Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenyair Abdul Hadi Yusoff membicarakan kumpulan puisi M. Nizam Rahman, Getam Guri Bunga Matahari (2021).
Luahan aksara yang diolahkan oleh penyair memberikan ilham untuk menyatakan bahawa beliau seorang pesilat (pencak) yang menzahirkan nilai tambahan yang tersembunyi di sarafnya, lalu terluah di atas kertas.
M. Nizam Rahman, nama pena YB Mejar (B) Dato’ Hj. Md Anizam bin Ab Rahman telah menghasilkan kumpulan puisi Getam Guri Bunga Matahari (GEMA, 2021). Mata tinta Getam Guri Bunga Matahari memancarkan kejujuran penyair dengan wajah “Asal Watanku” memukimkan pengenalan dirinya menzahirkan adab dan budaya Melayu yang mempunyai jati diri serta ilmu kepahlawanan anak jati Kelantan.
Getam Guri Bunga Matahari dari segi tajuk kumpulan ini cukup menarik, namun tidak mudah untuk ditafsirkan. Dato’ Hj. Md Anizam tentulah mempunyai hasrat dan maksudnya yang tersendiri memilih dan menjudulkan kumpulan ini sedemikian. Tajuk ini diambil sempena salah sebuah puisi beliau yang sedia terdapat dalam kumpulan ini.
Menurut Sasterawan Negeri Kelantan Saudara Rosli K Matari, yang juga penerima SEA Write Award 2021, konteks memahami maksud Getam Guri Bunga Matahari dalam hal ini, baginya, M. Nizam menggabungkan dua perkataan, iaitu ‘getam’ dan ‘guri’ sebagai citra unsur ukiran daripada warisan dalam ketukangan Melayu, mankala “bunga matahari” sebagai perlambangan keindahan, keceriaan, keharmonian, dan keberanian dalam kehidupan.
Getam Guri Bunga Matahari ialah rakaman kenang-kenangan manis dan pahit yang menjadi renungan dan iktibar kepada kita, khususnya sebagai renungan masa depan negeri Kelantan dalam konteks nilai sastera dan budaya masyarakatnya. Dalam hal ini, penyair menyentuh pelbagai perkembangan politik, sosioekonomi dan sosiobudaya negeri Kelantan dalam konteks warisan perpaduan. Mesej inilah yang ingin dipersembahkan oleh penyair kepada khalayak, tanpa mengira bangsa dan etnik di negeri Getam Guri Bunga Matahari.
Berangan kumbang di hujung ranting
Bunga ditunggu kembang tak jadi
Kumbang menunggu penuh setia
Bukankah banyak bunga di taman
Mengapa ditunggu bunga setangkai
Kumbang juga pandai memilih
Harapkan wangi dan juga madu
Sudahku tahu resminya kumbang
Bunga sememangnya kembang tak lama
Satu hari kan layu juga
Kumbang tak puas bunga sekuntum
Kalau boleh hendak setaman
Kalau tak ada kumbang menyeri
Bunga kembang tiada gunanya
Kumbang menyelit antara bunga
Getam guri bunga matahari
Naluri kumbang penuh misteri.
Puisi di atas mengandungi 17 baris, mengingatkan kita pada jumlah solat wajib yang ada 17 rakaat. Justeru, halaman pertama sudah memberikan gambaran dengan “suara aksaranya”, yang kemudian diiringi dengan “Asal Watan Ku/Nama seindah sejarahnya/tatkala mula orang berkata/berhikayat pada suatu masa/kelathana/raktamurittika/chin tu/tanah merah/kilatan/tanah serendah sekebun bunga/tanah serambi mekah/tanah cik siti wan kembang/puteri saadong/benarlah ketaatan dan petani berpisah tiada/kain sarung, dan pelikat semutar,/setangan iseh,/tanjak ikat bekong,/selendang tutup kepala/tak lekang dek panas/tak luntur dek hujan.”
Demikian juga ada dua keunikan yang penulis kesan dalam puisi di atas. Pertama, jika dibaca dengan nada mantera, puisi ini boleh membangkitkan angin semangat. Justeru, diilustrasikan dengan lukisan seolah-oleh seorang pahlawan Melayu yang segak dan tenang, meski tanpa keris di tangan, sentiasa bersedia dan berwaspada jika ada musuh menyerang pahlawan ini dengan item-item seperti “kain sarung, dan pelikat semutar,/setangan iseh,/tanjak ikat bekong,/selendang tutup kepala”. Sesungguhnya, semutar boleh dijadikan sebagai senjata dan alat untuk mempertahankan diri sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diduga melanda.
Luahan aksara yang diolahkan oleh penyair memberikan ilham untuk menyatakan bahawa beliau seorang pesilat (pencak) yang menzahirkan nilai tambahan yang tersembunyi di sarafnya, lalu terluah di atas kertas, yang membawa ke pentas dan ke gelanggang seni persilatan. Penulis tegaskan bahawa sikap penyair dalam sedar bersifat Islami – berani tanpa mengendurkan semangat juangnya, demi menegakkan kebenaran serta mencegah kemungkaran.
Puisi Getam Guri Bunga Matahari berlandaskan warna, corak budaya dan sejarah, yang merangkumi 64 buah, yang dibahagikan kepada empat bahagian bertaut pelbagai kisah kehidupan dalam konteks empat pengalaman hidup yang penting:
Getam Guri Bunga Matahari ialah rakaman kenang-kenangan manis dan pahit yang menjadi renungan dan iktibar kepada kita, khususnya sebagai renungan masa depan negeri Kelantan dalam konteks nilai sastera dan budaya masyarakatnya.
Cuba kita cubit laras bahasa sajak “Cik Siti Wan Kembang”. Awal-awal lagi penyair sudah menjurus kepada titik pemikiran yang berfokos kepada tema yang matang. Sesungguhnya, bukan mudah untuk menggubah bunga bahasa dalam satu susunan sekiranya tidak menguasai cara menjalinkan ilmu bantu dengan bahasa. Dalam konteks puisi, seorang penyair yang arif tahu tentang hakikat mengekonomikan kata-katanya supaya hasilnya mengalir tanpa membazir ke setiap bucu yang dituju. Kita lihat puisi ini, yang walau serangkap, padat dan penuh makna:
Namamu telah terukir
dalam ingatan
sejarah warisan tak mungkin padam
cik siti wan kembang
umpama keramat membawa tuah
beratus tahun disebut rakyat Kelantan
terus ke nusantara
raja wanita berdaulat di singgah sana
cantik jeita penuh kilauan cahaya
bijaksana umpama bulan purnama
di bibir setiap rakyat jelata
disebut nama sampai bila-bila
Penyair sangat berbangga berada di negeri kelahirannya dengan luahan emosi melalui sajak “Negeri Kami”: “bermacam-macam aneka perkara/tetapi negeri kami tetap/tidak hilang daya/melepasi semua jendela/prasangka melebar/melihat semua ini/di sini/nyamannya hati.”
Cuba renungi frasa “melepasi semua jendela”. Frasa ini membawa makna bahawa kita berada di ruang maya – khidmat jalur lebar. M. Nizam Rahman mempromosikan negeri Kelantan melalui sistem jalur lebar (“melepasi semua jendela”), dengan menampilkan bahawa aplikasi jalur lebar di Kelantan memasyarakatkan aktiviti rakyat desa yang hidup harmoni melalui perasarana dunia digital.
Sebagai anak watan Melayu yang menghargai seni dan sastera Melayu, terutamanya pantun, penyair mengutarakan “Pantun Seloka Anak Kelantan”. “Pantun Seloka Anak Kelantan” mengisahkan rakyat Kelantan yang mewarisi perpaduan yang utuh. Di sini, puisi ini dapat memperlihatkan nurani penyair yang menyelami perasaan bangsa lain selain bangsanya sendiri. Dalam hal ini, penulis tegaskan, pantun-seloka ini harus dilihat dari aspek ekonomi:
Wau bulan cantik berlenggang
Menuju ke udara membelah awan
Sayang patik ke negeri Kelantan
Selera Kelantan Cik Siti Wan Kembang
Dalam konteks “Selera Kelantan Cik Siti Wan Kembang”, Kelantan diibaratkan sebagai sebuah kedai makan yang cukup menyelerakan, “air tangan” yang boleh membantu penikmatnya menjiwai siapa yang disebut sebagai “Cik Siti Wan Kembang”.
Keris, golok, pedang dan badik
Bengkong dipakai oleh pahlawan
Larik ukiran kayu yang menarik
Lombong emas di ulu Kelantan
Dalam hal ini, sejak sekian lama atau lebih tujuh keturuan sebelum merdeka, telah berlaku “Lombong emas di ulu Kelantan”. Perlombongan sudah bermula sejak dahulu.
Wayang kulit di istana Raja
Disembah oleh dalang berbisa
Orang cantik jelingan manja
Senyuman manis mudah mesra
Penulis mengikut falsafah perniagaan orang Cina, “Senyuman manis mudah mesra”. Jika kamu tidak boleh senyum, jangan buka kedai.
Pada rangkap seterusnya, penyair mulai menunjukkan seloka yang bukan sekadar penyedap bahasa, namun amanat penyair dalam konteks mencari jodoh. Justeru, jika dikaitkan dengan ekonomi, bukankah dengan mempromosikan perkahwinan juga boleh menambahkan pendapatan rakyat Kelantan setelah rombongan atau pelancong datang? Maka, berkunjunglah hingga ke Dabong.
Pucuk pauh delima batu
Anak ikan di tapak tangan
Sungguh jauh terima menantu
Negeri Kelantan dilupa jangan
Dalam hal ini, jelas penyair bersikap jujur dan bijasaksana menyusun laras bahasanya. Sila renungkan pula:
Sarong tangan merah menyala
Dipakai oleh seorang ratu
Pelancong senang bila bersua
Bersantai pula di Pengkalan Datu
Nah, ekonomi juga yang diutamakan oleh penyair. Menurut sejarahnya, Pengkalan Datu ialah tempat pangkalan dagangan yang mempunyai sejarah budayanya yang tersendiri. Setelah ekonomi kukuh, tidak akan menjadi halangan untuk membuat kebajikan. Penyair menyatakan:
Negeri Kelantan sudah tersohor
Dengan panggilan Serambi Mekah
Bulan Ramadan kita bersahur
Ringankan tangan mari bersedekah
Penyair begitu peka dan prihatin mempromosikan negerinya. Kadang-kadang, dengan sejarak baris, kata puisinya bernada marah dan beramaran sinis, meski beliau dengan penuh harapan agar kita tidak seperti watak yang ingin disentuhnya. Hal ini dapat diperlihatkan dalam “Kubang”:
Di sawah terdapat kubang
Ada yang seronok berkubang
Kerbau menyukainya
Ikan-ikan juga tempat bermain
Ibarat tasik yang indah
namun Kubang Rawa,
Kubang Tumang,
Kubang Golok,
menjadi sebutan
tetapi jangan pula kita berkubang
umpama tiada jati diri
jika asyik jadi bahan cakapannya
yang selalu berkubang
tanpa tujuan.
Sebelum kita menyelam puisi ini, penulis ingin sentuh sedikit tentang ayat berlapis makna dalam dailek Kelantan, iaitu kata ‘seronok’. ‘Seronok’ mempunyai lapis maknanya yang tersendiri. Jika disebut dengan dailek Kelantan, ‘sero’ (‘sssero’) “terasa”.
Dalam puisi ini, “Ada yang seronok berkubang”. Titik sentuh ‘seronok’ mengimbaukan kita sebagai rakyat Kelantan yang menjadi sebati dengan sebutan ini jika disebut dalam dailek Kelantan – ‘ssernok’. Maka: ada yang terasa berkubang! Penulis kagumi penyair tanpa sedar tidak mendiksikan laras bahasanya dengan murni dan mesra rakyat. Penegasan yang penulis ingin paparkan di sini ialah pengucapan yang tulus memancing pendegar untuk memahami apa yang hendak dibicarakan.
Baca Bahagian Kedua Reaksi |
Kredit Gambar: Binaan Kecerdasan Buatan DALL-E
_________________________
Abdul Hadi Yusoff ialah Setiausaha Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Beliau penerima Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2022.