Oleh Tan Bok Hooi
20 Jun 2022, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tan Bok Hooi menceritakan pengalaman proses penulisan Sahabat, novel seterusnya selepas Topeng.

Kita memang mudah menyalahkan elemen lain apabila menemui kegagalan walaupun perkara yang paling ketara ialah konsep penilaian diri secara kritikal.

Selepas Topeng diterbitkan, hati saya sering berkocak. Gembira kerana akhirnya dapat merealisasikan impian saya yang dijunjung sekian lama. Saya juga takut menantikan reaksi pembaca. Segan sekiranya ada pertanyaan tentang novel saya.

Setelah sekian lama berusaha pada tahun kedua universiti, saya sememangnya bercadang untuk menulis novel baharu tanpa menghiraukan sambutan Topeng. Tanggapan saya, kita perlu melihat objektif unggul yang terdiri daripada komponen kecil yang setiapnya mempunyai matlamat tersendiri. Pencapaian matlamat itu akan meyakinkan bahawa bahang objektif unggul itu sudah semakin hampir dirasai kepanasannya. Justeru, hati saya terus berdamai dengan konflik yang senantiasa menghantui saya apabila persoalan-persoalan yang tidak dapat dielakkan kembali menjelma semasa proses penulisan.

Pada cuti semester panjang tahun kedua, saya mengorak langkah ke arah mencetuskan idea-idea utama yang ingin ditonjolkan dalam buku kedua saya. Pada masa itu, saya gemar membaca novel Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, Sutan Baginda dan Langit Petang hasil karya SN A. Samad Said. Sepanjang penulisan saya, deretan perkataan yang masih tidak difahami telah bertambah dengan melipat ganda dan kini mungkin sudah melepasi orbit planet Marikh. Akan tetapi, saya cuba tenangkan hati bahawa kita tidak perlu menunggu sampai semua perkataan diperhalusi dan difahami untuk kembali giat berkarya. Walaupun kita perlu berdiri teguh sebelum cuba melompat, kadang-kadang kita harus mengambil risiko untuk mencuba. Selagi kita tidak mencuba, semakin kerap hati kita akan diselubungi ketakutan. Kita tidak akan maju selagi keberanian terjerat di lubuk hati. Mungkin kita akan gagal. Padahal ada kemungkinan kita berjaya juga. Belum cuba belum tahu. Akan tetapi, hal ini tidak bermakna segala dalam dunia ini perlu dicuba.

Hal ini hanya bermaksud bahawa percubaan merupakan motivasi kita. Saya ingin mencuba tetapi saya juga bertekad mahu berjaya. Kalau gagal, kita perlu teliti dengan diri sendiri dan membuat kesimpulan apakah cara yang terbaik untuk mengelakkan kegagalan sekali lagi. Pendekatan yang sama mungkin menelurkan kegagalan sekali lagi. Sekiranya hal itu berlaku, hasil akibatnya merupakan kesilapan diri sendiri dan bukan masalah orang lain. Kita memang mudah menyalahkan elemen lain apabila menemui kegagalan walaupun perkara yang paling ketara ialah konsep penilaian diri secara kritikal.

Semasa saya menonton filem Jurassic Park yang pertama, adegan awal menonjolkan suasana di kawasan kurungan velociraptor. Dinosaur yang bijak itu dengan laju menerpa ke arah benteng pertahanan yang mengurungnya. Bertubi-tubi ia melanggarnya tetapi benteng tebal masih bertahan. Setiap kali sang velociraptor menghentam benteng dengan badannya, ia dilakukan pada tempat yang berbeza. Kesimpulannya, mengikut salah satu protagonis dalam filem itu, sang velociraptor mempunyai daya ingatan yang luar biasa. Ia sedang mencuba daya ketahanan benteng itu dan mencari di manakah kelemahannya yang sebenar. Hal ini merupakan pengajaran terbaik walaupun datang daripada seekor dinosaur rekaan.

Semasa saya cuba menulis cerpen yang pertama, saya juga mengambil pendekatan yang sama; saya membaca buku pilihan saya sebelum terjerumus dalam dunia penulisan cerpen. Buku pilihan saya pada masa itu ialah Perburuan hasil karya Pramoedya Ananta Toer. Cara penulisannya amat segar dan mantap. Saya berjaya habiskan buku itu pada waktu petang sambil menikmati suasana tenang di pantai kegemaran saya. Selepas itu, saya terus menerokai Gadis Pantai. Gaya penulisannya cukup memberangsangkan.

Pendekatan ini telah menelurkan cara penyampaian idea yang amat berbeza untuk proses penulisan Sahabat jika dibandingkan dengan Topeng. Lebih-lebih lagi, terdapat tiga protagonis utama dalam Sahabat. Kesukarannya adalah untuk memastikan setiap bab itu berhubung kait dengan jelas sementara setiap watak dapat diperkembangkan dengan jitu. Sahabat membentangkan kisah tiga kawan karib yang cuba mengejar cita-cita masing-masing walaupun mengalami pelbagai rintangan, terutamanya daripada ibu bapa yang mempunyai konsep yang berbeza tentang apa-apa yang diperlukan oleh anak mereka.

Kebetulan pada masa itu, filem yang memberikan impak mendalam bagi saya ialah Dead Poet Society. Filem ini mengisahkan seorang guru luar biasa yang mengajar sebuah kelas tentang keindahan puisi. Kaedah ajaran yang tidak konvensionalnya telah meyakinkan para pelajarnya tentang perlunya melestarikan cita-cita yang tersemai walau apa-apa jua rintangan yang dihadapi. Pada masa yang sama, filem Cyrano de Bergerac juga berlegar-legar dalam kotak fikiran saya walaupun ceritanya dalam bahasa Perancis. Saya tidak faham langsung sebarang dialog yang dilafazkan, tetapi inti patinya cukup disenangi dan cepat digenggam dengan erat sekali.

Penulisan kreatif membebaskan kita daripada belenggu ketakutan untuk mencuba.

Watak-watak yang diperkenalkan menggunakan pelbagai nama samaran mengikut daya kreativiti saya pada masa itu. Akan tetapi, nama “Linda” dipilih khas disebabkan oleh sifat sentimental yang menyelubungi saya sehingga sukar dilupai nama itu. Saya gunakan nama Linda sebagai watak yang penting untuk melakarkan dilema percintaan yang menyebabkan hati salah satu protagonis kucar-kacir. Keadaan jadi riuh sekampung disebabkan oleh cinta mendalam yang berputik tatkala perjumpaan pertama. Itulah kekuatan cinta yang berupaya menembusi hati yang enggan dipukau.

Dalam Topeng pula, nama “Nurul” dipilih khas untuk tujuan yang sama. Keindahan berkarya bermaksud kita boleh membiarkan daya imaginasi kita mencecah bulan tanpa perlu berada secara fizikal di situ. Kita boleh menerokai alam semesta dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan sebarang risiko yang mungkin timbul. Untuk memastikan perasaan itu mencerminkan pergolakan cinta yang kencang, pemilihan nama pasangan protagonis amat ketara untuk memberikan gambaran yang lebih praktikal supaya berupaya mencetuskan emosi yang tidak menentu di hati para pembaca.

Topeng mengisahkan kehidupan di asrama sementara Sahabat berlatarbelakangkan dunia persekolahan menengah. Topeng mempunyai satu protagonis utama sementara Sahabat memperkenalkan tiga kawan karib yang melalui pelbagai dugaan untuk mengejar impian yang tersirat. Penulisan Sahabat jauh lebih kompleks dan cara persembahannya juga berbeza daripada Topeng. Itulah sebab utama mengapa Sahabat memerlukan dua bulan untuk disiapkan sementara Topeng cuma hanya tiga minggu sahaja.

Kehidupan di universiti sememangnya amat berbeza sekali. Cuma ada satu telefon awam di tingkat bawah berdekatan dengan interkom. Setiap malam, para pelajar terpaksa beratur dengan penuh kesabaran. Mereka cuma ingin membuat panggilan kepada ibu bapa atau saudara-mara yang tersayang. Sebarang perbualan intim boleh didengar oleh semua pihak yang beratur di belakang. Sesiapa yang mempunyai motosikal pula boleh keluar menjelajah perkarangan universiti untuk mencari telefon awam yang belum digunakan. Tiba sahaja waktu malam, para pelajar akan menjelma di semua bucu telefon awam di merata tempat di luar Universiti Malaya. Dan selalunya, fenomena ini akan berakhir apabila larut malam tiba. Oleh sebab kesukaran ini, setiap panggilan telefon menjadi lebih bermakna, malah ada sahaja penghuni yang bercakap sehingga terlupa bagaimana masa berlalu begitu cepat.

Pernah sekali, kawan saya mengikuti saya keluar dengan menaiki motosikal. Sebagai pembonceng, saya telah memberikannya sebuah topi keledar berwarna biru. Semasa melalui bonggol jalan berdekatan dengan Fakulti Sains, terdengar bunyi kuat memecahkan kesunyian waktu petang seperti kelapa terhempas di jalan raya. Saya amat terperanjat sekali. Apabila saya menoleh ke belakang sejenak, saya ternampak topi keledar biru terpahat di tepi jalan raya. Rupa-rupanya, topi keledar itu terlalu besar untuk kepala kawan saya. Lalu, kami berdua berkongsi gelak ketawa.

Penulis sewaktu berkuliah di universiti.

Di asrama, ada televisyen di tingkat pertama dan tingkat bawah. Setiap malam, bilik televisyen akan menjadi penuh sesak sampai larut malam walaupun kadang-kadang siaran yang ditayangkan tidak menarik langsung. 

Sementara itu, alam sekolah menengah sewaktu tingkatan empat memerlukan saya bangun awal untuk menaiki feri yang membawa murid-murid yang berpusu-pusu ke sekolah di Pulau Pinang. Bas nombor 5, 6 dan 11 akan membawa saya terus ke Sekolah Menengah Penang Free. Akan tetapi, saya selalu gemar menaiki bas nombor 11 kerana kurang penumpang dan tidak banyak destinasi yang perlu bas itu singgah sebelum sampai ke sekolah. Pada hari pertama menjejakkan kaki di Sekolah Penang Free, saya cuma berjaya sampai ke rumah selepas pukul 3.00 petang kerana silap menaiki bas nombor 13 yang terus menghantar kami entah ke mana. Emak saya terperanjat dan tersalah anggap bahawa sesi di sekolah baharu begitu komprehensif dan bermanfaat.

Oleh sebab itu, saya cuba melakarkan kehidupan sekolah menengah dengan realistik sekali. Akan tetapi, apabila kita berkarya, kadang-kadang dunia imaginasi akan bertembung dengan alam realiti lalu menampilkan satu keadaan yang kucar-kacir dalam kotak fikiran dan proses penulisan kita. Hal yang benar akan menimbulkan beribu soalan yang mencengkam fikiran kita. Hal yang kita ingini pula bertukar menjadi kenyataan dalam dunia ciptaan sendiri. Penulisan kreatif membebaskan kita daripada belenggu ketakutan untuk mencuba. Selagi dunia itu berasal daripada imaginasi, selagi itulah tiada batasan yang berupaya menjadikannya batu penghalang.

Sahabat sememangnya suatu perjalanan kembali ke zaman silam apabila pemikiran saya masih dinamik dan dibentuk oleh pengaruh persekitaran.

Apabila draf Sahabat dihantar untuk penilaian pada tahun 1993, hati saya berdebar-debar dengan penuh harapan menantikan keputusan pihak editor. Saya menaip dengan menggunakan mesin taip Olivetti, teman sejati saya untuk sekian lama. Pendekatan yang sama juga digunakan untuk Topeng. Hari yang ditunggu-tunggu pun berlaku. Komen balas yang diberikan oleh editor masih sama seperti Topeng kerana cara penulisan saya yang agak bebas dan mungkin terlalu realistik buat orang lain. Pen merah mewarnai draf saya dengan pelbagai komen. Sekali lagi, fikiran saya melayang kepada peristiwa apabila saya mendapati draf Topeng dibanjiri dengan dakwah merah. Saya tidak memprotes atau meluahkan sebarang komen. Saya beranggapan yang editor tersebut sudah tentu lebih berpengalaman maka keterangannya sememangnya nampak bernas. Akan tetapi, saya juga akur bahawa amat sukar untuk menukar gaya penulisan yang dibentuk oleh perwatakan dan pengalaman sendiri semasa melalui liku-liku kehidupan remaja.

Sewaktu era remaja.

Semenjak zaman kanak-kanak, kebebasan merupakan tunjang falsafah saya. Pada masa itu, saya akan keluar bermain dengan kawan-kawan di seluruh pelosok kampung, dari awal pagi selepas ayam berkokok sampailah malam datang mengundang. Saya cuma pulang ke rumah untuk makan, tidur serta mandi. Saya juga amat gemar mandi air perigi di rumah mendiang datuk nenek saya yang berdekatan. Air perigi harum dan jernih sekali malah lebih sejuk daripada ais batu. Airnya cukup melegakan apabila bahang matahari enak membakar kulit. Walaupun sekarang saya sudah kurang dapat menikmati air perigi, kadang-kadang saya rindu juga terhadapnya.

Justeru, saya mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang perubahan yang disyorkan. Secara sengaja, saya menyorokkan manuskrip itu di satu sudut tempat yang sukar diingati. Saya cepat melupakannya kerana peperiksaan sudah hampir tiba dan saya harus memfokuskan tenaga saya untuk mencapai kecemerlangan akademik yang diidamkan.

Siang berganti malam. Hari bertukar kepada bulan. Tahun terus merangkak menjadi dekad. Saya dibelenggu oleh kesibukan apabila cekal mengharungi rintangan di alam pekerjaan. Penulisan kreatif dibelakangi atas sebab praktikal semasa bertungkus-lumus untuk mengecap nama dalam bidang korporat.

Pada suatu hari yang tenang apabila matahari berdiri megah di langit membiru, saya terserempak dengan manuskrip Sahabat semasa membersihkan bilik bacaan saya. Sebenarnya, saya fikir manuskrip itu telah sekian lama berbisik dengan nada yang cukup merdu, memohon untuk dijumpai. Manuskrip itu bertembung dengan mata saya dan menjerit-jerit untuk dilepaskan daripada belenggu kepedihan sunyi, berdekad-dekad lamanya. Genap 32 tahun ia sengsara, beria-ia mendahagakan kebebasan.

Lantas, saya menghantar manuskrip itu untuk penilaian sekali lagi. Kali ini, saya bertekad untuk memastikannya bukan lagi menjadi projek yang tergendala. Menariknya, cerita dalam manuskrip itu masih relevan walaupun lebih tiga dekad telah berlalu. Sahabat sememangnya suatu perjalanan kembali ke zaman silam apabila pemikiran saya masih dinamik dan dibentuk oleh pengaruh persekitaran. Saya amat pasti, sekiranya Sahabat ditulis sekali lagi pada hari ini, cara pengolahan cerita dan konflik yang dicetuskan mungkin tampak berbeza. Sememangnya, perwatakan kita beradaptasi terhadap dunia persekitaran yang dinamik, mengikut roda putaran semasanya. Semakin banyak pengalaman yang ditimba, semakin matang kotak fikiran kita. Kematangan yang dicetuskan apabila melalui pelbagai liku-liku hidup sebenarnya membentuk perwatakan kita supaya lebih praktikal, seimbang dan meluaskan pandangan terhadap dunia sejagat.

Roda putaran Sahabat menjelajah dunia menjadi lengkap apabila diterbitkan akhirnya pada tahun 2018. Sahabat mengambil masa lebih daripada tiga dekad untuk menemui pembaca. Kemunculannya merupakan perjalanan yang penuh dengan dugaan tetapi destinasi akhirnya tetap tidak berubah sejak tahun 1993. Sahabat tidak pernah berganjak daripada matlamat asalnya, walaupun disisihkan secara sengaja untuk 32 tahun. Sahabat cuma ingin berkongsi beberapa unsur murni yang tidak pernah lemas dibawa pusaran masa yang ganas. Walaupun Sahabat realis dengan nada yang praktikal, karya ini sebenarnya cuba mendaulatkan konsep bahawa sekiranya kita mempunyai secebis idaman yang seharusnya direalisasikan, kita mesti mengorak langkah dengan segigih mungkin, demi mengharungi lautan ketidakpercayaan dan berperang dengan penuh keyakinan ke arah destinasi yang hendak dicapai, tanpa dicengkam oleh perasaan berbelah bahagi.

Itulah mesej ikhlas Sahabat.

Adakah kamu sudah bersedia menerima Sahabat?

Baca Artikel Berkaitan |

Antara Dua Dunia

Kredit Foto: Tan Bok Hooi

_________________________

Tan Bok Hooi cuba mencari masa untuk berkarya sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu di sebalik tanggungjawabnya dalam dunia peranti perubatan. Beliau masih gemar bermain catur dan berenang untuk menenangkan fikiran. Beliau juga menguji kekreatifannya dalam bidang masakan. Tan Bok Hooi boleh dihubungi di [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.