Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Selain menjadi cabang penting dalam seni sastera dan budaya, peranan teater juga tidak kurang pentingnya sebagai wadah membentuk masyarakat bertamadun, berakhlak tinggi dan berfikir.
Pengarah dan pelakon, YBrs. Sdr. Sabri Yunus berkata, teater merupakan seni yang berkesinambungan apabila perkembangannya terus kekal relevan dengan konteks zaman.
“Maknanya, teater mempunyai daya inovasi mengikut perubahan masa. Misalnya dari segi teknik, pementasan, atau mungkin cerita itu sendiri.
“Boleh dikatakan mungkin hal ini yang menjadi kekuatan seni teater terus berkesinambungan sehingga sekarang,” katanya sebagai ahli panel dalam program Borak Orang Timur (BOT) yang diadakan di Galeri Kotak Seni, di Kota Bharu, baru-baru ini.
Program yang membincangkan topik Nadi dan Nafas Teater di Negeri Kelantan itu dirasmikan oleh Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail dan dikendalikan oleh Pegawai Kebudayaan Universiti Malaysia Kelantan, YBrs. Puan Amiera Saila.
Selain Sabri, dua ahli panel lain yang turut terlibat termasuklah Presiden Pertubuhan Seni Rupa Jiwa, YBrs. Encik Jihan Meghaa Ismail dan Pegawai Kebudayaan, Penggiat Seni, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan, YBrs. Encik Nurmizanum Saari.
Menerusi bicara lanjutnya, Sabri berkata, pihak berkenaan wajar melestarikan teater demi mengukuhkan lagi identiti warisan seni bagi memastikan maruah dan nilai budaya kekal terjamin dalam negara ini.
“Kalau kita tengok perkembangan teater di luar sangat besar. Bahkan menjadi elemen penting sebagai sumber ekonomi.
“Mereka boleh pentaskan persembahan teater selama berpuluh tahun dengan pelakonnya bersilih ganti,” katanya.
Dalam perkembangan sama, secara peribadi, beliau menolak slogan peranan dan kepentingan teater sebagai mampu memanusiakan manusia yang dilabelkan oleh golongan tertentu dengan berkata, taraf itu sangat besar dan tinggi dari sudut maknanya.
Jelasnya, tiada subjek yang lebih tinggi yang mampu memanusiakan manusia melainkan agama, dan sama ada teater atau karya-karya lain cumalah alat bagi membantu mengajak seseorang berfikir dengan cara yang lebih matang.
“Seperti juga seni lain, teater mempunyai ciri atau unsur-unsur tersendiri yang diisi dalam konsepnya untuk mendorong masyarakat ke arah kesedaran selain mengenal hakikat citra kehidupan agar masyarakat yang ada lebih berakhlak, berbudaya dan bertamadun,” ujarnya.