Oleh Karmila Azmi
5 Disember 2021, 08:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Folklor sebagai warisan pemikiran bangsa seharusnya diperkasakan dan kekal dinamik kerana ia digunakan oleh generasi terdahulu sebagai pendidikan budaya, juga sebahagian proses sosialisasi.

Malah, kedudukan folklor yang difahami sebagai kebudayaan kolektif yang disebarkan secara turun-temurun itu merangkumi tradisi verbal dan non verbal. Ia banyak bersumberkan alam, sesuai dengan kedudukan alam sebagai hal penting dalam kehidupan manusia.

Perihal kepentingan alam sekitar ini disentuh Mufti Kelantan, Sahibul Samahah Datuk Mohamad Shukri Mohamed dalam ucap utamanya sempena Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia yang disiarkan secara langsung dalam Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka, 3 Disember lalu.

Mohamad Shukri ketika membentangkan coretan ringkas mengenai kerangka pandangan Islam terhadap alam sekitar menegaskan, alam sekitar dicipta Allah SWT dan dipinjamkan kepada manusia untuk kelangsungan hidup dan perkembangan tamadun.

Justeru katanya, ia perlu dipelihara untuk kesejateraan umat.

“Kita adalah khalifah yang bertanggung jawab terhadap keharmonian dan keseimbangan alam sekitar. Jangan sampai ia dirosakkan atau didominasi bukan-bukan.

“Isu alam sekitar berkait rapat dengan fiqh kefahaman terhadap alam sekitar. Ia juga ada kaitan dengan tauhid terhadap Allah SWT yang menciptanya penuh keindahan,” katanya.

Webinar Antarabangsa Folklor Malaysia yang mengangkat tema laut, sungai dan paya itu dianjurkan bersama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PSLM).

Webinara ini juga turut dinaungi oleh Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Majlis yang berlangsung pada 3 hingga 4 Disember 2021 itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman.

Webinar ini yang turut membabitkan peserta dari luar negara, antaranya Brunei Darussalam dan Uzbekistan yang dibuat dengan tujuan sebagai perkongsian ilmu dan menyebarluaskan pengetahuan untuk kepentingan bersama.

Sementara itu, Pengerusi PERADABAN, Datuk A. Aziz Deraman, ketika membentangkan kertas kerjanya “Folklor Melayu Cabaran dan Masa Depan” berkata, folklor sama ada verbal atau non verbal ialah warisan yang diwarisi, generasi demi generasi.

“Kekayaan warisan folklor menggambarkan akal minda masyarakat kita dan nilai keagamaan masyarakat sepanjang zaman,” katanya.

Tonton majlis perasmian dan pembentangan kertas kerja ucap utama di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.