Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangZahari Hamzah membicarakan pementasan tragedi Macbeth dalam acuan tradisi randai, menjadikan karya tragedi 400 tahun dari Tanah Inggeris ini bersuara dalam alunan suara Timur dengan komentari masa kini.
Pementasan Randai Macbeth oleh Dr. Norzizi Zulkifli merupakan sebuah adaptasi kreatif dan berani yang melangkaui batas geografi dan budaya, menggabungkan seni teater klasik Barat dengan tradisi Nusantara.
Pementasan Randai Macbeth ini terhasil daripada kerjasama antara Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA dengan Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM. Dipentaskan di Blackbox ASWARA dari 10 hingga 12 Oktober 2024, “teater” ini menarik perhatian ramai dan membuktikan kekuatan kolaborasi antara institusi seni dengan akademik dalam usaha memperkaya industri kreatif tempatan.
Pementasan Randai Macbeth oleh Dr. Norzizi Zulkifli merupakan sebuah adaptasi kreatif dan berani yang melangkaui batas geografi dan budaya, menggabungkan seni teater klasik Barat dengan tradisi Nusantara. Bukan sekadar olahan semula tragedi Macbeth karya William Shakespeare, pementasan ini berjaya memaknai semula persoalan kuasa, moral dan takdir dalam konteks moden dan tempatan. Di samping itu, Randai Macbeth memaparkan cara naratif teater dapat berfungsi sebagai ruang kritikan sosial, menjadikan seni pentas lebih relevan dengan isu semasa.
Beliau yang mengetuai pengajian seni persembahan di UiTM, bukanlah nama asing dalam dunia adaptasi interkultural. Sebelum ini, beliau berjaya mengolah A Midsummer Night’s Dream melalui Mak Yong Titis Sakti dan menghasilkan Throne of Thorns—adaptasi The Tempest—dengan elemen makyung sebagai sebahagian daripada penyelidikan PhD beliau di Australia.
Perpaduan Randai dan Shakespeare: Jalinan Berlapis Dua Tradisi
Penggabungan elemen randai dalam Macbeth menawarkan pengalaman estetika yang memukau, apabila gerak berirama dan kolaborasi dalam randai membentuk kontras dengan fokus individualistik karya Shakespeare. Dalam randai, kekuatan terletak pada komuniti dan keseimbangan, berlawanan dengan fokus karya asal Macbeth yang menekankan konflik dalaman dan kehancuran individu. Kontras antara dua budaya ini memberikan tafsiran baharu terhadap nilai kepemimpinan dan kuasa—Shakespeare memusatkan pada kejatuhan moral individu, manakala randai mengetengahkan pentingnya tanggungjawab kolektif.
Adaptasi Zizi bukan hanya menyegarkan karya klasik Barat, tetapi juga memperkenalkan identiti tempatan yang kuat melalui pemakaian tradisi Nusantara. Hal ini bukan sekadar usaha mengangkat seni tempatan, tetapi juga menghidupkan kembali elemen teater tradisional seperti randai agar lebih dekat dengan generasi kontemporari. Hal ini juga menjadikan Macbeth lebih inklusif dan serasi dengan nilai masyarakat moden, sambil mengekalkan roh karya asalnya.
Kuasa dan Takdir: Tafsiran Nusantara dan Barat

Salah satu fokus utama pementasan Randai Macbeth ialah pertembungan antara pilihan dengan takdir. Dalam dunia Nusantara, takdir sering dikaitkan dengan konsep qadak dan qadar, namun manusia masih bertanggungjawab atas pilihannya. Berbanding Macbeth, Shakespeare yang menekankan kuasa takdir melalui ramalan para ahli sihir, adaptasi ini memperlihatkan bahawa kehancuran Macbeth berpunca daripada keputusan moralnya, bukan semata-mata takdir. Watak ini dipaparkan sebagai individu yang memilih untuk mengkhianati demi kuasa, dan kejatuhannya adalah akibat tindakannya sendiri.
Pelakon Che Kem atau Kamarulzaman Taib mempersembahkan watak Macbeth dengan penuh ketelitian, memanfaatkan bahasa tubuh dan dialog sebagai medium untuk mengekspresikan keraguan dan rasa bersalah. Usaha ini melibatkan elemen teknik lakonan yang dikuasai oleh Che Kam, apabila gerakan tubuh menjadi cerminan pada konflik dalaman watak. Koreografi yang dihasilkan oleh Yusmar Afendi pula memperkaya pementasan ini dengan gerak-geri halus yang mengimbangi antara naratif dengan estetika randai.
Perspektif Wanita dan Kuasa dalam Dimensi Baharu
Adaptasi ini bukan sahaja mencabar stereotaip tradisional wanita sebagai pasif atau penjaga moral, tetapi juga menekankan bahawa wanita, seperti lelaki, memiliki potensi untuk mengejar kuasa.
Adaptasi ini turut menampilkan tafsiran baharu terhadap watak Lady Macbeth, menggambarkannya sebagai susuk wanita berkuasa dan penuh ambisi, selari dengan sifat watak dalam karya asal Shakespeare. Namun begitu, melalui konteks budaya Nusantara, Lady Macbeth dalam pementasan ini melangkaui stereotaip gender tradisional dan muncul sebagai lambang cita-cita serta ketamakan yang juga wujud dalam diri wanita.
Juhara Ayob membawa watak Lady Macbeth dengan kekuatan ekspresi, memperlihatkan bagaimana seorang wanita boleh terjerumus dalam manipulasi dan kezaliman demi mencapai kedudukan tinggi. Adaptasi ini bukan sahaja mencabar stereotaip tradisional wanita sebagai pasif atau penjaga moral, tetapi juga menekankan bahawa wanita, seperti lelaki, memiliki potensi untuk mengejar kuasa—namun dengan risiko yang sama terhadap integriti dan moral. Melalui watak ini, adaptasi Randai Macbeth turut menekankan kepentingan tanggungjawab dalam kepemimpinan, menjadikan kuasa bukan sekadar peluang peribadi tetapi amanah untuk masyarakat.

Kepemimpinan sebagai Amanah, Bukan Kuasa Mutlak
Pementasan ini turut mengangkat konsep kepemimpinan dari perspektif Nusantara, apabila kuasa tidak dilihat sebagai hak mutlak individu, tetapi amanah yang perlu diimbangi dengan tanggungjawab moral. Dalam karya asal Shakespeare, Macbeth menggunakan pengkhianatan untuk mencapai cita-cita peribadinya. Namun begitu, adaptasi Norzizi mengkritik bentuk kepimpinan ini, seiring dengan kritikan terhadap politik kontemporari yang sering mengabaikan nilai moral dan spiritual dalam mengejar kuasa.

Pesan pementasan ini jelas—kuasa harus digunakan dengan tanggungjawab dan berlandaskan moral. Pemimpin yang mengabaikan amanah akan akhirnya terperangkap dalam kehancuran, seperti yang digambarkan dalam kejatuhan Macbeth. Adaptasi ini bukan hanya relevan dengan politik semasa, tetapi juga berfungsi sebagai peringatan bahawa kesejahteraan masyarakat bergantung pada integriti dan kepemimpinan yang beretika.
Randai Macbeth sebagai Medium Refleksi Sosial
Lebih daripada sekadar hiburan, Randai Macbeth berjaya menjadi cermin
kepada masyarakat. Naratif tentang keinginan yang melampaui batas dan pengkhianatan amanah menggambarkan situasi politik masa kini, apabila korupsi dan penyalahgunaan kuasa kerap berlaku. Zizi Zulkifli dengan bijak menggunakan karya ini sebagai ruang untuk mengkritik kekacauan sosial dan politik dalam konteks tempatan.
Pementasan ini bukan sekadar percubaan estetika, tetapi satu usaha mendalam ketika meneroka jalinan budaya. Gabungan nilai Barat dan Nusantara membuka ruang dialog tentang takdir, kuasa dan kepemimpinan, menjadikan pementasan ini lebih daripada sekadar adaptasi kreatif. Gandingan ini mengingatkan kita bahawa teater mempunyai fungsi penting dalam masyarakat—sebagai alat kritikan, pendidikan, sekali gus refleksi sosial.
Melalui Randai Macbeth, Zizi membuktikan bahawa karya klasik boleh disuntik dengan identiti tempatan dan diolah semula untuk menangani isu kontemporari. Gabungan randai dan Macbeth bukan sahaja memperkaya seni tradisional tetapi juga menyampaikan mesej mendalam tentang tanggungjawab moral dan kepimpinan yang beramanah—dua nilai utama yang menjadi asas pada masa depan masyarakat yang lebih adil dan beretika.
_________________________
Zahari Hamzah telah mempamerkan kreativiti dalam pengarahan dan penulisan skrip melalui pelbagai produksi yang menggabungkan kisah kesusasteraan tradisional dengan bentuk teater moden. Antara karya beliau termasuk Muzikal Pak Pandir, Muzikal Demang Lebar Daun dan dramatari Awang Sulung Merah Muda, yang pernah dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas.