menyerang kita sentiasa bersedia dalam setiap detik dan waktu. Justeru, perkataan ‘silat’ itu sendiri jika ditambah sepenuhnya akan membawa maksud ‘silaturrahim’.
Penulis ingin menyinggung diksi “bangun terus tangan dibuka/babar istilahnya”. ‘Babar’ di sini semacam sindiran dengan menyatakan kepada pihak lawan ‘babar’ atau bye-bye(!) dan akan disambut dengan bertemu semula. Hal ini memberikan satu gambaran bahawa dailek Kelantan untuk bye-bye (selamat tinggal). Dalam hal ini, jika kita ingin Melayukan dan menjuruskan kepada yang hebat itu kita kagumi manakala yang lemah itu kita santuni – penulis sarankankan lebih bermakna jika kita sebut ‘baik-baik’ untuk bye-bye.
Penulis sering mendengar orang berkata, “Sejuk dan panas mainan musim. Susah dan senang mainan hidup”. Justeru, setiap tahun kita di negeri Kelantan beriklim Khatulistiwa, musim monson tenggara, hujan turun dengan lebat dan bah boleh melanda. Penyair tidak membiarkan khalayak sastera terpisah dengan sejenis makanan pada musim bah, sejenis kuih tradisional putu halba. Kita dikisahkan dengan rapi cara kuih ini disajikan. Wajar penulis petik keseluruhan isi puisinya:
Musim Bah Putu Halba
Ubi kayu manisan kelapa
Adunan utama perisa
Sedap rasanya
Ah! Apa ada dalam kuih putih
Berselindung di sebalik bungkusan
Kain berwap panas
Kelihatan asap aromanya
Kuih tradisi musim bah
Putu halba diberi nama
Sehangat melekat dakapan kasih
Selera dirasai
Di tengah hujan yang renyai
Kadangkala lebat
Putu juga yang hebat.
Penyair bijak menyusun laras bahasa atau diksi: berselindung di sebalik “bungkusan/kain berwap panas”. Sila perhatikan bait kelima dan keenam – tahap kematangan menyusun diksi bukan hal yang boleh dipandang ringan. Kebolehan ini membuatkan hasil tulisan puisi yang menjadi berlapis makna dan dinamiknya, yang terletak pada “kain berwap panas”. Ketika kita dilanda musim hujan, kesejukan sudah menjadi lumrah dan untuk memberi kehangatan, sudah tentu kuih putu halba yang diadun dan dibungkus dengan kain yang diletakkan di atas wap air yang sedang mendidih boleh memberikan kesan haba kepada tubuh kita yang terdedah pada musim sejuk itu. Ada bau yang dijelaskan dengan sejujurnya.
Dalam “Budaya dan Bahasa” pula, penyair mengemukakan bahawa kita perlu mengangkat sebuah martabat: “Budaya pada bangsa /… umpama jiwa pada bangsa /… budaya pada sastera/… umpama akal pada budi/…. Budi pada nusa/… umpama bijaksana dengan hikmah/ karya pada seni/ umpama nilai yang sangat tinggi/ ilmu pada adab/ umpama tingkah dan laku/… di bahu kita sama-sama pikul/ di jari kita sama-sama memetik/ papan kekunci yang sebati/ keluhuran cinta nan abadi.”
Kita tidak boleh berlengah. Setelah memasuki segmen kedua Getam Guri Bunga Matahari, kita diperkenalkan dengan konsep siasah yang menginsafkan. Bahagian kedua buku meletakkan sajak “Tujuh Petala Bumi”: “Tanah menjadi dasar/ tunjang bumi/ berbatu, berpasir, berdebu/ kampung, desa, wilayah/ negeri, pekan dan bandar/ air – hujan, sungai dan tasik/ laut, paya menghadirkan diri/ telaga dan saliran/ minuman suci keperluan manusiawi dan haiwan/ air segalanya untuk hidup dan mati/ api – pembakar segalanya/ kecil jadi kawan/ besar jadi lawan/ kuning merah hitam/ asap terjadi/ makanan dihadamnya/ angin – membelai mesra/ mendayu dingin aliran/ udara dilepaskan/ tapi awas ribut/ taufan boleh memusnahkan segala/ penting dalam hidup ini/ tanyalah tanah, air, api dan angin/ Allah Maha Berkuasa.” Segmen kedua ini mencetuskan gagasannya yang berkaitan dengan alam semesta. Kemudian, “Hakisan Tebing Sungai”:
Namun hati penghuni di tebing sungai
Digarut cemas setiap hari
Panas mentari lebih perit
Membakar kulit
Angin meniup
Berselang ribut
Bila musim bertukar
Monsoon tiba
Air naik dan surut
Hati cemas
Jika sungai mengalir deras
maka habislah tebing
Hidup persis telur di hujung tanduk
Kelihatan belalai sedut pasir bekerja keras
Siang dan malam
Anggapan mereka banyak pasir banyakkah rezeki
Mungkinkah suatu hari nanti
Tebing sungai menjadi mangsa
Tanpa disedari
Alam juga menangis menunggu giliran
Entah bila
Akan koyak, rabak, rosak
Akibat menusia yang rakus
Bencana alam Allah sahaja yang tahu
Berdoalah kita kepada Yang Maha Esa.
Mungkinkah suatu hari nanti, “Tebing sungai menjadi mangsa/Tanpa disedari/Alam juga menangis menunggu giliran/Entah bila”. Penulis meletakkan ayatnya sebaris demi sebaris untuk membelunjurkannya agar kita dapat melihat dengan jelas sikap penyair meneroka akar umbi bangsanya. Jika kemusnahan alam ini tidak ditentang, setelah tiba waktunya, alam ini akan musnah. Selepas kita berdoa, sesuatu pengharapan hendaklah diistiqamahkan kepada Allah.
Fokus terhadap empat pengalaman hidup yang penting dalam Getam Guri Bunga Matahari memperjelas bahawa tanah, air, api, dan angin terakam rapi dalam kumpulan ini. Justeru, penyair menjelaskan makna bagi keempat-empat ciri ini dalam kehidupannya, menyerapinya ke dalam sikap ketika bersama dengan masyarakat.
Dengan meminjam istilah “nilai tambah keperibadian sastera” yang lazim digunakan oleh Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari terhadap M. Nizam Rahman, jelaslah, penyair ini berjaya mempromosikan Kelantan dalam konteks ekonomi di samping sosiobudayanya dalam kumpulan puisi terbaharunya ini.
Baca Bahagian Pertama Reaksi |
Kredit Gambar: Binaan Kecerdasan Buatan DALL-E
_________________________
Abdul Hadi Yusoff ialah Setiausaha Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Beliau penerima Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2022.