Oleh Fairul Pujangga
21 Oktober 2022, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat membawa anjakan baharu dalam dunia teater. Fairul Pujangga tampilkan mengapa.

Teater Dikir bakal membuka satu lagi cabang persembahan teater tradisional yang boleh memanfaatkan lebih ramai aktivis teater dan dikir tanah air.

Malaysia perlu pantas menangkap peluang dalam seni dan pendidikan jika mahu akal budi bangsa Malaysia berkembang pesat dengan dinamika kreativiti. Teater Dikir yang baharu lahir di tengah-tengah nafas modenisasi yang mendesah sepantas kuda liar, harus dijinakbiakkan ke dalam rumah tamadun dengan pantas, cermat, terarah, dan jelas. Jangan biarkan kewujudan teater ini hilang atau meninggalkan tanda tanya yang tidak berpenghujung seperti dekon (deklamasi lakon) yang pernah diperkenalkan suatu masa dahulu yang sehingga kini, masih dibawa dengan keliru oleh kebanyakan pemain teater dan pemain puisi. Hal ini telah berlaku pada dekon kerana lambatnya kita mencermati kelahiran bentuk-bentuk baharu dalam teater. Justeru, sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), mahupun mana-mana institusi pengajian perlu segera tampil merekod, membuat justifikasi, mengiktiraf, dan akhirnya menjenamakan Teater Dikir dalam sukatan pelajaran peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi supaya menjadi sumber rujukan tekal, jelas dan berwibawa. Sumber primernya masih ada, maka pemain industri seni atau industri persuratan perlu membentangkan hasil dapatan menyeluruh terhadap kelahiran bentuk teater ini dengan merujuk terus kepada sumber primer untuk mendapatkan satu pemutus yang jelas tentang bentuk keseluruhan teater dikir ini.

Penulis berkata begini kerana berdasarkan persembahan yang telah ditonton, didapati ada aspek persembahannya yang boleh dimuktamadkan sebagai bentuk khusus dan ada beberapa elemen lain pula dilihat sebagai elemen tambahan yang diwujudkan untuk disesuaikan dengan plot cerita dan persembahan keseluruhannya. Sebagai contoh, elemen lagu Mengulit, lagu Titih Hala dan lagu Angin Dewa Muda pada adegan peleraian, bukanlah muktamad sebagai bentuk khusus persembahannya.

Untuk memastikan Teater Dikir mampu ditarafkan sebagai suatu bentuk teater baharu yang kental, maka pengkaji perlu segera hadir kepada sumber primernya untuk mendapatkan satu set kajian mendalam yang muktamad sebelum teater ini diperkenalkan kepada khalayak sebagai satu kandungan pembelajaran yang baharu di institusi pendidikan dalam negara ini. Perkara ini perlu dilakukan dengan pantas sebelum hilang dalam tanda tanya seperti yang pernah berlaku kepada dekon. Selain bakal membuka satu set peluang perjawatan baharu di institusi pengajian bagi memenuhi keperluan sukatan pelajaran teater ini, ia juga bakal membuka satu lagi cabang persembahan teater tradisional yang boleh memanfaatkan lebih ramai aktivis teater dan dikir tanah air.

Patriotisme dan Jihad Dalam Tragedi

Bermula daripada pemilihan dialog lagu yang padat isi, lontaran vokal, lakonan minimalis, serta aturan pengarahan yang jelas maknanya, menjadikan audiens dapat memahami keseluruhan cerita tanpa memisahkan penonton dengan nikmat alunan lagu-lagu dikir yang disaring secara selektif untuk disesuaikan dengan aksi, situasi dan adegan cerita.

Dari segi genre cerita pula, Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat merupakan satu genre tragedi yang meninggalkan impak kesedaran patriotisme dalam tunjang jihad fisabilillah. Sesuai dengan Tok Janggut yang secara harfiahnya merupakan satu tokoh pejuang yang berkembang dengan asas agama yang kuat, maka naskhah ini tidak meninggalkan elemen perjuangan Islam dalam bait-bait dialog perjuangan Tok Janggut. “Kalu jadi apo-apo, kita bertemu di syurgo” merupakan antara contoh dialog motivasi yang mahu menanamkan semangat perjuangan dengan tekad bahawa kematian dalam perjuangan terdapatnya janji syurga. Inilah iktikad yang lahir daripada kesedaran agama.

Watak Pencerita telah diperankan oleh Arif Sukmasari. Ibrahim Teleng pula diperankan oleh Issey Fazlisham. Arif Sukmasari dilihat betul-betul bertenaga dalam watak Pencerita apabila membawa lagu Dikir Hala dalam adegan penceritaannya tentang kejahatan British di negeri Kelantan dengan sangat berkesan. Dalam adegan itu, Arif Sukmasari dengan bengis marahnya melompat ke atas meja pegawai British sambil melantunkan lagu Mantera Hala, yang maksudnya ialah jampi serapah menghalau British dari Tanah Melayu telah menimbulkan kesan semangat keberanian ke dalam jiwa penonton.

Cerita bertempo pantas ini bergerak dengan pembukaan oleh watak Pencerita yang memulakan kisahnya dengan lagu Juara dan plotnya berkembang dengan isu kehadiran penjajah ke negeri Kelantan melalui lagu Tukang Karut yang diperankan oleh Issey Fazlisham, Asrulfaizal Kamarulzaman dan Jie Sinar Kencana. Adegan konflik dan dramatik mula muncul dengan unik sekali apabila Wan Mokhtar, selaku Pegawai British, manakala Afkar Sunan Detaga dan Mokhtar L. Senja pula yang tampil sebagai watak pengikut dan tali barut Inggeris, mempersembahkan adegan mereka melalui teknik Karut Pattani. Pemilihan karut ini agak sesuai untuk menampilkan perbualan dan sisi jahat penjajah British dan pengikutnya. Cerita terus berkembang hingga adegan Tok Janggut yang dilakonkan oleh Sabri Yunus mati dibunuh. Antara adegan kematian Tok Janggut, turut dipaparkan juga watak korus (awak-awak) yang kedudukannya di belakang kelir yang diperbuat daripada kain gous yang menonjol secara minima di belakang pentas. Awalnya, mereka berada di posisi itu sebagai awak-awak korus dikir. Kemudiannya, pada adegan klimaks, mereka berdikir sambil berdiri dengan menggayakan aksi gerak kreatif peperangan antara kumpulan di sebelah kanan dan kiri pentas.

Rentak, lagu dikir, lakonan dan cerita dijalinkan dalam suatu persembahan yang kompleks tetapi seiringan.

Pengarah telah menggunakan kesemua elemen yang ada dalam persembahan ini secara maksimum dan bermakna. Episod watak Ibu oleh Zamzuriah yang membayangkan imbas kembali Ibu mendidik Tok Janggut untuk menjadi manusia berguna melalui bait dan melodi Angin Dewa Muda berjaya merangsang metafizik penonton apabila nyanyian dan lakonannya meremangkan bulu roma audiens. Adegan klimaks Tok Janggut mati dibunuh oleh penjajah telah menimbulkan rasa duka dan empati penonton yang kemudiannya menjadi lebih melarat apabila lagu Wau Bulan diletakkan sebagai peleraian dalam persembahan itu. Lagu Wau Bulan yang menceritakan kesedihan masyarakat kita setelah kehilangan pejuang tanah air, iaitu Tok Janggut yang diperankan oleh Sabri Yunus sendiri menerbitkan rasa kehilangan yang mendalam ke dalam nubari penonton. Diiringi oleh gesekan rebab yang kedengaran seperti suara tangisan nyaring, tenaga sedih berjaya dilontarkan dengan dramatik oleh para pelakonnya melalui bait lagu Wau Bulan itu. Naskhah ini sebuah hidangan surealisme yang indah serta lengkap pengisiannya. Bermula daripada pemilihan dialog lagu yang padat isi, lontaran vokal, lakonan minimalis, serta aturan pengarahan yang jelas maknanya, menjadikan audiens dapat memahami keseluruhan cerita tanpa memisahkan penonton dengan nikmat alunan lagu-lagu dikir yang disaring secara selektif untuk disesuaikan dengan aksi, situasi dan adegan cerita.

Perkara yang mungkin boleh ditambah baik dari sudut pandang penonton ialah peletakan posisi kumpulan muzik di bahagian tengah pentas yang sedikit mengganggu ruang permainan lakon. Barangkali pengarah sengaja meletakkan pemuzik di tengah-tengahnya sebagai satu saranan untuk memisahkan antara latar orang kampung dengan latar pejabat British. Namun begitu, pelakon dilihat kurang berjaya menampakkan kawalan ruang dalam permainan mereka apabila dalam sesetengah keadaan, mereka seperti kurang selesa berada dalam pemetaan gerak (blocking) yang agak terhad itu. Pemisahan latar sebegitu perlulah difahami oleh penonton dalam usaha menjaga kawalan ruang lakon demi menimbulkan impak makna yang lebih jelas.

Aspek nyanyian dalam lakonan juga boleh ditambah baik. Tentu sekali cabaran terbesar bagi kebanyakan pelakon adalah untuk menghafal lirik-lirik lagu yang panjang dan dalam masa yang sama mencari gerak dan bahasa tubuh yang pelbagai dan sesuai, sehingga kebanyakan pelakon kelihatan agak terhad dalam menghidangkan bahasa tubuh pelbagai lapis makna. Sekiranya mereka mempunyai tempoh latihan yang lebih panjang, barangkali pelakon akan lebih faham dan mampu membuat eksplorasi terhadap permainan aksi dan reaksi, permainan ruang, bahasa tubuh, dan penentuan kedudukan serta tingkatan (level) pelakon. Kekurangan yang bersifat minima ini masih boleh diperbaharui dari semasa ke semasa.

Secara keseluruhannya, Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat atau boleh juga dijenamakan sebagai Teater Dikir telah menjadi satu tanda aras baharu dalam dunia seni persembahan. Kelahirannya membuka jalan kesenimanan merentas cabang yang akhirnya bakal memanfaatkan lebih banyak pemain seni dalam industri ini. Kelahiran Teater Dikir wajar dirai, diangkat dan dibawa keliling tanah air dan keliling dunia untuk menunjukkan kepada dunia – negara kita masih punya pemikir besar yang mampu menebas denai baharu dalam usaha mengangkat seni budaya bangsa ke aras yang lebih tinggi dalam arus masa yang meledak dengan pelbagai kemajuan serta isu global yang tak berpenghujung ini.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat Satu Kemunculan Teater Tradisional Baharu (Bhg. 1)

Kredit Foto: Gabungan Pendikir Lembah Klang

_________________________

Fairul Pujangga ialah seorang aktivis teater pengarah teater serta penulis. Beliau bertugas sebagai tenaga pengajar termasuk Ketua Bidang Seni Teater Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.