Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTeater Tok Janggut dalam Dikir Barat membawa anjakan baharu dalam dunia teater. Fairul Pujangga tampilkan mengapa.
Teater Dikir jelas menampakkan struktur dan bentuk persembahannya yang tersendiri sehingga teater ini boleh berdiri sebagai satu bentuk teater yang berdiri sendiri kerana bentuknya yang jelas, utuh dan terikat.
Sejarah kelahiran teater baharu telah tercipta di pentas Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tanggal 12–13 Oktober 2022. Karya dan arahan seniman besar negara bernama Sabri Yunus telah mencetuskan satu fenomena luar biasa apabila beliau dan kumpulan produksinya dengan berani mempertontonkan sebuah persembahan teater dalam dikir barat sepenuhnya.
Persembahan yang berlangsung selama lebih kurang satu setengah jam telah membawa penonton mengimbas kembali peristiwa perjuangan Tok Janggut menentang kezaliman penjajah British melalui naratif dikir yang digarap menggunakan lirik-lirik pantun dikir yang selektif dan berkualiti. Duduk di kerusi penonton, kita akan terikat dengan keterujaan, penyerapan isi teks, simbol, dan subteks berlapis makna, bermula dari babak permulaan hingga bahagian peleraian. Sebagai pembuka isu dalam artikel ini, perkara pertama yang boleh dikupas: apakah bentuk dan aliran teater ini?
Apabila mahu bercerita tentang bentuk sesebuah persembahan teater, maka yang perlu kita analisis ialah ciri-ciri dan struktur persembahannya. Secara fizikalnya, Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat (selepas ini akan disebut sebagai Teater Dikir) telah memaparkan satu ciri khusus yang terikat dan jelas, iaitu mengandungi elemen dikir barat yang disusun mengikut struktur persembahan dikir barat sepenuhnya, yang dimulai dengan Bertabuh sebagai pembuka panggung, lagu Juara, diikuti dengan lagu Tukang Karut yang di dalamnya termasuklah Karut Kelantan Perlahan, Karut Kelantan Cepat, Karut Yenki, Karut Matan, Karut Hala, Karut Kreatif, dan lagu penutup Wau Bulan. Kumpulan ensembel dikir ini pula diikuti dengan iringan muzik dikir barat yang menggunakan beberapa peralatan muzik, seperti rebana ibu, rebana anak, marakas, canang, gong, serta elemen tambahan seperti serunai dan rebab. Awak-awak pula turut dijadikan sebagai korus dalam ensembel Teater Dikir ini.
Hadir lengkap sebagai satu kumpulan dikir, persembahan ini diangkat menjadi teater apabila struktur persembahan bergerak dengan plot penceritaan dramatik yang skripnya mengandungi cerita tentang sejarah perjuangan Tok Janggut yang disusun mengikut struktur plot Freytag. Naskhah ini jelas memaparkan strukur dramatik Freytag kerana alur ceritanya berkembang secara kronologi yang dimulai dengan permulaan, perkembangan, konflik, klimaks, dan. Perkara yang lebih menarik dalam pementasan Teater Dikir ini ialah, ia turut diranumkan dengan elemen tradisional yang lain apabila pengarah dengan bijak memasukkan elemen lagu Mengulit dan serapan gerak kreatif daripada makyung melalui watak Ibu yang telah diperankan dengan sangat mempesona oleh Zamzuriah Zahari. Berdasarkan ciri-ciri yang ditampilkan ini, Teater Dikir jelas menampakkan struktur dan bentuk persembahannya yang tersendiri sehingga teater ini boleh berdiri sebagai satu bentuk teater yang berdiri sendiri kerana bentuknya yang jelas, utuh dan terikat.
Hal ini sama dengan teater tradisional makyung contohnya. Teater tradisional ini boleh berdiri sebagai satu bentuk teater tradisional kerana mempunyai struktur terikat dari segi ciri persembahannya, iaitu dimulai dengan buka panggung, diikuti oleh menghadap rebab, raja memanggil peran, pecah cerita, dan tutup panggung. Maka itu, Teater Dikir tidak sesuai dikelompokkan sebagai teater muzikal mahupun teater kontemporari kerana kedua-dua teater ini strukturnya kurang terikat dan agak longgar dari segi bentuk keseluruhannya. Hanya satu dua ciri sahaja yang membezakan antara teater muzikal dengan teater kontemporari.
Maka daripada perbandingan ini, dapatlah dirumuskan bahawa Teater Dikir yang digarap oleh Sabri Yunus boleh diletakkan sebagai satu bentuk teater yang baharu yang boleh dikelompokkan dalam kumpulan teater tradisional kerana persembahan teater ini sangat bersandar kepada dikir barat sepenuhnya.
Mungkin timbul pula persoalan yang mengatakan bahawa teater ini tidak boleh dinamakan sebagai teater tradisional kerana isi ceritanya pascamoden. Disebabkan ceritanya adalah daripada sejarah moden, maka tentu ada ahli akademik yang mahu melonggokkan kewujudan teater ini ke dalam kelompok kontemporari. Berdasarkan definisi, kontemporari dalam konteks teater boleh ditakrif sebagai sandiwara yang mengambil lembaran sejarah yang penting dan beralih kepada penimbaan peristiwa-peristiwa semasa dan aspirasi rakyat (Kamus Dewan Edisi Keempat). Jika disabit pada definisi ini, maka tentu sekali Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat boleh tergolong dalam kelompok teater kontemporari. Namun begitu, sifat teater kontemporari itu tidaklah terlalu terikat dengan ciri dan struktur persembahan yang khusus seperti Teater Dikir ini, seperti yang telah disebutkan di atas.
Disebabkan Teater Dikir ini sangat terikat dengan elemen persembahan dikir barat secara tradisional, maka bentuknya lebih dekat sebagai teater tradisional. Seandainya semua ahli akademik bersetuju bahawa teater arahan Sabri Yunus ini merupakan satu bentuk teater tradisional, maka sejarah dunia bakal terlakar lagi di tanah air tercinta ini kerana satu bentuk teater yang berasimilasi dengan dikir barat tradisional telah mewujudkan satu jenama teater baharu, iaitu Teater Dikir.
Baca Bahagian Kedua Reaksi |
Teater Tok Janggut dalam Dikir Barat Satu Kemunculan Teater Tradisional Baharu (Bhg. 2)
Kredit Foto: Gabungan Pendikir Lembah Klang
_________________________
Fairul Pujangga ialah seorang aktivis teater pengarah teater serta penulis. Beliau bertugas sebagai tenaga pengajar termasuk Ketua Bidang Seni Teater Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur.