Diterbitkan pada 19 Oktober 2025, 07:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dekad Bahasa Kebangsaan 2025 disambut meriah dengan pelbagai pengisian berteraskan seni dan budaya tanah air berlangsung di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), baru-baru ini.

Atur cara yang bermula sejak pukul 9.00 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang itu turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu puisi, bacaan puisi dan pentas puisi yang memanifestasikan keindahan bahasa Melayu.

Setiap persembahan yang disampaikan dengan penuh penghayatan oleh penggiat seni tanah air itu berjaya menghidupkan suasana, selain memukau para hadirin atau penonton yang memenuhi dewan tersebut.

Para pelajar ASWARA memberikan persembahan seni yang cukup memukau para penonton.

Malah, pentas persembahan bertambah meriah apabila tokoh-tokoh sastera terkenal, termasuk Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan YBhg. Dato’ Rahman Shaari tampil mempersembahkan bacaan puisi masing-masing dengan nada yang tersendiri.

Anwar mendeklamasikan dua buah puisi yang berjudul “Teruskan Kembaramu Bahasaku” dan “Aku Jadi Teringat Konfusius.”

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari beraksi dengan puisinya.

Rahman yang digelar sebagai Hafiz Puisi oleh pencinta puisi tanah air pula mendeklamasikan puisi berjudul “Bahasa” dan “Sejahtera Bahasaku”.

Persembahan pentas puisi menampilkan penyair Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Datuk Dr. Lim Swee Tin, Puan Fazleena Hishamuddin, dan pelajar Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA.

Program Dekad Bahasa Kebangsaan 2025 dengan tema Sayangi Bahasa Sayangi Negara dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Seni, Pelancongan dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.

YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot

Hadir sama, Rektur ASWARA, YBrs. Prof. Dr. Tan Awang Besar, Timbalan Rektur Hal Ehwal Akademi ASWARA, YBrs. Prof. Ts. Dr. Khairul Azril Ismail dan Timbalan Rektur Hal Ehwal Pelajar ASWARA, YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Zulkifli Ab Rashid.

Terdahulu, Tan Awang Besar dalam ucapannya berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan bagi mendokong aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan dalam usaha pembinaan tamadun dan negara.

Katanya, selain itu, majlis itu sebagai pelengkap aspirasi kerajaan Malaysia MADANI yang menumpukan pada pembinaan masyarakat beradab, berilmu dan bersatu padu melalui bahasa, budaya dan nilai-nilai murni.

“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga teras kepada pembangunan tamadun dan nilai madani dalam konteks negara Malaysia,” katanya.

Dekad Bahasa Kebangsaan dilaksanakan sejak tahun 2021 sebagai gerakan untuk menyedarkan masyarakat akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selaras dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Sebelum itu, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka melancarkan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) yang dilaksanakan selama tiga tahun bermula tahun 2018 hingga 2020.

GDBK dilaksanakan bagi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan utama, bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di rantau Asian dan persada dunia.

Untuk rekod, kempen kesedaran ini telah bermula seawal tahun 1960-an dengan Minggu Bahasa kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan, sebelum melalui beberapa perubahan nama seperti Gerakan Cintai Bahasa Kita (1987 – 1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (1996 – 2005), Minggu Sastera (1987 – 1998), Bulan Bahasa dan Sastera Negara (1999 – 2009), dan Bulan Bahasa Kebangsaan (2010 – 2017).

Para khalayak yang memenuhi Panggung Eksmerimen ASWARA pada kemuncak program Dekad Bahasa Kebangsaan 2005.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi