Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRantau dunia Melayu bukan sahaja memiliki alam pesisir pantai yang panjang serta lautan yang luas dan ribuan buah pulaunya, malahan juga dengan begitu banyak sungai. Alam dan persekitaran laut, sungai serta paya ini, di samping menjadi sebahagian sumber pelbagai keperluan bagi kehidupan harian, sekali gus turut mempengaruhi pemikiran dalam watak dan pekerti bangsa Melayu.
Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah jika laut, sungai dan paya menjadi refleksi indah, menarik, malah mengagumkan sebagai idea dan tanggapan dalam pemikiran peradaban Melayu.
Prof. Dr. Ismet Fanany menjelaskan demikian melalui kertas kerja beliau semasa membincangkan kepekaan, pengamatan, pengalaman, kearifan, dan keunggulan pemikiran peribahasa berdasarkan laut, sungai dan paya dalam lingkungan hidup dan kebudayaan bangsa Melayu.
Beliau dari Universiti Deakin, Australia merupakan antara barisan 30 orang tokoh, sarjana, penulis, budayawan, dan individu berpengalaman yang diundang untuk membentangkan kertas kerja pada Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia bertemakan Laut, Sungai dan Paya, berlangsung pada 3–4 Disember, baru-baru ini.
Webinar ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Pesatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan sebagai Penaung.
Pada webinar ini, tokoh sarjana ini dengan kertas kerjanya bertajuk “Where the River Meets the Sea: Images of Water and Networks of Meaning in Malay Proverbs”, menghuraikan khazanah folklor dalam peradaban bangsa Melayu dari aspek warisan pemikiran peribahasa.
“Kearifan orang tua mengenai laut, sungai dan paya dicernakan dan dijelmakan sebagai peribahasa adalah cukup bijaksana, menyiratkan ketepatan maksud yang tercermin dalam keindahan ungkapannya,” ujar beliau.
Ismet Fanany menjelaskan, terdapat sekian banyak peribahasa bertitik tolak daripada alam kelautan, sungai dan paya yang begitu hebat, tepat dan mengagumkan yang dapat dimanfaatkan sebagai pengajaran, petua dan pedoman penting dalam kehidupan harian, malah sepanjang zaman.
Beliau mengetengahkan sejumlah contoh pengamatan dan kebijaksanaan orang tua yang begitu unggul pemikiran, justeru berkemampuan menyiratkan keindahan dan kehalusan sensitiviti serta ketepatan penciptaan peribahasa dari segi maksudnya dengan laut, sungai dan paya serta persekitaran dan unsur-unsur yang berkaitan dengannya.
Antara contohnya:
Di samping itu, beliau menjelaskan juga tentang kepekaan yang begitu mendalam dan luas terhadap laut, sungai dan paya yang terdapat dalam pemikiran peribahasa Melayu, sehingga merenung dan mengambil iktibar daripada air, lubuk, muara, hulu, jernih, keruh, riak, ombak, pasang, surut, gelombang, apung, dan tenggelam. Semua renungan ini dijadikan pengalaman dan iktibar berguna dalam hidup yang diungkapkan sebegitu halus dan indah melalui peribahasa.
Menariknya, darihal laut, sungai dan paya ini, beliau mengemukakan juga peribahasa dalam kebijaksanaan pemikiran orang tua yang kini sudah agak jarang diketahui oleh generasi muda sekarang.
Contohnya:
Malah cukup menarik, pembentangan beliau turut mencerakinkan dan mengelompokkan peranan dan signifikan beberapa contoh peribahasa berkaitan laut, sungai dan paya, walau secara ringkas, dari segi budi pekerti, motivasi, kemasyarakatan, budaya, dan peradaban.
Generasi muda sewajarnya berasa bangga dan menghargai warisan peribahasa sebagai khazanah warisan. Justeru, warisan ini tetap bernilai, bermanfaat, serta mampu merentas zaman sampai bila-bila pun sebagai iktibar penting dalam kehidupan.
Prof. Dr. Ismet Fanany sebenarnya bukanlah asing dengan DBP. Universiti Deakin tempat beliau mengajar pernah menjalin kerjasama dengan DBP. Dua buah buku penting beliau mengenai peribahasa Melayu pernah diterbitkan oleh DBP, iaitu The Wisdom of the Malay Proverbs (2003) dan Four is Odd, Five is Even: The Cognitive Framework of Malay Proverbs (2008).
Seramai 4790 peserta mengikuti Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia ini pada hari perasmiannya yang disiarkan secara langsung melalui Pelantar Sosial DBP dan aplikasi Zoom. Manakala, keseluruhan segmen pembentangan kertas kerja webinar selama dua hari, sepanjang pagi hingga malam, menarik minat seramai kira-kira 7000 peserta.
Berita Berkaitan |