Oleh Tan Bok Hooi
26 Mei 2022, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tan Bok Hooi mengingati masa remajanya ketika mula meminati buku dan dunia penulisan.

Sekiranya perkataan-perkataan itu boleh diaturkan dalam satu baris, jaraknya mungkin sudah mencecah bulan.

Buku pertama saya ialah Look Out, Secret Seven tulisan Enid Blyton. Saya tidak pasti kenapa saya memilih buku itu. Saya gerun apabila mendapati begitu banyak perkataan yang saya kurang faham. Mungkin gambar di muka hadapannya amat mencuit hati. Oleh itu, saya bertekad untuk terus membaca buku itu walaupun beribu perkataan nampak asing sekali. Saya tidak faham dengan komplot yang cuba diketengahkan selepas selesai membacanya. Saya cuba biasakan diri dengan irama ayat-ayat yang berkumandang di udara dan bermain di sudut terpencil dalam kotak ingatan saya.

Akan tetapi, saya berdegil untuk tidak mengalah dan terus memuaskan selera lalu membaham buku bersiri Secret Seven, Famous Five dan Nancy Drew dengan sekerap mungkin. Perkataan-perkataan yang timbul masih ada sahaja yang tidak difahami, seperti sepanjang deretan kereta di jalan raya, tetapi saya masih bertekad untuk tidak berganjak. Semangat berjuang untuk meneroka cerita masih kental.

Saya masih lagi seorang kanak-kanak yang suka berjemur di bawah sinaran matahari yang terik untuk bermain guli, badminton dan sebagainya. Kadang-kadang, saya berasa puas kerana berjaya menangkap ikan pelaga yang kebetulan berselindung di parit yang tersumbat.

Di bangku sekolah, saya mendapati bahasa Malaysia amat merdu iramanya apabila ayat-ayat yang terpahat dalam buku latihan sekolah dibaca. Sifat ingin tahu dalam diri melonjak-lonjak memohon penjelasan. Maka, saya mengikut naluri hati untuk mendalami bahasa ini yang penuh misteri. Penerokaan ini sememangnya memakan masa yang menguji kesabaran saya.

Saya bukanlah seorang yang sabar. Saya suka bergerak secepat kilat. Saya juga cepat hilang minat. Hari ini saya mungkin riuh bermain guli. Keesokan hari hati saya melonjak kegembiraan apabila bertungkus lumus di gelanggang badminton. Minat saya berubah wajah seperti cuaca yang tidak menentu. Panas hari ini. Sejuk pula pada hari esok.

Apabila berdepan dengan bahasa Malaysia, sifat semula jadi saya ditenggelami oleh kehendak hati yang melonjak-lonjak. Maka, Dewan Masyarakat menjadi sasaran saya. Sepertimana menekuni buku cerita, rentetan perkataan yang tidak difahami turut bertambah berlipat ganda. Sekiranya perkataan-perkataan itu boleh diaturkan dalam satu baris, jaraknya mungkin sudah mencecah bulan.

Kota ingatan saya nampak kucar-kacir sebenarnya. Pada satu sudut, muncul deretan perkataan bahasa Inggeris yang semakin panjang ditelan zaman. Pada sudut terpencil yang satu lagi, gumpalan perkataan bahasa Malaysia yang dahagakan kefahaman menyeluruh bertindak liar, merayu untuk diberi peluang berdamai dengan hati yang bergolak, disebabkan oleh kemelut ini.

Penulis dan ahli peserta Minggu Remaja 1988.

Hati melonjak gembira apabila diberi peluang menyertai Minggu Remaja 1988. Bimbingan Allahyarham Dr. Othman Puteh amat berkesan dan berjaya menyuburkan minat yang sudah tersemai di lubuk hati. Arwah Ali Majod pula cuba memastikan bahawa kami sentiasa berinteraksi dengan sebaik mungkin kerana itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di ibu kota. Saya hanya seorang anak kampung dari Bagan Dalam yang bertekad untuk memajukan diri dalam bidang penulisan walaupun masih lagi suka bergiat dalam bidang badminton. Segala yang kabur tiba-tiba nampak jelas sekali. Apabila diberi peluang untuk menyumbangkan cerpen dalam antologi yang sedang diusahakan, saya bertekad tidak berdalih lagi. Cerpen pertama yang bakal diterbitkan ditulis dalam suasana tenang semasa terperuk di Perpustakaan Awam Butterworth untuk menghadapi Peperiksaan SPM. Lokasinya yang terletak di tepi pantai mendorong idea datang melimpah tanpa perlu dicari.

Dalam sesi bengkel Minggu Remaja 1988.

Internet masih belum diperkenalkan masa itu. Hanya telefon awam banyak tercacak di merata tempat. Suatu hari, naskhah terbaharu Dewan Siswa terpamer di dalam kedai buku Harfa. Saya bergegas ke situ pada awal bulan Mei 1990 dengan penuh harapan. Hati berasa teruja sekali apabila cerpen berasaskan dunia sains, “Perhitungan Terakhir” diterbitkan oleh Dewan Siswa pada 1 Mei 1990. Kegembiraan yang dialami masih lagi subur dalam kotak ingatan hingga kini.

Saya bertekad meneruskan perjalanan ini yang tidak pernah terlintas dalam fikiran saya sebelum itu. Saya kembali giat berkarya, lebih-lebih lagi pabila malam menjelma. Saya meminjam mesin taip Olivetti daripada sepupu saya, kononnya ingin aktif menulis. Bunyi mesin taip yang berdetik-detik sampai larut malam menjadi budaya baharu di kampung halaman saya. Nasib baik ada jiran-jiran yang amat bertimbang rasa dan tidak melihat bunyi itu sebagai sumber konflik yang mungkin tercetus.

Saya begitu kerap berulang-alik ke Dewan Bahasa dan Pustaka semasa menimba ilmu di Universiti Malaya sehingga kadang-kadang, terlupa di mana sebenarnya tempat kediaman saya.

Walaupun minat saya terhadap dunia penulisan bahasa Malaysia berkembang pesat, saya sedar kecenderungan terhadap dunia sains tidak pernah luntur mengikut putaran roda masa. Selepas mendapat didikan yang cemerlang oleh para guru yang dedikasi di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Assumption, saya mencuba nasib merentas desa ke Sekolah Menengah Penang Free. Di situ, saya mengasah cara pertuturan yang betul dalam bahasa Inggeris. Persaingan menempah kejayaan sememangnya sengit tetapi itulah sifat yang perlu disemai untuk berdepan dengan realiti apabila melangkah ke alam pekerjaan. Di situ, minat saya terhadap dunia fizik dipupuk dan dibajai oleh bimbingan guru yang cuma mementingkan masa depan para pelajar di bawah naungan mereka.

Semasa cuti semester sebagai pelajar jurusan sains di Universiti Malaya, saya menyiapkan draf pertama manuskrip “Topeng” dalam rekod singkat: hanya tiga minggu. Saya cuma keluar dari bilik untuk makan, mandi dan manjamu selera walaupun kadang-kadang saya tertarik dengan program di televisyen atau ingin menikmati suasana alam sekitar. Idea selalunya datang mencurah-curah di bilik mandi waktu pagi. Oleh itu, saya gemar meluangkan masa untuk mandi apabila ketandusan idea.

Akan tetapi, draf pertama memerlukan banyak pembetulan. Hal ini mungkin disebabkan oleh cara penulisan saya yang cuba melukiskan suasana kemeriahan yang jelas terserlah semasa tinggal di asrama hasil pengalaman saya di Asrama Bestari. Begitu banyak komen dalam dakwat merah menyebabkan saya terfikir tentang markah kegagalan dalam buku laporan tahunan yang perlu diserahkan kepada ibu bapa untuk ditandatangani. Markah lulus ditulis dalam dakwat biru atau hitam. Saya terpegun buat seketika dan tidak memberikan sebarang kata balas kepada editor tersebut. Saya pulang dengan tangan kosong tetapi bertekad untuk mencuba sekali lagi dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Pada masa yang sama, saya juga berhubung dengan Allahyarham Talib Samat apabila enam daripada cerpen saya telah dimuatkan dalam beberapa antologi yang diusahakan oleh beliau. Saya begitu kerap berulang-alik ke Dewan Bahasa dan Pustaka semasa menimba ilmu di Universiti Malaya sehingga kadang-kadang, terlupa di mana sebenarnya tempat kediaman saya.

Akhirnya, novel Topeng diterbitkan dan matlamat unggul saya sudah tercapai. Sebelum itu, saya sudah cukup teruja apabila cerpen saya diterbitkan dalam majalah Dewan Siswa. Akan tetapi, keinginan saya semakin melonjak dan saya hendak pastikan bahawa novel saya diterbitkan. Selepas hasrat itu membuahkan hasil, saya perlukan cabaran yang baharu. Novel kedua diimpikan, tetapi tidak menjadi kenyataan sehingga lebih kurang tiga dekad kemudian apabila novel Sahabat diterbitkan walaupun draf pertama telah siap sejak tahun 1992 lagi.

Sementara itu, minat saya terhadap subjek Fizik, terutamanya Fizik Zarah Keunsuran semakin meninggi. Saya lebih cenderung terhadap teori fizik kerana eksperimen di makmal amat menakutkan saya. Semasa saya asyik mengendalikan satu eksperimen di sekolah menengah, saya dapati ukuran suhu termometer menjunam dengan mendadak sehingga angka sifar walaupun ia cuma berada beberapa saat dalam sampel yang disediakan. Saya terpegun sejenak. Guru kelas bergegas ke tempat saya dan menerangkan dengan hati yang tabah (dan takjub) bahawa bebola kaca termometer itu sebenarnya sudah pecah.

Semasa bertungkus-lumus menyiapkan kertas kerja dalam Fizik Zarah Keunsuran sehingga lewat malam, saya dan rakan sekuliah telah tertidur di meja bilik tutorial. Saya cuma tersedar apabila mendengar suara keriuhan di luar bilik, menandakan sesi pagi akan bermula sebentar lagi. Kami berdua terus meloncat ke atas motosikal saya dan bergegas kembali ke asrama dalam sekelip mata.

Di Universiti Malaya.

Dalam usaha untuk menyiapkan penyelidikan teori untuk Ijazah Sarjana, air mata pernah berlinangan di pipi saya semasa cuba menerangkan masalah peribadi di bilik pensyarah saya, mendiang Profesor Chia Swee Ping. Beliau terkejut dan tercegat di situ menyaksikan air mata deras membasahi pipi saya. Biliknya dibanjiri dengan buku-buku yang berharga tetapi beliau mengalami kesukaran untuk mencari sehelai kertas tisu untuk saya. Pensyarah yang saya kenal di bilik sebelah bergegas ke situ tanpa sebarang amaran dan meneliti wajah saya dengan penuh tanda tanya walaupun dia berpura-pura berborak dengan pensyarah saya. Agaknya, dia tidak mahu memalukan saya. Pensyarah saya juga cuba menenteramkan hati saya dengan kata-kata yang memberangsangkan. Mereka telah menonjolkan sifat kemanusiaan yang amat dijunjung dan dihormati. Selepas itu, saya mendapati bahawa sebenarnya ada dua pelajar lagi yang ingin berjumpa dengan pensyarah saya dan sedang menunggu di luar bilik. Akan tetapi, mereka mungkin menghilangkan diri dengan secepat mungkin apabila mendengar tangisan saya.

Usaha mengejar kecemerlangan dalam dunia pekerjaan membuatkan saya membelakangkan dunia penulisan disebabkan oleh kesuntukan masa untuk berkarya.

Alam pekerjaan menanti saya dengan penuh debaran. Apakah saya akan cemerlang dengan kelulusan Sarjana Fizik tetapi masih bergiat dalam bidang penulisan? Dalam semua temu duga, tiada seorang pun yang bertanya dengan mendalam tentang teori fizik yang saya kagumi. Mereka juga tidak berminat tentang sebarang penulisan cerpen atau novel saya. Dunia pekerjaan menekankan realiti semasa dan bersifat praktikal tentang apa-apa yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan. Semasa di sekolah menengah, guru Matematik Tambahan saya pernah menerangkan kepada kelas bahawa dalam temu duga pekerjaan, mereka tidak akan bertanya tentang Teori Momen dan sebagainya. Apa-apa yang kita pelajari pada zaman persekolahan cuma memberikan latihan mental yang diharapkan mencukupi untuk mengharungi dunia pekerjaan yang sentiasa mencabar.

Saya jarang menggunakan sebarang teori fizik dalam interaksi saya bersama-sama rakan sekerja dan pelanggan. Hanya apabila saya mendekati sebarang masalah atau keadaan yang memerlukan keputusan yang bernas dan tepat, latihan semasa penyelidikan fizik memberikan saya satu metodologi untuk berfikir dan bertindak secara objektif dan munasabah. Dalam penghantaran e-mel dan persediaan untuk taklimat kepada rakan sekerja atau pelanggan, penguasaan bahasa terutamanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia secara bertulis atau lisan berupaya memberikan impak yang lebih berkesan dan sekali gus mendatangkan kesan sampingan yang positif.

Usaha mengejar kecemerlangan dalam dunia pekerjaan membuatkan saya membelakangkan dunia penulisan disebabkan oleh kesuntukan masa untuk berkarya. Lagipun, inisiatif untuk terus menulis mula luntur ditelan zaman. Walau bagaimanapun, saya berpendapat, jika dikenali sebagai seorang penulis, ada sahaja topik perbualan baharu yang boleh diketengahkan. Sekiranya perbualan menemui jalan buntu, sejarah penulisan boleh diungkit untuk meningkatkan kemesraan yang tidak dirasai lagi.

Selepas sekian lama, saya mula merindui dunia penulisan. Apabila saya mula giat berkarya, daya imaginasi akan menyerbu setiap sudut akal saya untuk mencari inspirasi dan pedoman. Imaginasi merupakan elemen yang paling ketara, sama ada dalam bidang penulisan atau fizik. Akan tetapi, dunia pekerjaan menekankan pandangan realiti dan praktikal yang tidak harus dipertikaikan. Imaginasi tetap penting dalam alam pekerjaan tetapi tidak bermakna sepenuhnya sekiranya kita mengabaikan sifat praktikal dan kurang bersikap realis.

Saya kembali menulis blog dalam bahasa Inggeris dan memohon pandangan daripada rakan-rakan tentang hala tuju penulisan saya. Galakan mereka mendorong saya cuba mencari masa lapang untuk giat berkarya. Semasa saya membersihkan bilik bacaan, saya terserempak dengan manuskrip asal Sahabat yang telah diselaputi debu tebal. Terus saya mengusahakan manuskrip ini untuk diterbitkan atas bimbingan dan tunjuk ajar Puan Rosnah Awang dan Puan Khatijah Ismail dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sahabat akhirnya diterbitkan pada tahun 2018. Buat masa yang sama, kumpulan cerpen Inggeris saya, Love Will Find You juga diterbitkan. Kedua-dua buku Inggeris saya termasuk A Man and His Wallet dinobatkan sebagai 50 Best Malaysian Titles for International Rights 2016/2017 dan 2018/2019, serta dipamerkan di Pesta Buku Frankfurt 2016 dan 2018.

Saya kembali berkarya kerana menulis mencetuskan kepuasan yang sukar digambarkan. Minat mungkin luntur buat sementara waktu tetapi tidak bermakna minat itu akan dibaham oleh realiti dunia pekerjaan. Selagi memori itu masih segar, kita patut mengambil kesempatan untuk melukis memori itu dengan keindahan kata-kata yang unggul supaya memori itu disinari cahaya harapan yang berterusan. Beban memori itu akan berkurangan kerana memori itu sudah dikongsikan dengan para pembaca.

Segala apa yang terpahat dalam karya kita tidak akan luput ditelan zaman. Dan sedekad dari saat ini, apabila kita menjamah karya itu sekali lagi maka perjalanannya bagaikan menonton gambaran tentang zaman silam kita. Perkara yang kita idamkan pada hari ini mungkin tidak bermakna pada keesokan harinya. Tanggapan semalam mungkin tidak relevan lagi sedekad dari sekarang. Karya kita sebenarnya mencerminkan perwatakan kita dan falsafah yang kita junjungi. Sama ada hal itu akan berubah apabila matahari kembali terbit sekali lagi menjadi persoalan yang terus-menerus menanti jawapannya.

Dalam bidang fizik, perkara ini seolah-olah menggunakan teleskop serba canggih untuk meneliti dan mencari objek alam semesta yang tiada penghujungnya. Semakin jauh kita meneroka, semakin awal masa tersebut kerana cahaya dari objek ini mungkin mengambil masa berjuta-juta tahun untuk sampai ke mata kita, disebabkan oleh cahaya cuma boleh bergerak sejauh 300 000 kilometer dalam satu saat.

Inilah cerita saya setakat ini.

Beli novel remaja Sahabat.

Kredit Foto: Tan Bok Hooi

_________________________

Tan Bok Hooi menceburi bidang peranti perubatan selama dua dekad. Puisi merupakan obsesi terkininya dengan terbitnya kumpulan puisi Inggerisnya, Heaven Speaks Loudest dan When Chaos Reigns. Beliau juga membimbing pelajar dalam bidang fizik. Beliau boleh dihubungi melalui [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.